Thursday, 13 October 2011

820,156 pemilih baru pada 2010

KUALA LUMPUR, 13 Okt: Dewan Rakyat diberitahu seramai 820,156 orang mendaftar sebagai pemilih baru bagi tahun 2010 berbanding 276,621 pada tahun 2009.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz dalam jawapan bertulis kepada soalan ahli Parlimen Bukit Bendera, Liew Chin Tong berkata, jumlah permohonan pendaftaran baru ini berbeza dari tahun ke tahun kerana ia bergantung kepada kesedaran warganegara Malaysia yang berkelayakan untuk mendaftar sebagai pemilih.

Selain itu katanya, ia juga berkait dengan sentimen keadaan politik semasa.

"Berdasarkan trend, jumlah permohonan adalah rendah dalam tempoh selepas berakhirnya pilihan raya umum dan akan berlakunya peningkatan yang ketara dalam jumlah permohonan apabila masyarakat umum menjangkakan tarikh pilihan raya sudah semakin hampir," katanya yang juga ahli Parlimen Padang Rengas.

Menjawab soalan Chin Tong mengenai bilangan pegawai Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yabg ditugaskan di seluruh negara untuk memproses pendaftaran pemilih baru, beliau memberitahu SPR mempunyai 132 pegawai dan kakitangan yang berkhidmat secara tetap.

Di samping itu, sehingga Ogos 2011, SPR melantik seramai 10,865 Penolong Pendaftar Pemilih (PPP) yang terdiri daripada 2,845 wakil parti politik, 3,992 wakil jabatan, 779 wakil pertubuhan dan 2s9 wakil universiti.

Ianya untuk membantu SPR menerima permohonan pendaftaran baru dan pendaftaran tukar alamat pusat mengundi.

"Pelantikan ini adalah bagi tempoh tertentu dan penamatan boleh dilakukan pada pada bila-bila masa bergantung pada syarat-syarat yang ditetapkan SPR," katanya.

Sementara itu, peruntukan yang ditetapkan untuk tujuan pendaftaran pemilih berjumlah RM500,000.

Manakala tempoh bagi satu-satu permohonan yang diterima oleh SPR sama ada untuk mendaftar sebagai pemilih baru atau pun memohon pertukaran alamat pusat mengundi, ia diproses dan diperakui mengikut tempoh suku tahun yang lazimnya mengambil tempoh masa antara tiga hingga lima bulan seperti berikut:

Suku Tahun Pertama (pendaftaran yang diterima dalam bulan Januari hingga Mac), pengesahannya dijangkakan dalam bulan Mei.

Suku tahun Kedua (pendaftran yang dietrima dalam bulan April hingga Jun), pengesahannya dijangkakan dalam bulan Ogos.

Suku Tahun Ketiga (pendaftaran yang diterima dalam bulan Julai hingga September), pengesahannya dijangkakan dalam bulan November

Suku Tahun Keempat (pendaftaran yang diterima dalam bulan Oktober hingga Disember), pengesahannya dijangkakan dalam bulan Februari tahun yang berikutnya.

820,156 pemilih baru pada 2010:

'via Blog this'

Pengilang bekal beras skim al It’aam diugut

Salmah Mat Husain

KOTA BHARU, 13 Okt: Slogan Rakyat Didahulukan Pencapaian Diutamakan yang diuar-uarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak kini dianggap semakin pudar, apabila diskriminasi politik masih menebal.

Dendam pemimpin Umno terhadap keberanian rakyat Kelantan menyingkir parti itu pada 1990 belum berpenghujung kerana deraan politik masih lagi subur dalam diari politik Umno.

Kes terbaru di mana pengilang-pengilang beras yang membekalkan beras skim al It’aam untuk rakyat miskin di Kelantan pula diugut.

Skim berkenaan mulai diperkenalkan kerajaan negeri bermula Febuari lalu, di mana seramai 8,100 penduduk miskin yang disenaraikan di bawah senarai e-Tegar mendapat bantuan beras percuma 10 kg sebulan.

