Tuesday 4 October 2011

Saiful dakwa Anwar munafik



KUALA LUMPUR – Seorang saksi yang merupakan bekas pelajar Universiti Tenaga Nasional (Uniten) mendakwa terkejut apabila mengetahui Mohd. Saiful Bukhari bekerja sebagai pembantu Datuk Seri Anwar Ibrahim walhal dia tidak menyanjung Ketua Pembangkang itu.
Bekas rakan universiti Mohd. Saiful sejak 2003, Mohd. Najwan Halimi, 26, berkata, pengadu turut meletakkan gambar Anwar dengan tajuk ‘Anwar Ibrahim pemimpin munafik’ pada akaun laman sosial Friendster miliknya.
“Mohd. Saiful tidak pernah menyanjung Anwar apatah lagi menjadikannya sebagai idola sebagaimana mahkamah diberitahu sebelum ini,” dakwanya semasa pemeriksaan utama oleh peguam Sankara Nair di Mahkamah Tinggi di sini semalam.
Pegawai di pejabat Penasihat Ekonomi Selangor itu turut menyifatkan Mohd. Saiful seorang yang tegas, berprinsip dan mempunyai bersifat kepimpinan namun gila publisiti, suka perhatian serta menonjolkan diri.
Anwar ketika ini merupakan Penasihat Ekonomi Selangor.
Mohd. Najwan mendakwa, Presiden Majlis Perwakilan Pelajar Uniten ketika itu merupakan seorang yang prokerajaan dan mengecop Anwar sebagai tidak boleh dipercayai.
“Mohd. Saiful juga suka memasukkan gambar-gambar dia bersama pemimpin dan menteri seperti Tan Sri Syed Hamid Albar, Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Datuk Azalina Othman,” dakwanya.
Menurut Mohd. Najwan, dia turut melayari laman web tersebut pada penghujung Februari 2008 yang memuatkan lambang Barisan Nasional (BN) pada laman sosial itu bersama dengan keterangan gambar ‘Undilah BN’.
“Berdasarkan pengalaman dan andaian itulah menyebabkan saya terkejut apabila melihat Mohd. Saiful berada di satu ceramah di Subang Jaya anjuran pembangkang pada penghujung Februari 2008. Beberapa minggu kemudian saya dapat tahu dia menjadi staf Anwar,” katanya.
Mohd. Najwan kemudian menghantar e-mel kepada Anwar bagi mengingatkan tertuduh akan peribadi Mohd. Saiful yang tidak layak untuk menjadi pembantunya.
Sementara itu, semasa soal balas oleh Peguam Cara Negara 11, Datuk Mohd. Yusof Zainal Abiden, saksi sependapat dengan pendakwaan bahawa tiada yang pelik apabila melihat gambar seseorang bersama dengan pemimpin negara.
Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Mohamad Zabidin Md. Diah bersambung esok.

Hudud boleh diketepi: Dr Asri



Firman ALLAH SWT yang bermaksud:

“Dan sesiapa yang melanggar aturan-aturan hukum Allah maka mereka itulah orang-orang yang zalim.” - Surah Al-Baqarah, ayat 229:

Hudud bukan sekadar undang-undang potong tangan sehingga menakutkan bukan Islam untuk dilaksanakan di negara ini, kata bekas Mufti Perlis, Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin.

Beliau orang pertama mengeluarkan kenyataan hudud boleh dilaksanakan dalam suasana kondusif, iaitu perlu mendapat restu daripada Kerajaan Pusat dan bermatlamat untuk melahirkan masyarakat yang aman damai.

Semasa berbicara dengan beliau ada hujah yang menarik diperkatakannya: “Jika ada hukum yang ditegakkan atas nama Islam tetapi gagal membawa keadilan kepada kehidupan manusia, maka ia bukan syariat yang Allah kehendaki sekalipun dipetik dalil-dalil agama dalam mempertahankannya.”

Ikuti pandangan beliau mengenai isu hudud dari pelbagai sudut.


Apakah pandangan Dr Asri mengenai kenyataan Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang mahu melaksanakan hukum hudud di negeri berkenaan.

