Thursday 27 October 2011

Perbicaraan kes Mat Sabu dituduh fitnah polis 13-23 Dis

BUTTERWORTH: Mahkamah Sesyen di sini hari ini menetapkan 19 hingga 23 Dis ini untuk perbicaraan kes Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu, yang didakwa membuat tohmahan memburukkan nama baik anggota polis dan keluarga mereka dalam ceramahnya di Padang Menora, Tasek Gelugor dekat sini, pada 21 Ogos lepas.
Hakim Ikmal Hishan Mohd Tajuddin menetapkan tarikh itu selepas Timbalan Pendakwa Raya Lailawati Ali memohon tarikh perbicaraan yang ditetapkan sebelum ini iaitu pada 5 hingga 9 Dis ditukarkan ke tarikh lain kerana pihak pendakwaan perlu menghadiri satu persidangan pada tarikh berkenaan.
Pada 21 Sept lepas, Mohamad, 57, yang lebih dikenali sebagai Mat Sabu, dari Guar Petai, Tasek Gelugor, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini dan minta dibicara terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan itu.

Dia didakwa memfitnah anggota-anggota polis dan keluarga mereka yang mempertahankan diri dalam serangan pengganas komunis di Balai Polis Bukit Kepong pada 23 Feb 1950, dengan mengetahui bahawa tohmahan yang dibuat akan merosakkan nama baik anggota polis dan keluarga mereka.


Mohamad didakwa melakukan kesalahan itu dalam ucapan kepada orang ramai pada 10 malam hingga 12 tengah malam 23 Ogos di hadapan Pusat Asuhan Tadika Islam Al-Fahmi, Markas Tarbiyah Pas, Padang Menora, Tasek Gelugor.

Jika sabit kesalahan, dia boleh dikenakan hukuman penjara sehingga dua tahun atau didenda atau kedua-duanya.

Bagi pertuduhan alternatif, Mohamad didakwa telah memfitnah anggota-anggota polis iaitu Konstabel Marin Abu Bakar Daud, Konstabel Jaafar Hassan dan Konstabel Yusoff Rono serta ahli keluarga mereka yang mempertahankan diri dalam serangan pengganas komunis di Balai Polis Bukit Kepong pada 23 Feb 1950, dengan membuat tohmahan dalam ucapan kepada orang ramai pada masa, tarikh dan tempat yang sama.

Pertuduhan itu mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan, membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau didenda, atau kedua-duanya.

Pertuduhan dibuat setelah aduan dibuat oleh daripada tiga orang ahli keluarga anggota polis yang terkorban dalam serang pengganas komunis di Balai Polis Bukit Kepong, iaitu Jamilah Abu Bakar, Azlas Jaafar dan Nazir Yusoff. -BERNAMA

Projek Lebuh Raya Senai Desaru rugi



KUALA LUMPUR - Projek Lebuhraya Senai Desaru, Johor sepanjang 77 kilometer mengalami kerugian RM375.6 juta setelah kerajaan membeli 716 lot tanah tambahan.
Ketua Audit Negara, Tan Sri Datuk Ambrin Buang berkata, projek bermula Julai 2005 bernilai RM1.37 bilion itu turut mengalami kerugian RM192.70 juta atau 270 peratus apabila berlaku perbezaan kos anggaran dengan perbelanjaan semasa.
Katanya, ketika perjanjian konsesi ditandatangani antara syarikat yang kendalikan projek itu dengan Kerajaan Persekutuan yang diselenggarakan Lembaga Lebuhraya Malaysia pembinaannya dianggarkan RM71.31 juta.
“Dalam masa lima tahun, kosnya melonjak kepada RM264.01 juta. Ia berpunca daripada kesilapan data kerja mengukur dari syarikat konsesi apabila tidak mengira 110 lot tanah melibatkan 142,000 meter persegi dalam perancangan awal.
“Akibatnya, kos keseluruhan mencecah RM1.37 bilion dan kerajaan mencatatkan kerugian 20 peratus apabila tidak boleh mengutip hasil tol lebuh raya itu, selain kehila�ngan 74 lot tanah,” katanya.
Menurutnya, kerugian RM20 juta disebabkan anggaran pampasan tidak tepat diberikan kepada pemilik tanah dan perbelanjaan sampingan di mahkamah serta pembayaran lapan peratus kadar faedah akibat kelewatan sepa-tutnya tidak berlaku.
Walaupun projek itu siap lebih 90 peratus, katanya, masalah penyelenggaraan rumput dan pembersihan lebuh raya masih tidak dilakukan walaupun tender telah dikeluarkan.
“Mereka memberi alasan ia berpunca daripada penarikan diri syarikat penyelenggaraan yang mendapat tender. Bagaimanapun, mereka hendaklah mengatasinya kerana ia boleh membahayakan pengguna lebuh raya.
“Malah audit mendapati tiada penanaman rumput di sekitar cerun bukit dengan sempurna yang boleh menyebabkan berlaku hakisan dan tanah runtuh. Jika berlaku, bermakna kos perbelanjaan terus meningkat,” katanya.
Pembinaan lebuh raya itu dirasmikan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Shaziman Abu Mansor pada 2005, meliputi tiga fasa, iaitu bermula dengan pembinaan di Lebuh raya Pasir Gudang dan laluan sepanjang 27 km dari Cahaya Baru ke Desaru dengan menempatkan dua plaza tol.

