Thursday 27 October 2011

Tak perlu pinda Perlembagaan



MM (Maszlee Malik): (Datuk Mohd Amar Nik Abdullah), jika dilihat kebanyakan gerakan Islam sekarang ini meletakkan isu good governance (kerajaan/ pentadbiran yang baik), ketelusan, akauntabiliti, kebebasan dan keadilan sama ada ekonomi dan keluhuran undang-undang sebagai keperluan zaman ini. Peliknya Pas, menjelang Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) sibuk dengan hudud. Apakah ini strategi Pas untuk kekal di Kelantan? Apakah Pas tidak melihat keperluan semasa dan aulawiyat (keutamaaan)? Apakah Pas tidak melihat keadaan politik bad governance (kerajaan/ pentadbiran yang teruk) Barisan Nasional (BN) mengikut apa dipersetujui (Pakatan Rakyat) perlu dihentikan terlebih dahulu sebelum memberi peluang kepada rakyat memilih sama ada mereka ingin hudud atau sebaliknya melalui ruang demokrasi yang lebih terbuka dan adil. Ini yang kita boleh lihat kepada banyak gerakan Islam lain di seluruh dunia yang mana mereka tidak meletakkan hudud sebagai keutamaan tetapi kepada isu lain dalam perjuangan politik mereka berbanding Pas. Bagaimana Datuk?

MANA (Mohd Amar Nik Abdullah): 
Saya datang bukan untuk berpolemik atau mencari menang tetapi adalah bagi menjelaskan pendirian dan sebab kenapa kita begitu bersungguh-sungguh mahu laksanakan hudud. Sebenarnya, matlamat paling besar tegakkan Islam di Malaysia yang telah menjadi asas perjuangan Pas sejak dulu lagi. Berbalik kepada soalan mengapa gerakan Islam yang lain masih tidak berbicara mengenai hudud, saya rasa mungkin kerana suasana berbeza dan mereka belum menguasai kerajaan dan memerintah. Tuhan takdirkan dalam seluruh gerakan Islam yang ada sekarang, Pas salah satu yang diberi peluang ALLAH untuk memerintah. Kita berpengalaman memerintah Kel­antan selama 18 tahun dan kemudiannya kalah pada 1978 selama 12 tahun dan me-nang kembali yakni sudah masuk tahun ke-21.

Apabila kita mempunyai kerajaan, kita bergerak mengikut keutamaan. Walaupun hudud adalah sebahagian kecil daripada aspek pemerintahan Islam, tetapi ia bahagian penting dalam Islam. Kenapa dekat pilihan raya? Sebenarnya, bukan kita yang sebut tetapi isu ini timbul apabila kita ditanya wartawan ekoran isu Kelantan berdepan penghidap HIV tertinggi dalam negara. Ini kerana, kita merekod dengan tepat berbanding negeri lain yang sembunyikan data. Kita berterus terang kerana bukan hendak sapu sampah masuk bawah karpet. Kita berdepan dengan realiti dan dicatat dengan telus. Bila ditanya sebab tinggi, lantas Tok Guru (Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat) berkata, ini adalah antara sebab perlunya melaksanakan syariat Islam termasuk hukum hudud untuk menyelesaikan masalah masyarakat. Tetapi perkara tersebut ditekankan yang kemudiannya di sambut pelbagai pihak sehingga menjadi isu besar dalam negara. Kita bukan bercakap kerana pilihan raya. Hudud diluluskan di Kelantan pada 1993 dan setiap tahun hari hudud disambut. Hudud diperkatakan setiap tahun, selama ini masing-masing tidak buka telinga jadi mereka tidak dengar tetapi selepas keluar akhbar, baru semua orang dengar.

Walaupun hudud sebahagian kecil daripada perundangan Islam, tetapi kepentingannya dalam sebuah fabrik negara lebih lagi dalam konteks sama ada yang mana kadar jenayah begitu tinggi dan meningkat. Malahan undang-undang sedia ada tidak mampu menyelesaikan masalah ini. Ini adalah pendekatan kita yang mungkin boleh membantu untuk menyelesaikan masalah jenayah sekali gus masalah masyarakat. Atas sebab itu, kita meminta laluan pihak berkuasa terutama Kerajaan Persekutuan untuk memberi laluan kepada Kelantan menjadi makmal uji kaji kemampuan dan kebolehan syariat Islam ini dilaksanakan.