DR ASRI :Saya melihat beliau begitu serius dan bukan main-main hendak melaksanakan hudud. Hasrat ini terbit dari perasaan dan tanggungjawab sebagai pemerintah Muslim terhadap ayat-ayat al-Quran serta nas-nas Rasulullah SAW.


Sebelum ini kenyataan Dr Asri, hudud boleh dilaksanakan tetapi ia bergantung pada suasana kondusif. Boleh Dr jelaskan?


DR ASRI: Maksudnya, saya sokong perlaksanaannya tetapi yang perlu ditekankan hudud masih terikat dengan persekitaran dalam negeri dan pentadbiran Pusat yang saya gelarkan suasana kondusif. Mudahnya, selagi Pusat tidak memberi kerjasama, Kelantan tidak mungkin boleh melaksanakan.


Adakah hukum hudud di sesuai dan praktikal di laksanakan di negara ini yang terdiri daripada pelbagai kaum?

DR ASRI: Kita kena lihat tujuan hudud untuk keharmonian masyarakat dan undang-undang hanya dikenakan kepada penjenayah zalim sahaja dengan bukti-bukti yang kukuh. Sekarang kalau kita lihat, undang-undang yang dijatuhkan kepada penjenayah tidak memberi apa-apa pengajaran, keluar penjara mereka tetap melakukan perkara yang sama. Inilah yang diperlukan hudud.


Pandangan segelintir pihak, hukum hudud sesuai dilaksanakan di Kelantan dan Terengganu?


DR ASRI: Seperti ditekankan, apabila berlaku ketidakadilan dalam sistem perundangan yang ada dan suasana konduksif dianggap subur, hudud menjadi sebahagian daripada undang-undang. Jika keadaan tidak kondusif, adalah tidak wajar mana-mana pihak menyalahkan pihak lain kerana tidak melaksanakan hukum itu.


Perlukah hudud mendapat pandangan semua pihak sebelum dilaksanakan?

DR ASRI: Memang perlu, andai kata ia dilaksanakan tetapi menimbulkan ketidakadilan kepada semua pihak dalam masyarakat majmuk di negara ini sewajarnya tidak seharusnya dilaksanakan.


Mengenai perlaksanaannya, misalnya kes zina memerlukan empat saksi, adakah teknologi terkini seperti video boleh dijadikan bahan bukti?

DR ASRI: Ia tidak boleh dijadikan bukti asas untuk mensabitkan seseorang dalam kes sebab boleh mengaibkan peribadi seseorang.


Jika ini berlaku, adakah ia memberi imej tidak baik pada Islam?


DR ASRI: Sekiranya ada hukum yang ditegakkan atas nama Islam tetapi gagal membawa keadilan kepada kehidupan manusia, maka ia bukan syariat yang Allah kehendaki sekalipun dipetik dalil-dalil agama dalam mempertahankannya, itu sudah jelas untuk difahami.


Bagaimana keadilan kepada orang Islam kerana perlaksanaannya untuk orang Islam sahaja sedangkan bukan Islam terlepas?

DR ASRI: Jika perkara ini berlaku ke atas bukan Islam perlu dikenakan dengan hukuman lain, namun sekiranya ia masih bebas (tidak dikenakan hukuman), jadi perlaksanaannya undang-undang Islam ini tidak boleh dipanggil hudud.


Mengambil contoh, dua penjenayah bernama ‘Abu’ dan ‘Ah Lee’ melakukan rompakan, seperti diketahui Abu dipotong tangan manakala Ah Lee di penjarakan, bagaimana proses keadilan dilakukan? 


DR ASRI: Kedua-duanya adalah penjenayah dan mereka mengancam masyarakat, jadi hukumannya perlulah sama. Kita perlu memasukkan unsur-unsur hudud dalam sistem perundangan yang ada, itu sudah jelas kerana matlamat untuk menjaga keharmonian masyarakat bukan menjaga kepentingan penjenayah.


Dalam undang-undang ini, bagaimanakah pesalah mendapat pembelaan?