Pelik bil elektrik naik mendadak



KUALA LUMPUR - Tarif bil elektrik yang naik secara mendadak mencetuskan kebimbangan penduduk di sekitar Jalan Klang Lama, di sini yang mendakwa ia berlaku sejak penukaran meter elektrik, kira-kira tiga bulan lalu.

Seorang penduduk dari Taman Sri Sentosa, Lim Cheng Hock berkata, kenaikan� yang dikesan berlaku sejak penukaran meter dibuat, tiga bulan lalu itu agak mengejutkan mereka.

Menurutnya, sebelum meter ditukarkan (Jun, 2011), bil elektriknya hanya berjumlah sekitar RM80 sebulan, bagaimanapun pada Julai lalu, bil elektriknya naik mendadak mencecah RM182, malah dikatakan bergerak laju tidak seperti meter elektrik lama menyebabkan penduduk mula khuatir dengan keadaan itu.

“Di kawasan ini ada tujuh blok apartmen, bilangan penduduk pula hampir 590 yang rata-rata berpendapatan rendah, jika semua penduduk mempunyai masalah sama dengan kenaikan kadar elektrik RM102 sebulan, saya rasa keuntungan yang Tenaga Nasional Berhad (TNB) dapat sebulan mungkin melebihi RM60,000.

“Saya tidak faham menga�pa penekanan diberikan kepada rakyat dengan kenaikan bil elektrik begitu tinggi seumpama ini,” katanya kepada Sinar Harian pada sesi pertemuan bersama Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar, di sini.

Seorang lagi penduduk, John Paul Netto John Alex Netto berkata, keadaan itu secara tidak langsung menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan penduduk yang tidak bersetuju dengan kenaikan bil elektrik kediaman masing-masing.

Katanya, kenaikan tarif elektrik yang diterima umpama ‘rompakan di siang hari’ kerana ia hanya menguntungkan sebelah pihak dan membebankan rakyat.

“Saya kerap menerima bil elektrik yang tidak masuk akal walaupun sebenarnya jarang berada di rumah.

“Pada Ogos lepas, bil elektrik yang diterima berjumlah RM223.14 dan pada September mencecah RM334.95, jumlah kenaikan ini membuatkan saya sekeluarga terkejut, dalam masa sama rasa terbeban dan mula curiga dengan jumlah yang dicatatkan,” katanya.

Dalam pada itu, Nurul Izzah berkata, pihaknya akan menjalankan siasatan terlebih dahulu dengan merujuk kepada pegawai TNB berhubung kenaikan tarif elektrik kepada pengguna di sekitar Jalan Klang Lama yang dikatakan berlaku kenaikan ketara.

Menurutnya, kenaikan sekitar RM111.81 sudah pasti akan memberi beban kepada pengguna yang rata-rata bukan golongan berada.

“Selepas membuat siasatan, kita adakan sidang media antara penduduk dan TNB untuk menjawab isu yang berbangkit, apa yang berlaku sebenarnya adalah kenaikan kos yang ditanggung oleh pembekal tenaga bebas yang akan dipindahkan kepada TNB yang kemudian menyalurkannya kepada pengguna.

“Lebih malang, mekanisme baru itu juga menyaksikan tarif elektrik dinaikkan sebanyak dua kali kerana kos arang batu dan gas yang digunakan bagi menghasilkan tenaga akan disemak setiap enam bulan,” katanya.

Beliau berkata, kedudukan� kewangan TNB adalah pada status quo, rakyat yang menanggung kenaikan tarif dan pengeluar tenaga bebas (IPP) langsung tidak menerima sebarang kesan daripada langkah itu kerana kos bahan api disalurkan melalui mekanisme berkenaan.

Katanya, IPP membeli gas Petronas mengikut harga pasaran, kemudian IPP menjual tenaga bersama kenaikan kos kepada TNB.

