Monday 24 October 2011

Ketua menteri P. Pinang cap Muhyiddin 'pengecut'

KUALA LUMPUR: Ketua Menteri Pulau Pinang, Encik Lim Guan Eng, semalam melabelkan Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin, sebagai 'pengecut' kerana mengulangi dakwaan laman blog pro-Umno bahawa anak lelaki setiausaha agung Parti Tindakan Demokratik (DAP) itu mencabul rakan sekolahnya.

Encik Lim berkata beliau 'terkejut dan jengkel' bahawa Tan Sri Muhyiddin menyerang anak lelakinya itu bagi mendapatkan sokongan politik dan sebaliknya memberitahu pemimpin kedua tertinggi Umno itu agar menumpukan usahanya terhadap beliau.

'Jika Muhyiddin benci sangat kepada saya, beliau boleh berbuat yang terburuk untuk mengalahkan saya secara politik,' kata beliau dalam satu kenyataan yang dipetik oleh satu laporan laman berita The Malaysian Insider, semalam.

'Tetapi, Muhyiddin tidak seharusnya menyertai sekumpulan orang yang bersifat pengecut dan menjadikan anak lelaki saya berusia 16 tahun sebagai sasarannya dan menyebabkan anak lelaki saya sekali lagi melalui pengalaman traumatik ini,' katanya.

Beberapa penulis blog pro-Umno mendakwa bahawa anak lelaki Encik Lim mencabul seorang rakan sekolah perempuannya berusia 16 tahun - yang mana gambarnya turut disiarkan - dan cuba mengelak daripada dihukum dengan menggunakan nama bapanya.

'Mangsa' berkenaan, yang dikenal pasti sebagai Anya Corke, seorang pelajar Hongkong yang sedang menuntut di Britain, tampil menafikan dakwaan itu dan menegaskan bahawa dia tidak mengenali anak Encik Lim.

Ketua menteri Pulau Pinang itu berkata Tan Sri Muhyiddin gagal ujian moral dan etika untuk menjadi perdana menteri dengan mengulangi 'pembohongan' terhadap seorang remaja yang tidak mampu mempertahankan dirinya, walaupun individu yang didakwa sebagai mangsanya itu telah tampil menafikan dakwaan itu.

Kelmarin, Tan Sri Muhyiddin meminta Encik Lim membuat laporan polis dan membiarkan polis menjalankan siasatan bagi menjelaskan keadaan sebenar kerana penafian sahaja tidak mencukupi.

Dalam hal ini, Pakatan Rakyat (PR) turut menggesa timbalan perdana menteri itu agar memohon maaf kepada Encik Lim secara terbuka.

Cyberita Online Luar Negara:

'via Blog this'

No comments:

Post a Comment