Thursday 6 October 2011

672 Lans Koperal naik pangkat di Kedah




Dari kanan,Ooi Siew Kee, S. Sathiavaloo, Nor Kamaruzzaman Aznam dan Baldave Singh menunjukkan lencana pangkat pada uniform mereka setelah dinaikkan pangkat kepada koperal di Alor Setar, Kedah, semalam.


ALOR SETAR 6 Okt. - Seramai 672 anggota polis berpangkat Lans Koperal dinaikkan pangkat kepada Koperal tanpa proses temuduga pada Majlis Pemakaian Pangkat Koperal Kontinjen Kedah 2011 di Dataran Pahlawan, Taman Jubli Emas di sini, hari ini.
Ketua Polis negeri, Datuk Ahmad Ibrahim berkata, mereka dinaikkan pangkat berdasarkan tempoh perkhidmatan iaitu tidak kurang daripada lapan tahun berkhidmat.
"Selain itu, penilaian juga dibuat dengan merujuk kepada prestasi kerja, tiada masalah tatatertib serta lulus peperiksaan yang ditetapkan oleh jabatan," katanya kepada pemberita selepas Majlis Pemakaian Pangkat Koperal Kontinjen Kedah 2011 di Dataran Pahlawan, Taman Jubli Emas di sini, hari ini.
Katanya, dengan kenaikan pangkat itu beliau berharap semua anggota polis terlibat meningkatkan kualiti kerja selaras dengan moto pasukan keselamatan itu, 'Tegas, Adil dan Berhemah.'
"Di samping itu juga saya menasihatkan semua anggota yang turut menerima kenaikan gaji agar berbelanja dengan bijaksana," katanya.
Tambah beliau, proses kenaikan pangkat itu akan dilakukan secara berperingkat dan hari ini adalah fasa pertama melibatkan 672 anggota.
Sementara itu, anggota polis, Koperal Nor Kamaruzzaman Aznam, 51, bersyukur kerana segala sumbangannya sepanjang 31 tahun dalam pasukan dihargai dengan kenaikan pangkat itu.
"Saya berazam untuk terus bertugas dengan lebih baik bukan sahaja untuk diri sendiri tetapi juga untuk agama, bangsa dan negara," katanya.
Pada 11 September lalu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar mengumumkan kenaikan pangkat 16,010 anggota polis berpangkat Lans Koperal kepada Koperal secara automatik mengikut tempoh perkhidmatan tanpa perlu menjalani proses temu duga.

No comments:

Post a Comment