Tuesday 11 October 2011

Bajet 2012 tiada peruntukan tangani gejala sosial

KUALA LUMPUR, 10 Okt:Sekumpulan badan bukan kerajaan (NGO) Islam mempersoal Bajet 2012 yang tidak menyediakan peruntukan khas untuk menangani masalah sosial dalam masyarakat.
NGO terbabit antaranya Pusat Bimbingan Remaja Puteri Raudahatus Sakinah, Pertubuhan Darul Islah Malaysia (Perkid Malaysia) dan Rumah Puteri Arafiah merupakan NGO Islam yang aktif dalam kerja-kerja mencegah dan merawat golongan yang terjebak dalam masalah sosial seperti hamil luar nikah, penyalahgunaan dadah dan keganasan rumah tangga.
Menyifatkan kerajaan sebagai tidak serius untuk menangani masalah sosial yang semakin membarah dalam masyarakat, Pengerusi Lembaga Pengarah Induk (LPI) Pusat Bimbingan Remaja Puteri Raudhatus Sakinah berkata, pihaknya amat memerlukan sokongan untuk menangani masalah ini.
Bercakap pada sidang media di Pejabat Jemaah Islah Malaysia (JIM), dekat sini hari ini beliau berkata usaha meningkatkan prasarana fizikal dan tahap ekonomi rakyat semata-mata tanpa memberikan penekanan kepada aspek pembangunan dalaman yang beramanah, berintegriti dan bertangungjawab dibimbangi akan lebih mendatangkan keburukan kepada negara.
"Amatlah wajar, semua usaha dan sumber yang ada digembleng untuk menangani masalah sosial melalui langkah pencegahan dan rawatan yang berkesan agar dapat dikawal.
"Usaha komprehensif dan intensif ini pastinya memerlukan banyak sokongan dan dokongan khususnya dari pihak berwajib termasuk memperuntukkan sumber kewangan yang mantap dan stabil bagi melaksanakan usaha yang penting ini," katanya yang juga Ketua Wanita JIM.
Namun tegas beliau, apa yang dituntut bukanlah bantuan kewangan semata-mata sebaliknya kerjasama erat di antara kerajaan dengan NGO tanpa banyak karenah birokrasi.
Justeru, mereka menuntut kerajaan meningkatkan usaha pencegahan dan pendidikan masyarakat (amar maaruf) yang meluas serta menyusun strategi rawatan dan pemulihan yang efektif (nahi mungkar) kepada kelompok yang terjebak dengan gejala sosial.
"Kami memohon agar penegasan ini diberikan perhatian sewajarnya oleh kerajaan. Jangan biar kami menunggu setahun lagi untuk pembentangan bajet 2013. Itu pun belum tentu suara kami diambil kira," katanya sinis.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dalam pembentangan bajet 2012 Jumaat lalu tidak menyentuh mengenai peruntukan untuk NGO Islam sebaliknya mengumumkan peruntukan untuk "Anjung Singgah" iaitu pusat khidmat bantuan sosial untuk memberi perlindungan sementara kepada golongan gelandangan.
Kini terdapat 1,400 gelandangan di Kuala Lumpur yang mendaftar dengan Jabatan kebajikan Masyarakat (JKM).
Kerajaan tolong buka mata
Sementara itu, Presiden Perkid Malaysia, Masridzi Sat menegaskan kerajaan harus membuang sifat ego mereka sebaliknya mengaku mereka tidak mampu melakukan semua perkara dan menyerahkan sebahagiannya kepada NGO yang berpengalaman.
Beliau berkata, bagi Perkid sendiri, amat sukar untuk mendapatkan bantuan kerajaan khususnya JKM dalam usaha memberikan bantuan kepada remaja bermasalah.
"Kerajaan selalu syok sendiri, buat program mengikut citarasa mereka tanpa meminta pandangan kami yang sudah lama terlibat dengan kerja-kerja pencegahan ini. Tapi apa kesannya? Masalah sosial makin berlambak.
"Mereka tak bagi bajet kat kita, tapi berapa kali kami dapat arahan supaya tutup pusat perlindungan. Sudahlah kami kutip bayi terbiar, kami pun terbiar sama," katanya yang menguruskan empat rumah perlindungan remaja bermasalah antaranya di Hulu Langat, Selangor.
Turut bersama pada sidang media tersebut ialah wakil daripada Pertubuhan Kebajikan Sahabat Insan & Iman Malaysia, Kem Modal Insan KEWAJA, Rumah Perlindungan & Pemulihan Wanita Islam Darul Wardah, Pertubuhan Inisiatif, Penyelidikan, Pembangunan & Pemerkasaan Wanita (WIRDA), Rumah Kebajikan Darul Islah, Pusat Tarbiyah Darul ‘Atiq dan Keluarga Besar Norlina Alawi.
Bajet 2012 tiada peruntukan tangani gejala sosial:

'via Blog this'

RM1 juta untuk PM ke Kazakhstan

Nazri Abdullah
KUALA LUMPUR, 11 Okt: Kerajaan membelanjakan RM1,072,213.22 untuk lawatan rasmi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak ke Kazakhstan Jun lalu.

Dalam satu jawapan bertulis hari ni, kerajaan memaklumkan lawatan 5 dan 6 Jun itu di atas jemputan Presiden Kazakhstan, Nursultan Nazabayev.

Najib kemudiannya juga mengetuai deligasi negara ke Forum Ekonomi Islam Sedunia ke-7 di Astana pada 7 hingga 9 Jun.

"Untuk makluman Dewan yang mulia ini, jumlah perbelanjaan yang digunakan bagi lawatan rasmi YAB Perdana Menteri ke Kazakhstan adalah sebanyak RM1,072,213.22," jawapan itu dipetik.

Penjelasan itu diberikan kerajaan bagi menjawab soalan Tian Chua (PKR-Batu) yang menanyakan Menteri Luar Negeri, apakah matlamat utama rombongan Perdana Menteri ke Kazakhstan pada Jun dan Perth pada Hari Merdeka serta kos yang terpaksa ditanggung kerajaan untuk rombongan itu.

Dalam jawapan itu juga turut menjelaskan Perdana Menteri juga turut ke Turkmenistan pada 11 hingga 12 Julai 2011 juga atas jemputan presiden negara itu.

Untuk lawatan itu pula, kerajaan memaklumkan telah membelanjakan RM323,268.19.
RM1 juta untuk PM ke Kazakhstan:

'via Blog this'

Masakan royalti, dokumen pun tak bagi

KUALA LUMPUR, 11 Okt: PAS menggesa kerajaan Pusat berlaku jujur dalam isu tuntutan royalti Kelantan yang sehingga kini masih dinafikan pembayarannya.
Bercakap sewaktu membahaskan Belanjawan 2012 di Dewan Rakyat semalam, Salahudin Ayub (PAS- Kubang Kerian) berkata, penemuan terbaru menunjukkan Kelantan sememangnya berhak menerima pembayaran 5 peratus royalti itu.
Beliau merujuk kepada penemuan terbaru yang mendedahkan bahawa dua lagi kawasan zon minyak ditemui di Medan Bumi dan Medan Suria yang tidak masuk dalam kawasan bertindih Joint Development Area (JDA).
"(Medan Suria dan Medan Bumi) Bukan masuk JDA. Tidak lagi bertindih dengan Thailand. Kalau JDA, okey. Itu kita beri dengan Thailand dan royaltinya kita dapat bersama tetapi yang paling baru ialah Medan Bumi dan Medan Suria," katanya yang juga Naib Presiden PAS.
Selain itu juga ujarnya, kerajaan Kelantan juga tidak diberitahu tentang kawasan bertindih dengan Terengganu di sempadan iaitu di Medan Lawit, di Medan Damar dan Medan Bintang.
"Apa yang lebih memedihkan dan menyayat hati ialah apabila kita minta Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur baru-baru ini untuk apa yang dikatakan document discovery.
"Tuan Yang di-Pertua bukan minta duit lagi, hendak minta didedahkan dokumen itu, berapa banyak, berapa luas, berapa sebenarnya kuantiti hasil petroleum itu pun dinafikan hak Kerajaan Negeri Kelantan," katanya lagi.
Beliau juga menggesa pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dalam agihan Bajet 2012 'mengenepikan perbezaan politik kepartian' kerana yang akan menjadi mangsa kepada sikap itu adalah rakyat sendiri.
"Agihan mesti diluar daripada dendam kesumat atau dendam politik...
"Ini penting kerana itu ialah wang rakyat. Itu hak negara. Hak yang kita kongsikan bersama," katanya.
Masakan royalti, dokumen pun tak bagi:

'via Blog this'