Sementara, kos arang batu (TNB) dan gas (TNB dan IPP) disemak setiap enam bulan.

TNB jelasnya, kemudian menjual tenaga kepada pengguna yang mana harga jualan termasuk kos sendiri dan juga kos IPP.

“Pada pendapat saya, pihak paling beruntung adalah Kerajaan Pusat yang selama ini bangga dengan laungan rakyat didahulukan, sedangkan kebajikan rakyat di pinggirkan.

“Isu ini akan saya atasi sebaiknya dan untuk mengukuhkan aduan ini, saya harap penduduk dapat mengumpul bukti bil elektrik bersama beberapa penghuni kawasan lain yang mengalami masalah sama dengan mengemukakan surat aduan, saya akan mengeluarkan surat aduan rakyat dan sokongan kepada TNB mengenai isu ini,” katanya.

Difahamkan, kenaikan bil elektrik yang berlaku adalah bersifat sementara bagi membuat penyelarasan tarif baru elektrik.

PKR akur keputusan Pas



KOTA BHARU –PKR Kelantan akur dengan keputusan Pas negeri yang mengekalkan status quo pembahagian kerusi Pakatan Rakyat (PR) menjelang Pilihan Raya Umum -13 (PRU-13) nanti.

Pengerusi Majlis Pimpinan PKR negeri, Ab Aziz Ab Kadir berkata, PKR menerima keputusan itu dengan terbuka walaupun pihaknya memohon untuk menambah kerusi yang berpotensi untuk menang dalam pilihan raya.

“PKR menerima keputusan itu walaupun kami ada memohon untuk bertanding lebih kerusi tetapi hasrat itu tidak tercapai, jadi kami akurlah dengan keputusan berkenaan.

“Oleh itu PKR akan berusaha memastikan tiga kerusi Parlimen di Ketereh, Machang dan Tanah Merah serta lima kerusi Dun di Guchil, Nenggiri, Paloh, Pengkalan Kubor dan Kuala Balah dapat dikekalkan nanti,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Beliau berkata demikian ketika mengulas keputusan Pas Kelantan yang mengekalkan lapan kerusi diduduki parti komponen Pakatan Rakyat itu walaupun permohonan untuk menambah lagi kerusi dibuat PKR.

Menurutnya, bagi wakil rakyat di kerusi sedia ada itu akan dikekalkan tetapi bagi kawasan lain ramai muka-muka baru diperkenalkan dalam usaha memastikan lebih banyak kerusi yang belum dimenangi PKR akan ditawan dalam PRU-13 nanti.

Katanya, muka-muka baru itu akan diberikan kepada pimpinan pusat untuk membuat pemilihan.

Ab Aziz berkata, calon-calon baru yang diyakini mampu menjadi wakil PKR yang disenangi rakyat itu akan diletakkan di semua Dun yang kalah pada pilihan raya lalu.

Laporan audit bukti kegagalan dasar transformasi



SHAH ALAM - Pembangkang menyifatkan beberapa kelemahan di pihak kerajaan yang dibangkitkan dalam Laporan Ketua Audit Negara 2010 sebagai bukti kegagalan dasar transformasi dilaksanakan Kerajaan BN.
Ketua Umum Pakatan Rakyat (PR), Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, meskipun Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan pelbagai janji untuk menangani kepincangan, ke-lemahan dan ketirisan dalam menguruskan ekonomi negara sejak mengambil alih pentadbiran pada 3 April 2009, namun ternyata ia masih belum dipenuhi.
“Laporan Ketua Audit Negara 2011 mendedahkan banyak kelemahan, kepincangan dan penyelewengan projek yang turut disasarkan untuk rakyat termiskin.
“Ini termasuk kelemahan pengurusan Program Pembasmian Kemiskinan di bawah Jabatan Perdana Menteri dengan peruntukan RM691.52 juta pada 2010,” katanya dalam kenyataan media di sini, semalam.
Laporan Ketua Audit 2010 menunjukkan kelemahan pengurusan Skim Insentif Peningkatan Hasil Padi di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani yang mendedahkan kegagalan kerajaan membayar insentif RM110.67 juta kepada 73,291 pesawah kerana peruntukan tidak mencukupi.
Laporan itu, katanya, menunjukkan kelemahan pengurusan penyelenggaraan jalan Persekutuan yang diswastakan di Sarawak, selepas RM462.46 juta dibelanjakan.
Ia termasuk kelemahan pengurusan projek di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi Ke 2 di pelbagai kementerian dan jabatan terdedah kepada penyelewengan perbelanjaan, bayaran dan peruntukan.

