Thursday 27 October 2011

Pelik bil elektrik naik mendadak



KUALA LUMPUR - Tarif bil elektrik yang naik secara mendadak mencetuskan kebimbangan penduduk di sekitar Jalan Klang Lama, di sini yang mendakwa ia berlaku sejak penukaran meter elektrik, kira-kira tiga bulan lalu.

Seorang penduduk dari Taman Sri Sentosa, Lim Cheng Hock berkata, kenaikan� yang dikesan berlaku sejak penukaran meter dibuat, tiga bulan lalu itu agak mengejutkan mereka.

Menurutnya, sebelum meter ditukarkan (Jun, 2011), bil elektriknya hanya berjumlah sekitar RM80 sebulan, bagaimanapun pada Julai lalu, bil elektriknya naik mendadak mencecah RM182, malah dikatakan bergerak laju tidak seperti meter elektrik lama menyebabkan penduduk mula khuatir dengan keadaan itu.

“Di kawasan ini ada tujuh blok apartmen, bilangan penduduk pula hampir 590 yang rata-rata berpendapatan rendah, jika semua penduduk mempunyai masalah sama dengan kenaikan kadar elektrik RM102 sebulan, saya rasa keuntungan yang Tenaga Nasional Berhad (TNB) dapat sebulan mungkin melebihi RM60,000.

“Saya tidak faham menga�pa penekanan diberikan kepada rakyat dengan kenaikan bil elektrik begitu tinggi seumpama ini,” katanya kepada Sinar Harian pada sesi pertemuan bersama Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar, di sini.

Seorang lagi penduduk, John Paul Netto John Alex Netto berkata, keadaan itu secara tidak langsung menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan penduduk yang tidak bersetuju dengan kenaikan bil elektrik kediaman masing-masing.

Katanya, kenaikan tarif elektrik yang diterima umpama ‘rompakan di siang hari’ kerana ia hanya menguntungkan sebelah pihak dan membebankan rakyat.

“Saya kerap menerima bil elektrik yang tidak masuk akal walaupun sebenarnya jarang berada di rumah.

“Pada Ogos lepas, bil elektrik yang diterima berjumlah RM223.14 dan pada September mencecah RM334.95, jumlah kenaikan ini membuatkan saya sekeluarga terkejut, dalam masa sama rasa terbeban dan mula curiga dengan jumlah yang dicatatkan,” katanya.

Dalam pada itu, Nurul Izzah berkata, pihaknya akan menjalankan siasatan terlebih dahulu dengan merujuk kepada pegawai TNB berhubung kenaikan tarif elektrik kepada pengguna di sekitar Jalan Klang Lama yang dikatakan berlaku kenaikan ketara.

Menurutnya, kenaikan sekitar RM111.81 sudah pasti akan memberi beban kepada pengguna yang rata-rata bukan golongan berada.

“Selepas membuat siasatan, kita adakan sidang media antara penduduk dan TNB untuk menjawab isu yang berbangkit, apa yang berlaku sebenarnya adalah kenaikan kos yang ditanggung oleh pembekal tenaga bebas yang akan dipindahkan kepada TNB yang kemudian menyalurkannya kepada pengguna.

“Lebih malang, mekanisme baru itu juga menyaksikan tarif elektrik dinaikkan sebanyak dua kali kerana kos arang batu dan gas yang digunakan bagi menghasilkan tenaga akan disemak setiap enam bulan,” katanya.

Beliau berkata, kedudukan� kewangan TNB adalah pada status quo, rakyat yang menanggung kenaikan tarif dan pengeluar tenaga bebas (IPP) langsung tidak menerima sebarang kesan daripada langkah itu kerana kos bahan api disalurkan melalui mekanisme berkenaan.

Katanya, IPP membeli gas Petronas mengikut harga pasaran, kemudian IPP menjual tenaga bersama kenaikan kos kepada TNB.

Sementara, kos arang batu (TNB) dan gas (TNB dan IPP) disemak setiap enam bulan.

TNB jelasnya, kemudian menjual tenaga kepada pengguna yang mana harga jualan termasuk kos sendiri dan juga kos IPP.

“Pada pendapat saya, pihak paling beruntung adalah Kerajaan Pusat yang selama ini bangga dengan laungan rakyat didahulukan, sedangkan kebajikan rakyat di pinggirkan.

“Isu ini akan saya atasi sebaiknya dan untuk mengukuhkan aduan ini, saya harap penduduk dapat mengumpul bukti bil elektrik bersama beberapa penghuni kawasan lain yang mengalami masalah sama dengan mengemukakan surat aduan, saya akan mengeluarkan surat aduan rakyat dan sokongan kepada TNB mengenai isu ini,” katanya.

Difahamkan, kenaikan bil elektrik yang berlaku adalah bersifat sementara bagi membuat penyelarasan tarif baru elektrik.

No comments:

Post a Comment