Thursday 27 October 2011

Laporan audit bukti kegagalan dasar transformasi



SHAH ALAM - Pembangkang menyifatkan beberapa kelemahan di pihak kerajaan yang dibangkitkan dalam Laporan Ketua Audit Negara 2010 sebagai bukti kegagalan dasar transformasi dilaksanakan Kerajaan BN.
Ketua Umum Pakatan Rakyat (PR), Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, meskipun Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan pelbagai janji untuk menangani kepincangan, ke-lemahan dan ketirisan dalam menguruskan ekonomi negara sejak mengambil alih pentadbiran pada 3 April 2009, namun ternyata ia masih belum dipenuhi.
“Laporan Ketua Audit Negara 2011 mendedahkan banyak kelemahan, kepincangan dan penyelewengan projek yang turut disasarkan untuk rakyat termiskin.
“Ini termasuk kelemahan pengurusan Program Pembasmian Kemiskinan di bawah Jabatan Perdana Menteri dengan peruntukan RM691.52 juta pada 2010,” katanya dalam kenyataan media di sini, semalam.
Laporan Ketua Audit 2010 menunjukkan kelemahan pengurusan Skim Insentif Peningkatan Hasil Padi di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani yang mendedahkan kegagalan kerajaan membayar insentif RM110.67 juta kepada 73,291 pesawah kerana peruntukan tidak mencukupi.
Laporan itu, katanya, menunjukkan kelemahan pengurusan penyelenggaraan jalan Persekutuan yang diswastakan di Sarawak, selepas RM462.46 juta dibelanjakan.
Ia termasuk kelemahan pengurusan projek di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi Ke 2 di pelbagai kementerian dan jabatan terdedah kepada penyelewengan perbelanjaan, bayaran dan peruntukan.

No comments:

Post a Comment