Hudud komponen kecil dalam Islam



SHAH ALAM – Perlaksanaan hukum hudud adalah kecil dari segi syariat Islam secara keseluruhan, namun ia komponen terpenting umpama ‘paku untuk mengukuhkan binaan rumah’.
Exco Kelantan, Datuk Mohd Amar Abdullah berkata, Kelantan melihat sudah tiba masanya hukum ini dilaksanakan.
Menurutnya, isu hudud timbul bukanlah kerana demam pilihan raya umum yang semakin dekat, tetapi isu ini sentiasa diperkatakan setiap tahun oleh Pas Kelantan sejak mula meme-rintah pada 1990 lagi.
“Isu ini bermula apabila seorang wartawan bertanya mengenai hudud, lalu isu ini terus diperbesarkan, bukannya kami yang memulakannya.
“Selain itu, statistik yang menunjukkan penyakit HIV tinggi di Kelantan juga menyebabkan kita berfikir perlu melaksanakan undang-undang Islam,” katanya.
Katanya, peningkatan kadar jenayah yang tinggi menunjukkan undang-undang sedia ada tidak mampu menyekat peningkatan ini.
“Apabila undang-undang ini diluluskan, kita tidak akan terus potong tangan, apa yang lebih penting adalah kesedaran dan pendidikan menyeluruh kepada masyarakat.
“Dari segi Islam, hudud penting, kita tidak nafikan, tetapi dari segi masa dan perlaksanaan kita boleh bertolak ansur,” katanya.
Mengulas mengenai penerimaan DAP mengenai hudud, Mohd Amar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Panchor menjelaskan DAP tidak menerima hudud, namun parti itu menghormati keputusan Pas.:
Ditanya mengenai hubungan dan perjalanan Pas dan DAP dalam Pakatan Rakyat (PR), beliau berkata, hubungan kedua parti dalam PR tiada masalah.
“Hubungan kami umpama polis dan banduan, naik satu kereta yang sama,” katanya berseloroh.

Tak perlu pinda Perlembagaan



MM (Maszlee Malik): (Datuk Mohd Amar Nik Abdullah), jika dilihat kebanyakan gerakan Islam sekarang ini meletakkan isu good governance (kerajaan/ pentadbiran yang baik), ketelusan, akauntabiliti, kebebasan dan keadilan sama ada ekonomi dan keluhuran undang-undang sebagai keperluan zaman ini. Peliknya Pas, menjelang Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) sibuk dengan hudud. Apakah ini strategi Pas untuk kekal di Kelantan? Apakah Pas tidak melihat keperluan semasa dan aulawiyat (keutamaaan)? Apakah Pas tidak melihat keadaan politik bad governance (kerajaan/ pentadbiran yang teruk) Barisan Nasional (BN) mengikut apa dipersetujui (Pakatan Rakyat) perlu dihentikan terlebih dahulu sebelum memberi peluang kepada rakyat memilih sama ada mereka ingin hudud atau sebaliknya melalui ruang demokrasi yang lebih terbuka dan adil. Ini yang kita boleh lihat kepada banyak gerakan Islam lain di seluruh dunia yang mana mereka tidak meletakkan hudud sebagai keutamaan tetapi kepada isu lain dalam perjuangan politik mereka berbanding Pas. Bagaimana Datuk?

MANA (Mohd Amar Nik Abdullah): 
Saya datang bukan untuk berpolemik atau mencari menang tetapi adalah bagi menjelaskan pendirian dan sebab kenapa kita begitu bersungguh-sungguh mahu laksanakan hudud. Sebenarnya, matlamat paling besar tegakkan Islam di Malaysia yang telah menjadi asas perjuangan Pas sejak dulu lagi. Berbalik kepada soalan mengapa gerakan Islam yang lain masih tidak berbicara mengenai hudud, saya rasa mungkin kerana suasana berbeza dan mereka belum menguasai kerajaan dan memerintah. Tuhan takdirkan dalam seluruh gerakan Islam yang ada sekarang, Pas salah satu yang diberi peluang ALLAH untuk memerintah. Kita berpengalaman memerintah Kel­antan selama 18 tahun dan kemudiannya kalah pada 1978 selama 12 tahun dan me-nang kembali yakni sudah masuk tahun ke-21.

