Thursday 27 October 2011

Hudud komponen kecil dalam Islam



SHAH ALAM – Perlaksanaan hukum hudud adalah kecil dari segi syariat Islam secara keseluruhan, namun ia komponen terpenting umpama ‘paku untuk mengukuhkan binaan rumah’.
Exco Kelantan, Datuk Mohd Amar Abdullah berkata, Kelantan melihat sudah tiba masanya hukum ini dilaksanakan.
Menurutnya, isu hudud timbul bukanlah kerana demam pilihan raya umum yang semakin dekat, tetapi isu ini sentiasa diperkatakan setiap tahun oleh Pas Kelantan sejak mula meme-rintah pada 1990 lagi.
“Isu ini bermula apabila seorang wartawan bertanya mengenai hudud, lalu isu ini terus diperbesarkan, bukannya kami yang memulakannya.
“Selain itu, statistik yang menunjukkan penyakit HIV tinggi di Kelantan juga menyebabkan kita berfikir perlu melaksanakan undang-undang Islam,” katanya.
Katanya, peningkatan kadar jenayah yang tinggi menunjukkan undang-undang sedia ada tidak mampu menyekat peningkatan ini.
“Apabila undang-undang ini diluluskan, kita tidak akan terus potong tangan, apa yang lebih penting adalah kesedaran dan pendidikan menyeluruh kepada masyarakat.
“Dari segi Islam, hudud penting, kita tidak nafikan, tetapi dari segi masa dan perlaksanaan kita boleh bertolak ansur,” katanya.
Mengulas mengenai penerimaan DAP mengenai hudud, Mohd Amar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Panchor menjelaskan DAP tidak menerima hudud, namun parti itu menghormati keputusan Pas.:
Ditanya mengenai hubungan dan perjalanan Pas dan DAP dalam Pakatan Rakyat (PR), beliau berkata, hubungan kedua parti dalam PR tiada masalah.
“Hubungan kami umpama polis dan banduan, naik satu kereta yang sama,” katanya berseloroh.

No comments:

Post a Comment