Bantuan beras percuma pada peringkat awal diperkenalkan Dun Wakaf Bharu tahun lepas, di mana seramai 225 penduduk miskin mendapat sumbangan Adun kawasan itu, Che Abdullah Mat Nawi.

Malangnya selepas 10 bulan skim itu berjalan lancar, Che Abdullah yang juga anggota Exco kerajaan mendedahkan pemilik kilang dan pembekal beras percuma pula diugut.

”Saya difahamkan pembekal beras kepada skim al It’aam diberi amaran agar tidak ikut serta menjayakan program berkenaan,” katanya di sini.

Menurut sumber pengilang dan pembekal beras yang terbabit skim al It’aam diugut akan ditarik lesen sekiranya terus memberi kerjasama kepada kerajaan negeri.

(ikuti laporan lanjut dalam Harakah edisi cetak keluaran akan datang)

Pengilang bekal beras skim al It’aam diugut:

'via Blog this'

PAS mahu polis siasat samseng bermotor

Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 13 Okt: PAS hari ini menggesa pihak polis bertindak tegas terhadap sekumpulan belia bermotor yang didakwa sering mencetuskan provokasi dan kekacauan di beberapa program PAS di negeri itu.

Terbaru, kumpulan itu didakwa melakukan provokasi di dua ceramah umum Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu pada 7 dan 10 Oktober yang lalu di Segamat.

Provokasi tersebut telah mencetuskan kekecohan sehingga seorang anggota Jabatan Amal Dewan Pemuda PAS cedera di muka.

Ketua Dewan Pemuda PAS Johor, Suhaizan Kayat berkata, selain ceramah itu, kumpulan samseng bermotor itu juga sebelum ini pernah mengganggu petugas PAS sewaktu sewaktu kempen Pilihanraya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) N 05 Tenang.

"Walaupun kelakuan ala-ala ‘samseng jalanan’ ini sudah berlaku berulang-ulang kali, namun tiada sebarang siasatan dan tindakan yang serius dilihat telah dijalankan oleh pihak berkuasa bagi menghentikan aktiviti tidak bermoral kumpulan ini," katanya yang juga Exco Dewan Pemuda PAS Pusat.

Beliau berkata demikian sewaktu menyerahkan memorandum berhubung perkara itu kepada Ketua Polis Daerah Segamat.

Menurutnya lagi, kesan daripada gangguan berterusan itu telah mengganggu kelancaran program penerangan yang dianjurkan PAS termasuk gangguan bunyi motorsikal kumpulan mereka.

Provokasi oleh kumpulan ini juga ujarnya jika tidak dibendung boleh membangkitkan emosi dan kemarahan peserta program sehingga menyebabkan berlakunya perkara yang tdak diingini seperti jerit-menjerit, laung-laungan caci-maki, tindakan seperti membaling batu dan objek-objek yang boleh mencederakan dan sebagainya.

"Malah provokasi yang dilakukan juga mengundang pergaduhan sehingga melibatkan kecederaan," katanya lagi.

Sehubungan itu beliau mendesak Ketua Polis Daerah Segamat, Johor agar menjalankan operasi siasatan terperinci berkaitan aktiviti dan gerakan tidak bermoral kumpulan belia bermotor ini termasuklah individu yang terlibat, master mind dibelakang kumpulan ini dan pihak yang memberi jaminan keselamatan kepada mereka.

Beliau juga mahu pihak polis segera mengambil tindakan yang tegas ke atas kumpulan belia bermotor ini bagi mencegah kejadian yang lebih buruk berlaku pada masa akan datang.

PAS mahu polis siasat samseng bermotor:

'via Blog this'

Wednesday, 12 October 2011

7 bas dikesan bawa warga asing dapatkan IC

KUALA LUMPUR, 12 Okt: Dewan Pemuda PAS Johor telah berjaya mengesan 7 buah bas yang dipercayai membawa warga asing menuju ke Putrajaya untuk mendapatkan kad pengenalan.

Kesemua mereka diyakini dibawa masuk ke negara ini oleh pemimpin Umno BN bagi membolehkan mereka didaftarkan sebagai pengundi dalam daftar pemilih untuk mengundi bagi pihak Umno BN pada Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13 akan datang.