Apabila kita mempunyai kerajaan, kita bergerak mengikut keutamaan. Walaupun hudud adalah sebahagian kecil daripada aspek pemerintahan Islam, tetapi ia bahagian penting dalam Islam. Kenapa dekat pilihan raya? Sebenarnya, bukan kita yang sebut tetapi isu ini timbul apabila kita ditanya wartawan ekoran isu Kelantan berdepan penghidap HIV tertinggi dalam negara. Ini kerana, kita merekod dengan tepat berbanding negeri lain yang sembunyikan data. Kita berterus terang kerana bukan hendak sapu sampah masuk bawah karpet. Kita berdepan dengan realiti dan dicatat dengan telus. Bila ditanya sebab tinggi, lantas Tok Guru (Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat) berkata, ini adalah antara sebab perlunya melaksanakan syariat Islam termasuk hukum hudud untuk menyelesaikan masalah masyarakat. Tetapi perkara tersebut ditekankan yang kemudiannya di sambut pelbagai pihak sehingga menjadi isu besar dalam negara. Kita bukan bercakap kerana pilihan raya. Hudud diluluskan di Kelantan pada 1993 dan setiap tahun hari hudud disambut. Hudud diperkatakan setiap tahun, selama ini masing-masing tidak buka telinga jadi mereka tidak dengar tetapi selepas keluar akhbar, baru semua orang dengar.

Walaupun hudud sebahagian kecil daripada perundangan Islam, tetapi kepentingannya dalam sebuah fabrik negara lebih lagi dalam konteks sama ada yang mana kadar jenayah begitu tinggi dan meningkat. Malahan undang-undang sedia ada tidak mampu menyelesaikan masalah ini. Ini adalah pendekatan kita yang mungkin boleh membantu untuk menyelesaikan masalah jenayah sekali gus masalah masyarakat. Atas sebab itu, kita meminta laluan pihak berkuasa terutama Kerajaan Persekutuan untuk memberi laluan kepada Kelantan menjadi makmal uji kaji kemampuan dan kebolehan syariat Islam ini dilaksanakan.

Selama memerintah Kelantan 21 tahun, kita bukan hanya bercakap mengenai hudud, tetapi pelbagai usaha dilakukan untuk memberi kefahaman kepada rakyat mengenai Islam. Atas sebab itu, kita letak dasar membangun bersama Islam supaya ma­syarakat melihat Islam sebagai cara hidup yang menyeluruh. Itu yang penting dan kita melakukan pelbagai program berasaskan ajaran Islam. Contohnya, dalam masyarakat, ada anak-anak yang boleh dididik melalui nasihat tetapi ada yang dinasihat tetap tidak dengar kata. Orang kata kena bagi ‘penampar Jepun’ baru dengar kata, jadi hudud boleh jadi ‘penampar jepun’ kepada mereka yang degil tidak mematuhi undang-undang.

MM: (Profesor Madya Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah), dalam salah satu artikel tulisan Prof, ada disebut mengenai perlunya Pas dan Umno bertegas dengan orang bukan Islam terutama kumpulan ultra kiasu apabila berbicara mengenai soal hudud dan hak kita sebagai orang Islam yang perlu ditegakkan. Tetapi, tidakkah Prof melihat ia sebagai ‘tyranny of the majority’ (kesengsaraan majoriti). Mentang- mentang kita majoriti dan ‘tuan’ di negara ini, maka tidak ambil peduli kepada golongan warganegara lain. Mereka juga warganegara dan memegang kad pengenalan biru, adakah mereka tidak mempunyai hak menyuarakan pandangan? Mengapa tiada usaha untuk memberi kefahaman dan penerangan sebenar melalui dialog terbuka di media. Malahan jabatan agama termasuk Jakim (Jabatan Kemajuan Islam Malaysia) dalam Konvesyen Majlis Agama Islam juga tidak membincangkan mengenai hudud. Bukankah sepatutnya agensi ini membuka ruang perbincangan de-ngan bukan Islam supaya setiap keputusan diambil turut mengambil kira persetujuan mereka?

MRTA (Mohd Ridhuan Tee Abdullah): Saya menyeru supaya umat ini bersatu kerana masa tidak banyak menunggu kita. Itu yang sekian lama saya perkatakan. Perkara ini tidak boleh lakukan seorang sahaja seperti apa yang berlaku sekarang sehingga menimbulkan banyak polemik. Jika kita bersatu, pasti orang lain sukar naik dan pijak kepala kita. Justeru, apa yang saya bangkitkan kerana hukum Islam dipermainkan oleh ultra kiasu. Kita sendiri tahu siapa dia. Saya mulanya percaya golongan ultra kiasu ini, apabila berkawan de-ngan Pas, makin lembut dengan Islam tetapi sebaliknya, makin kuat melawan.