Selama memerintah Kelantan 21 tahun, kita bukan hanya bercakap mengenai hudud, tetapi pelbagai usaha dilakukan untuk memberi kefahaman kepada rakyat mengenai Islam. Atas sebab itu, kita letak dasar membangun bersama Islam supaya ma­syarakat melihat Islam sebagai cara hidup yang menyeluruh. Itu yang penting dan kita melakukan pelbagai program berasaskan ajaran Islam. Contohnya, dalam masyarakat, ada anak-anak yang boleh dididik melalui nasihat tetapi ada yang dinasihat tetap tidak dengar kata. Orang kata kena bagi ‘penampar Jepun’ baru dengar kata, jadi hudud boleh jadi ‘penampar jepun’ kepada mereka yang degil tidak mematuhi undang-undang.

MM: (Profesor Madya Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah), dalam salah satu artikel tulisan Prof, ada disebut mengenai perlunya Pas dan Umno bertegas dengan orang bukan Islam terutama kumpulan ultra kiasu apabila berbicara mengenai soal hudud dan hak kita sebagai orang Islam yang perlu ditegakkan. Tetapi, tidakkah Prof melihat ia sebagai ‘tyranny of the majority’ (kesengsaraan majoriti). Mentang- mentang kita majoriti dan ‘tuan’ di negara ini, maka tidak ambil peduli kepada golongan warganegara lain. Mereka juga warganegara dan memegang kad pengenalan biru, adakah mereka tidak mempunyai hak menyuarakan pandangan? Mengapa tiada usaha untuk memberi kefahaman dan penerangan sebenar melalui dialog terbuka di media. Malahan jabatan agama termasuk Jakim (Jabatan Kemajuan Islam Malaysia) dalam Konvesyen Majlis Agama Islam juga tidak membincangkan mengenai hudud. Bukankah sepatutnya agensi ini membuka ruang perbincangan de-ngan bukan Islam supaya setiap keputusan diambil turut mengambil kira persetujuan mereka?

MRTA (Mohd Ridhuan Tee Abdullah): Saya menyeru supaya umat ini bersatu kerana masa tidak banyak menunggu kita. Itu yang sekian lama saya perkatakan. Perkara ini tidak boleh lakukan seorang sahaja seperti apa yang berlaku sekarang sehingga menimbulkan banyak polemik. Jika kita bersatu, pasti orang lain sukar naik dan pijak kepala kita. Justeru, apa yang saya bangkitkan kerana hukum Islam dipermainkan oleh ultra kiasu. Kita sendiri tahu siapa dia. Saya mulanya percaya golongan ultra kiasu ini, apabila berkawan de-ngan Pas, makin lembut dengan Islam tetapi sebaliknya, makin kuat melawan.

Kajian demi kajian dibuat namun sehingga ke hari ini saya masih belum jumpa kajian penerimaan hudud dalam kalangan orang bukan Islam. Sebab itu, kita meminta Univerisiti Malaya yang mempunyai Akademi Pengajian Islam dan Fakulti Pengajian Islam di Universiti Kebangsaan mengkaji mengapa orang bukan Islam begitu menentang dan mengeluarkan kenyataan ‘langkah mayat aku dulu’ sehingga ke hari ini. Saya yakin kenyataan ini dibuat kerana individu itu tahu kita lemah. Jika kita kuat, kenyataan itu tidak akan keluar. Malahan seorang ultra kiasu yang juga Ahli Parlimen di satu kawasan di Kuala Lumpur apabila ditanya yang mana pilihan orang Cina sama ada Pas atau Umno, katanya mereka tahu Umno korup dan Pas ada integriti. Tetapi jika diberi pilihan antara negara Islam dengan calon yang korup, orang Cina sebaliknya memilih calon korup daripada calon yang mempunyai integriti dan ingin tegakkan undang-undang Islam.

Saya melihat persepsi masyarakat Cina terhadap Islam tidak menunjukkan peningkatan yang begitu baik. Ia masih di tahap sama dan respon juga negatif. Malahan dapatan daripada kajian kalangan pelajar institut pengajian tinggi (IPT) mengenai Islam juga tiada perkara positif boleh ditonjolkan.