DR ASRI: Ketika membentangkan kertas kerja sempena sambutan Hari Hudud 2011 di Kota Bharu, Kelantan 20 September lalu, saya ada menjelaskan mengenai ruangan taubat dalam hudud. Mereka yang bertaubat sebelum tangkapan dilakukan hukumannya perlu digugurkan dan digantikan dengan takzir, iaitu pemerintah boleh meminda atau membatalkannya.


Bolehkah Dr memberikan contoh keadilan untuk mudah difahami mengenai soalan di atas.


DR ASRI: Senang saja, jika ada kecurian, jangan angkat kes ke mahkamah sebaliknya selesai antara mereka. Dalam memastikan perlaksanaan hudud, pemerintah hendaklah mendidik rakyat agar mengelakkan sikap suka mengangkat kes hudud kepada pihak mahkamah sebaliknya, hendaklah digalakkan memaafkan antara rakyat dan diselesaikan diluar mahkamah.

Ini seperti hadis Nabi SAW: “Sesungguhnya pencuri pertama dalam Islam dibawa kepada Nabi SAW lalu diperintahkan agar dipotong tangan. Wajah Rasulullah SAW seakan kecewa sedih. Mereka berkata: “Wahai Rasulullah! Seakan engkau membenci hal ini”.

Jawab Nabi SAW “Mengapa tidaknya aku benci, kamu semua telah menjadi penolong syaitan menentang saudara kamu. Sesungguhnya tidak wajar bagi pemerintah yang diangkat kepadanya hukuman had melainkan dilaksanakan”. Lalu baginda membaca firman Allah: “Hendaklah kamu maafkan dan lupakan kesalahan, tidakkah kamu suka supaya Allah ampunkan dosa kamu? (Surah an-Nur: 22)”


Bagaimana hudud menjamin penganutnya dalam konsep keadilan?


DR ASRI: Seperti saya perjelaskan kepada umum, keindahan Hudud bukan melihat pandangan hukuman rejam kepada lelaki atau perempuan yang berkahwin sebagai contoh. Kita perlu lihat pengkhianatan kepada pasangan dan keluarga sesuatu yang amat buruk dan keji. Jika suasana kondusif diambil kira dalam perlaksanaan hukum, kita dapati hudud mencapai matlamat sebagai pencegahan, pendidikan dan keindahan hukuman itu. Jika matlamat ini tidak berjaya, hukumannya akan membawa fitnah dan pandangan tidak baik pada Islam.


Bagaimana pula dengan pandangan awam mengatakan hudud menyekat hak asasi manusia?


DR ASRI: Ramai akan menganggap, apabila hudud dilaksanakan bererti ‘privacy’ individu akan terganggu. Intipan di sana-sini akan dibuat untuk mencari orang yang berzina dan minum arak. Ini diburukkan lagi dengan gambaran perlaksanaan sekarang yang dilakukan oleh pihak penguat kuasa agama di sesetengah tempat apabila mereka seakan memasang ‘spy’ dalam mencari pelaku maksiat peribadi.

Ini amat salah dan bercanggah dengan firman Allah dalam surah al-Hujurat ayat 12: (maksudnya) “Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa; dan janganlah kamu mengintip mencari-cari kesalahan orang.”


Sebenarnya apa masalah hendak laksana hudud dan bagaimana hendak diatasi?

DR ASRI: Sekiranya terdapat lompangan ketidakadilan, kita perlu mengemaskinikan enakman yang sedia ada dan mengadakan diskusi mengenai hudud. Ia memerlukan masa panjang dan mereka yang pakar perlu meneliti persoalan yang dikemukakan.


Adakah Dr setuju dengan pendapat mengatakan perlaksanaan Hudud menyebabkan pelaburan dan kegiatan ekonomi dari luar terbantut.

DR ASRI: Sekiranya berlaku ketidakadilan sehingga menakutkan orang ramai, perkara ini boleh berlaku kerana orang luar melihat negara kita tidak sesuai untuk tujuan pelaburan dan pelbagai kekangan dilakukan kepada mereka.