Kajian demi kajian dibuat namun sehingga ke hari ini saya masih belum jumpa kajian penerimaan hudud dalam kalangan orang bukan Islam. Sebab itu, kita meminta Univerisiti Malaya yang mempunyai Akademi Pengajian Islam dan Fakulti Pengajian Islam di Universiti Kebangsaan mengkaji mengapa orang bukan Islam begitu menentang dan mengeluarkan kenyataan ‘langkah mayat aku dulu’ sehingga ke hari ini. Saya yakin kenyataan ini dibuat kerana individu itu tahu kita lemah. Jika kita kuat, kenyataan itu tidak akan keluar. Malahan seorang ultra kiasu yang juga Ahli Parlimen di satu kawasan di Kuala Lumpur apabila ditanya yang mana pilihan orang Cina sama ada Pas atau Umno, katanya mereka tahu Umno korup dan Pas ada integriti. Tetapi jika diberi pilihan antara negara Islam dengan calon yang korup, orang Cina sebaliknya memilih calon korup daripada calon yang mempunyai integriti dan ingin tegakkan undang-undang Islam.

Saya melihat persepsi masyarakat Cina terhadap Islam tidak menunjukkan peningkatan yang begitu baik. Ia masih di tahap sama dan respon juga negatif. Malahan dapatan daripada kajian kalangan pelajar institut pengajian tinggi (IPT) mengenai Islam juga tiada perkara positif boleh ditonjolkan.

Justeru, adalah lebih baik kita berbicara mengenai sesuatu yang sudah menjadi dasar bersama dan suruhan semua agama. Kita ambil nilai besar ini dan bincangkan bersama supaya dapat dilihat sama ada mereka bersetuju atau sebaliknya. Perkara ini perlu kita fikirkan bersama tentang sejauh mana persiapan melaksanakan hudud supaya tidak timbul persepsi negatif.

MM: Apabila kita berbicara mengenai hudud pada 1993, isunya kerana bertentangan dengan Perlembagaan. Tetapi, pensyarah undang-undang, Prof Dr Abdul Aziz Bari berkata, tiada isu Perlembagaan sebab tidak perlu pinda Perlembagaan di Kelantan dan yang perlu dipinda adalah Akta Mahkamah Syariah. Selain itu, timbul persepsi dalam keadaan mahkamah syariah yang dilihat tidak berkredibilti, jabatan agama Islam negeri lesu dan tidak produktif malahan dalam urusan asas masih terabai. Seperti pendaftaran, pentadbiran zakat, isu ramai orang Islam yang tidak yakin dengan Islam. Adakah kita hendak meletakkan keyakinan kepada mahkamah syariah untuk menguruskan hudud yang besar ini sedangkan perkara asasi pihak jabatan agama negeri masih gagal diatasi?

MIR (Mohd Isa Ralip): Memang benar isu hudud di Kelantan sebelum ini adalah kerana bertentangan Perlembagaan dan ultra-virus. Ini kerana Kerajaaan Negeri tidak boleh membuat undang-undang atau enakmen bertentangan Akta Persekutuan kerana akan terbatal serta merta.

Saya bersetuju dengan kenyataan Dr Aziz yang menyatakan dalam pelaksanaan hudud iaitu enakmen di Kelantan dan Terengganu tidak bertentangan dengan Perlembagaan dan yang perlu dipinda adalah Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) Pindaan 1988. Akta ini mengehadkan kuasa mahkamah syariah kepada apa yang dipanggil 356 iaitu tiga tahun penjara, denda RM5,000 dan enam kali sebatan. Justeru, bagaimana hudud dapat dilaksanakan kerana dalam hudud mempunyai lebih 80 sebatan dan sebagainya.

Justeru apabila Kelantan melaksanakan jawatankuasa untuk mengkaji kekangan dari sudut perundangan dan dan enakmen yang perlu diteliti adalah penting kerana untuk melaksanakan hudud bukan senang kerana melibatkan enakmen lain.

Ia bukan sahaja akta kena pinda tetapi pelbagai perkara seperti prosedur jenayah, proses siasatan dan enakmen lain yang perlu dikaji. Prosedur dalam hukum hudud perlu mantap dan bukannya boleh dilaksanakan begitu sahaja.

Ya, memang kita nampak ada kelesuan di mahkamah syariah dan pejabat agama namun beri sedikit peluang. Kita kena berpegang pada Islam dan yakin dengan Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan bahawa Islam agama rasmi Persekutuan. Sekiranya hudud dilaksanakan akan memberi kebaikan dan menaik tarafkan bidang kuasa mahkamah syariah akan lebih luas sekali gus tidak terhad kepada akta tersebut sahaja dan mendidik masyarakat. Berbanding hukum takzir, jika dilihat denda setakat RM3,000, orang masih mampu ba-yar, tidak takut dan kesalahan masih mampu berulang.