Justeru, adalah lebih baik kita berbicara mengenai sesuatu yang sudah menjadi dasar bersama dan suruhan semua agama. Kita ambil nilai besar ini dan bincangkan bersama supaya dapat dilihat sama ada mereka bersetuju atau sebaliknya. Perkara ini perlu kita fikirkan bersama tentang sejauh mana persiapan melaksanakan hudud supaya tidak timbul persepsi negatif.

MM: Apabila kita berbicara mengenai hudud pada 1993, isunya kerana bertentangan dengan Perlembagaan. Tetapi, pensyarah undang-undang, Prof Dr Abdul Aziz Bari berkata, tiada isu Perlembagaan sebab tidak perlu pinda Perlembagaan di Kelantan dan yang perlu dipinda adalah Akta Mahkamah Syariah. Selain itu, timbul persepsi dalam keadaan mahkamah syariah yang dilihat tidak berkredibilti, jabatan agama Islam negeri lesu dan tidak produktif malahan dalam urusan asas masih terabai. Seperti pendaftaran, pentadbiran zakat, isu ramai orang Islam yang tidak yakin dengan Islam. Adakah kita hendak meletakkan keyakinan kepada mahkamah syariah untuk menguruskan hudud yang besar ini sedangkan perkara asasi pihak jabatan agama negeri masih gagal diatasi?

MIR (Mohd Isa Ralip): Memang benar isu hudud di Kelantan sebelum ini adalah kerana bertentangan Perlembagaan dan ultra-virus. Ini kerana Kerajaaan Negeri tidak boleh membuat undang-undang atau enakmen bertentangan Akta Persekutuan kerana akan terbatal serta merta.

Saya bersetuju dengan kenyataan Dr Aziz yang menyatakan dalam pelaksanaan hudud iaitu enakmen di Kelantan dan Terengganu tidak bertentangan dengan Perlembagaan dan yang perlu dipinda adalah Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) Pindaan 1988. Akta ini mengehadkan kuasa mahkamah syariah kepada apa yang dipanggil 356 iaitu tiga tahun penjara, denda RM5,000 dan enam kali sebatan. Justeru, bagaimana hudud dapat dilaksanakan kerana dalam hudud mempunyai lebih 80 sebatan dan sebagainya.

Justeru apabila Kelantan melaksanakan jawatankuasa untuk mengkaji kekangan dari sudut perundangan dan dan enakmen yang perlu diteliti adalah penting kerana untuk melaksanakan hudud bukan senang kerana melibatkan enakmen lain.

Ia bukan sahaja akta kena pinda tetapi pelbagai perkara seperti prosedur jenayah, proses siasatan dan enakmen lain yang perlu dikaji. Prosedur dalam hukum hudud perlu mantap dan bukannya boleh dilaksanakan begitu sahaja.

Ya, memang kita nampak ada kelesuan di mahkamah syariah dan pejabat agama namun beri sedikit peluang. Kita kena berpegang pada Islam dan yakin dengan Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan bahawa Islam agama rasmi Persekutuan. Sekiranya hudud dilaksanakan akan memberi kebaikan dan menaik tarafkan bidang kuasa mahkamah syariah akan lebih luas sekali gus tidak terhad kepada akta tersebut sahaja dan mendidik masyarakat. Berbanding hukum takzir, jika dilihat denda setakat RM3,000, orang masih mampu ba-yar, tidak takut dan kesalahan masih mampu berulang.

Jika pindaan itu dilakukan, ia akan memberi ruang kepada negeri lain untuk meminda enakmen atau kesalahan jenayah syariah negeri. Contohnya seperti kesalahan zina, jika tidak rejam boleh dikenakan penjara 20 tahun sama seperti kes rogol termasuk bagi hukuman lain dalam hudud. Pindaan enakmen prosedur jenayah perlu dilaksanakan untuk memperkasakan mahkamah syariah. Kita faham dengan hasrat Kerajaan Kelantan tetapi apa yang perlu dilaksanakan adalah pemerkasaan jabatan agama dan mahkamah syariah. Bidang kuasa dan integriti yang luas akan menyebabkan dua jabatan ini akan lebih mantap dan kukuh.