Jika pindaan itu dilakukan, ia akan memberi ruang kepada negeri lain untuk meminda enakmen atau kesalahan jenayah syariah negeri. Contohnya seperti kesalahan zina, jika tidak rejam boleh dikenakan penjara 20 tahun sama seperti kes rogol termasuk bagi hukuman lain dalam hudud. Pindaan enakmen prosedur jenayah perlu dilaksanakan untuk memperkasakan mahkamah syariah. Kita faham dengan hasrat Kerajaan Kelantan tetapi apa yang perlu dilaksanakan adalah pemerkasaan jabatan agama dan mahkamah syariah. Bidang kuasa dan integriti yang luas akan menyebabkan dua jabatan ini akan lebih mantap dan kukuh.

MM: Jika dilihat Kelantan, selama 21 tahun apakah Kelantan sudah menjadi model? Apa yang menyebabkan Kelantan boleh dijadikan contoh atau model sama ada daripada segi kebajikan, ekonomi dan lain-lain? Sejauh mana selama 21 tahun ini, Kerajaan Kelantan berusaha menjadikan Kota Bharu sebagai model bandar Islam paling bersih di negara ini ataupun sebagai bandar mesra orang kurang upaya (OKU) contohnya. Ataupun selama 21 tahun, Kerajaan Kelantan melalui sistem pendidikanya berjaya melahirkan ulama setaraf ulama Dr Yusof Qardhawi misalnya. Justeru keadaan begini, adakah hudud sahaja yang Kelantan mampu lakukan?

MANA: Selama 21 tahun, Pas memerintah Kelantan, pelbagai perubahan dilakukan tetapi tidak diketahui orang ramai kerana kekangan media massa yang terhad. Oleh sebab itu, banyak pencapaian di Kelantan kurang diketahui umum. Hudud bukan fokus kami di Kelantan kerana semasa kami menang dulu Tok Guru (Nik Aziz) memperkenalkan dasar membangun bersama Islam untuk membentuk minda masyarakat. Selama ini, masyarakat melihat Islam hanya ritual sahaja iaitu perkara menyentuh peribadi antara manusia dan Tuhan. Kita ingin mengubah minda masyarakat supaya melihat Islam bukan dalam aspek ibadah ritual kepada satu sistem hidup. Sebab itu, program yang kita laksanakan adalah berasaskan Islam sama ada dasar pembangunan, pelancongan, masyarakat dan sukan. Malahan dalam usaha tersebut, aspek pendidikan paling banyak. Ini adalah persiapan melaksanakan syariat secara menyeluruh.

Apabila kita meluluskan enakmen hudud pada 1993, kita sebenarnya ingin meletakkan hudud di tempatnya yang sebenar. Dalam konteks negara ini, hudud masih belum dimartabatkan dan kerana itu, ia masih dalam al-Quran dan kitab sahaja dan tidak dijadikan sebagai undang-undang.

Apa yang kami laksanakan di Kelantan, adalah meletakannya di tempat sepatutnya, menjadikan undang-undang dengan dikanunkan di Dewan Undangan Negeri dan dijadikan enakmen. Soal bila dilaksanakan sepenuhnya bergantung kepada suasana dan keperluan sedia ada.

Masyarakat tidak faham kerana mereka beranggapan apabila enakmen itu diluluskan pada 1993, terus potong tangan. Setelah lulus, kita akan buat pendidikan dan persediaan kepada masyarakat. Alhamdulilah, sekarang ini rotan telah ada yang disimpan di Penjara Pengkalan Chepa, tukang sebat dan latihan menyebat juga sudah diberi bagaimana cara sebatan mengikut kaedah Islam. Anda boleh tengok kerana ada demontrasi bagaimana sebatan dibuat mengikut Islam berbanding sivil. Asas kami sudah mencukupi. Bila akan dilaksanakan bergantung kepada masa.

Melaksanakan undang-undang hudud memerlukan pembuktian tinggi. Masalahnya apabila memperkatakan hudud, masyarakat hanya nampak potong tangan dan rejam tetapi tidak melihat kaedah, prosedur serta tahap pembuktian sebelum dijatuhkan hukuman. Hudud bukan apabila mencuri sahaja, terus potong tangan. Mentaliti kefahaman Islam dan persepsi itu rendah pengetahuannya. Dalam salah satu kitab mengenai hudud ditulis oleh Al-Qurtubi menyatakan ada 20 syarat sebelum hukuman potong tangan dijalankan kerana dalam enakmen hudud, ada pengecualian tertentu. Umpamanya jika nilai barangan rendah seperti mencuri sebungkus mi segera tidak boleh potong tangan kerana tidak sama de-ngan nilai barangan dicuri. Barang disimpan yang tertutup sekurang-kurangnya dalam poket seluar dan orang yang mencuri bukan atas desakan hidup.