MM: Jika dilihat Kelantan, selama 21 tahun apakah Kelantan sudah menjadi model? Apa yang menyebabkan Kelantan boleh dijadikan contoh atau model sama ada daripada segi kebajikan, ekonomi dan lain-lain? Sejauh mana selama 21 tahun ini, Kerajaan Kelantan berusaha menjadikan Kota Bharu sebagai model bandar Islam paling bersih di negara ini ataupun sebagai bandar mesra orang kurang upaya (OKU) contohnya. Ataupun selama 21 tahun, Kerajaan Kelantan melalui sistem pendidikanya berjaya melahirkan ulama setaraf ulama Dr Yusof Qardhawi misalnya. Justeru keadaan begini, adakah hudud sahaja yang Kelantan mampu lakukan?

MANA: Selama 21 tahun, Pas memerintah Kelantan, pelbagai perubahan dilakukan tetapi tidak diketahui orang ramai kerana kekangan media massa yang terhad. Oleh sebab itu, banyak pencapaian di Kelantan kurang diketahui umum. Hudud bukan fokus kami di Kelantan kerana semasa kami menang dulu Tok Guru (Nik Aziz) memperkenalkan dasar membangun bersama Islam untuk membentuk minda masyarakat. Selama ini, masyarakat melihat Islam hanya ritual sahaja iaitu perkara menyentuh peribadi antara manusia dan Tuhan. Kita ingin mengubah minda masyarakat supaya melihat Islam bukan dalam aspek ibadah ritual kepada satu sistem hidup. Sebab itu, program yang kita laksanakan adalah berasaskan Islam sama ada dasar pembangunan, pelancongan, masyarakat dan sukan. Malahan dalam usaha tersebut, aspek pendidikan paling banyak. Ini adalah persiapan melaksanakan syariat secara menyeluruh.

Apabila kita meluluskan enakmen hudud pada 1993, kita sebenarnya ingin meletakkan hudud di tempatnya yang sebenar. Dalam konteks negara ini, hudud masih belum dimartabatkan dan kerana itu, ia masih dalam al-Quran dan kitab sahaja dan tidak dijadikan sebagai undang-undang.

Apa yang kami laksanakan di Kelantan, adalah meletakannya di tempat sepatutnya, menjadikan undang-undang dengan dikanunkan di Dewan Undangan Negeri dan dijadikan enakmen. Soal bila dilaksanakan sepenuhnya bergantung kepada suasana dan keperluan sedia ada.

Masyarakat tidak faham kerana mereka beranggapan apabila enakmen itu diluluskan pada 1993, terus potong tangan. Setelah lulus, kita akan buat pendidikan dan persediaan kepada masyarakat. Alhamdulilah, sekarang ini rotan telah ada yang disimpan di Penjara Pengkalan Chepa, tukang sebat dan latihan menyebat juga sudah diberi bagaimana cara sebatan mengikut kaedah Islam. Anda boleh tengok kerana ada demontrasi bagaimana sebatan dibuat mengikut Islam berbanding sivil. Asas kami sudah mencukupi. Bila akan dilaksanakan bergantung kepada masa.

Melaksanakan undang-undang hudud memerlukan pembuktian tinggi. Masalahnya apabila memperkatakan hudud, masyarakat hanya nampak potong tangan dan rejam tetapi tidak melihat kaedah, prosedur serta tahap pembuktian sebelum dijatuhkan hukuman. Hudud bukan apabila mencuri sahaja, terus potong tangan. Mentaliti kefahaman Islam dan persepsi itu rendah pengetahuannya. Dalam salah satu kitab mengenai hudud ditulis oleh Al-Qurtubi menyatakan ada 20 syarat sebelum hukuman potong tangan dijalankan kerana dalam enakmen hudud, ada pengecualian tertentu. Umpamanya jika nilai barangan rendah seperti mencuri sebungkus mi segera tidak boleh potong tangan kerana tidak sama de-ngan nilai barangan dicuri. Barang disimpan yang tertutup sekurang-kurangnya dalam poket seluar dan orang yang mencuri bukan atas desakan hidup.

Bercakap soal ketidakadilan, kita akui berdasarkan kajian dan pembacaan berlaku sedikit masalah (dalam pelaksanaan hudud) di Pakistan dan panel kami pernah ke Nigeria di mana Kerajaan Persekutuannya beragama Kristian tetapi Kerajaan Pusat yang Kristian itu membenarkan wila-yahnya ditadbir orang Islam mengamalkan hudud. Namun di negara kita, Kerajaan Persekutuan orang Islam tetapi tidak memberi laluan kepada negeri (Kelantan) untuk melaksanakan hudud. Bagaimanapun kami yakin jika kami diberi laluan undang-undang, ketidakadilan ini boleh dielak sebaik mungkin.

MM: Jika dilihat, konsep penyaksian dalam hudud mementingkan lelaki Islam walupun isu dalam hudud bukan zina sahaja. Jadi jika wanita dikecualikan daripada menjadi saksi dan orang bukan Islam juga tidak boleh jadi saksi sekalipun barang yang dicuri orang Islam itu milik orang bukan Islam. Adakah ini diskriminasi gender dan agama? Jika orang bukan Islam tidak dapat menerima, bagaimana?

MRTA: Sepanjang pergaulan saya dengan bukan Islam, tidak kira berapa lama anda berkawan, keadaan tetap tidak banyak berubah. Ini pada pandangan saya, setuju atau tidak terpulang. Jika tidak percaya, kita lihat apa yang akan berlaku pada generasi seterusnya.

Kajian saya buat adalah pada genersi muda, pelajar IPT mengenai pandangan mereka terhadap Islam. Jika ini diperturunkan generasi tua kepada generasi muda, saya tidak nampak undang-undang Islam akan diterima mereka. Sebab itu, jika ingin laksanakan undang-undang Islam perlu ‘by force’ (secara paksaan). Peluang sepatutnya kita gunakan dulu, selepas peristiwa 13 Mei 1969, itu peluang kita tidak ambil dan biarkan begitu sahaja. Hari ini keadaan tidak banyak membantu kerana perpecahan makin kuat dan anda semua berharap mereka terima undang–undang Islam.

Orang bukan Islam sampai bila-bila tidak akan terima undang-undang ini kerana jika sesama Islam sendiri kita masih gagal menunjukkan ‘role model’ (contoh ikutan) yang baik. Saya berharap untuk melaksanakan hudud, Pas dan Umno perlu bersatu kerana jika tidak, hukum ini tidak akan dapat dapat dilakukan sama ada peringkat negeri mahupun Persekutuan. Ini kerana perkara yang berkaitan dengan Islam dan raja-raja Melayu memerlukan dua pertiga majoriti di Parlimen.

Jika tiada sokongan orang bukan Islam yang masih menentang, bagaimana hendak harapkan mereka menyokong kerana kajian saya tidak menampakkan perkara positif dengan undang-undnag sebegini.

Justeru, apabila memperkatakan perkara berkaitan Islam dan Melayu perlu disampaikan dengan berlapik sedikit kerana biarlah akhirnya pandangan itu menyebelahi agama. Jika terlalu terbuka akan menyebabkan ‘kaduk naik junjung’ yang akhirnya memberi implikasi besar kepada perkembangan Islam negara ini.

MM: Untuk masuk Islam pun tidak boleh paksa, apatah lagi undang-undang Islam, adakah perlu kita paksa bukan Islam menerimanya?

MRTA: Ingin saya bercakap sedikit, negara ini berasal dari sistem kenegaraan Melayu. Kalau saya bercakap begini, saya dilihat lebih Melayu daripada orang Melayu sendiri, tapi saya mesti katakannya. Setiap negara di dunia ada tuannya, ALLAH SWT jadikan manusia ini adil, setiap bangsa ada tempatnya dan negara tersebut diambil dari nama bangsa itu.

Negara tidak boleh terjadi terus berbilang bangsa. Ingin saya tegaskan untuk kita berfikir sejenak, kenapa negara ini yang berakar umbikan Melayu akhirnya kita tidak tahu ke mana arah identiti negara yang mahu kita bawa.

Memang kita tidak boleh memaksa orang bukan Islam memeluk agama Islam, tetapi kita boleh paksa orang bukan Islam menerima undang-undang Islam yang duduk di negara Islam.

No comments:

Post a Comment