Bercakap soal ketidakadilan, kita akui berdasarkan kajian dan pembacaan berlaku sedikit masalah (dalam pelaksanaan hudud) di Pakistan dan panel kami pernah ke Nigeria di mana Kerajaan Persekutuannya beragama Kristian tetapi Kerajaan Pusat yang Kristian itu membenarkan wila-yahnya ditadbir orang Islam mengamalkan hudud. Namun di negara kita, Kerajaan Persekutuan orang Islam tetapi tidak memberi laluan kepada negeri (Kelantan) untuk melaksanakan hudud. Bagaimanapun kami yakin jika kami diberi laluan undang-undang, ketidakadilan ini boleh dielak sebaik mungkin.

MM: Jika dilihat, konsep penyaksian dalam hudud mementingkan lelaki Islam walupun isu dalam hudud bukan zina sahaja. Jadi jika wanita dikecualikan daripada menjadi saksi dan orang bukan Islam juga tidak boleh jadi saksi sekalipun barang yang dicuri orang Islam itu milik orang bukan Islam. Adakah ini diskriminasi gender dan agama? Jika orang bukan Islam tidak dapat menerima, bagaimana?

MRTA: Sepanjang pergaulan saya dengan bukan Islam, tidak kira berapa lama anda berkawan, keadaan tetap tidak banyak berubah. Ini pada pandangan saya, setuju atau tidak terpulang. Jika tidak percaya, kita lihat apa yang akan berlaku pada generasi seterusnya.

Kajian saya buat adalah pada genersi muda, pelajar IPT mengenai pandangan mereka terhadap Islam. Jika ini diperturunkan generasi tua kepada generasi muda, saya tidak nampak undang-undang Islam akan diterima mereka. Sebab itu, jika ingin laksanakan undang-undang Islam perlu ‘by force’ (secara paksaan). Peluang sepatutnya kita gunakan dulu, selepas peristiwa 13 Mei 1969, itu peluang kita tidak ambil dan biarkan begitu sahaja. Hari ini keadaan tidak banyak membantu kerana perpecahan makin kuat dan anda semua berharap mereka terima undang–undang Islam.

Orang bukan Islam sampai bila-bila tidak akan terima undang-undang ini kerana jika sesama Islam sendiri kita masih gagal menunjukkan ‘role model’ (contoh ikutan) yang baik. Saya berharap untuk melaksanakan hudud, Pas dan Umno perlu bersatu kerana jika tidak, hukum ini tidak akan dapat dapat dilakukan sama ada peringkat negeri mahupun Persekutuan. Ini kerana perkara yang berkaitan dengan Islam dan raja-raja Melayu memerlukan dua pertiga majoriti di Parlimen.

Jika tiada sokongan orang bukan Islam yang masih menentang, bagaimana hendak harapkan mereka menyokong kerana kajian saya tidak menampakkan perkara positif dengan undang-undnag sebegini.

Justeru, apabila memperkatakan perkara berkaitan Islam dan Melayu perlu disampaikan dengan berlapik sedikit kerana biarlah akhirnya pandangan itu menyebelahi agama. Jika terlalu terbuka akan menyebabkan ‘kaduk naik junjung’ yang akhirnya memberi implikasi besar kepada perkembangan Islam negara ini.

MM: Untuk masuk Islam pun tidak boleh paksa, apatah lagi undang-undang Islam, adakah perlu kita paksa bukan Islam menerimanya?

MRTA: Ingin saya bercakap sedikit, negara ini berasal dari sistem kenegaraan Melayu. Kalau saya bercakap begini, saya dilihat lebih Melayu daripada orang Melayu sendiri, tapi saya mesti katakannya. Setiap negara di dunia ada tuannya, ALLAH SWT jadikan manusia ini adil, setiap bangsa ada tempatnya dan negara tersebut diambil dari nama bangsa itu.

Negara tidak boleh terjadi terus berbilang bangsa. Ingin saya tegaskan untuk kita berfikir sejenak, kenapa negara ini yang berakar umbikan Melayu akhirnya kita tidak tahu ke mana arah identiti negara yang mahu kita bawa.

Memang kita tidak boleh memaksa orang bukan Islam memeluk agama Islam, tetapi kita boleh paksa orang bukan Islam menerima undang-undang Islam yang duduk di negara Islam.