Ketua Dewan Pemuda PAS Johor, Suhaizan Kaiat menjelaskan, kesemua bas tersebut telah dikesan dari Johor dan telah sampai ke Masjid Putrajaya pada jam 8 pagi tadi untuk mengambil IC mereka di Jabatan Perdana Menteri (JPM).

Menurut beliau, tidak lama selepas itu, 3 dari 7 buah bas tersebut telah masuk ke JPM bersama sebuah kereta Perdana yang di dalamnya terdapat individu berpangkat datuk.

Sebahagian bas lagi, tegasnya, telah diarahkan keluar dari Putrajaya menuju ke arah yang tidak diketahui disebabkan mereka menyedari Pemuda PAS mengekori mereka dan ini jelas merupakan helah penghianat negara.

Katanya, setelah cerita mengenai 7 buah bas yang membawa warga asing untuk mengambil IC di JPM itu dimasukkan oleh beliau ke dalam Facebook, mereka telah lari masuk ke dalam hutan di Kajang.

"Takut juga rupanya mereka. Saya ingat mereka berani sangat. Tindakan para pemimpin Umno BN itu ternyata satu pengkhianatan kepada negara," katanya ketika menghubungi Harakahdaily, hari ini.

Maklumat mengenai warga asing mahu mendapat kerakyatan mudah itu, menurut beliau, telah diterima oleh beliau sejak petang semalam lagi dan sejak itu Pemuda PAS Johor telah berusaha mengesaninya.

"Malam tadi jam 1.00 malam, mereka singah di R & R Pagoh. Bermula di situ skuad pemuda PAS ekori mereka. Jam 6 pagi, mereka sampai di Masjid Putrajaya," katanya.

Hasil pengesanan yang dilakukan oleh Pemuda PAS, jelasnya, didapati bas-bas yang membawa warga asing untuk mendapatkan IC itu telah diturunkan di Kajang, Selangor.

"Ini jelas manipulator terancam yang dibuat ekoran pendedahan Pemuda PAS. Mereka ternyata pengkhianat yang pengecut," tegas beliau yang juga Pengerusi Pemulihan Demokrasi dan Mobilisasi Dewan Pemuda PAS Malaysia.

Sejak 3 jam lalu, katanya, kesemua warga asing yang mahu mendapatkan IC mereka itu telah ditempatkan di dalam hutan di Jalan Kajang - Istana Dugang Contry Resout.

Sehubungan itu, beliau berharap agar orang ramai yang mempunyai kelapangan masa berkejar ke tempat itu sekarang untuk beramai-ramai bertanya kepada mereka tujuan kedatangan mereka beramai-ramai ke Putrajaya itu.

"Sekitar 30 minit lalu, penduduk di kawasan itu sedang mengepong kawasan warga asing yang mahu diberikan IC oleh JPN itu," katanya.

Kini, menurutnya, bas-bas yang membawa warga asing itu pula telah keluar dari kawasan resort tersebut dan bas-bas tersebut didapati kosong tanpa penumpang.

"Maksudnya, warga-warga asing tersebut telah ditinggalkan di dalam resort itu. Apa yang mereka buat?" tanya beliau.

7 bas dikesan bawa warga asing dapatkan IC:

'via Blog this'

Najib dicabar dedah RM10.1 juta kos lawatan

KUALA LUMPUR, 12 Okt: PKR mencabar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mendedahkan butiran terperinci perbelanjaan lawatan beliau ke luar negara yang mencecah RM10.1 juta setakat tahun ini.

Setiausaha Agungnya, Saifuddin Nasution (gambar) berkata, sebanyak RM9.1 juta dihabiskan untuk kos penyewaan pesawat bagi lawatan Najib dan isterinya ke luar negara, diikuti lawatan ke Kezakhstan yang melebihi RM1 juta.

“Perbelanjaan ini melampau dan kalau betul Najib telus, saya mencabar beliau membentangkan setiap perincian butiran perbelanjaan,”

“Tanggungjawab Najib ialah untuk memberikan semua maklumat dalam persidangan parlimen agar Pakatan Rakyat boleh memeriksa setiap sen yang digunakan,” kata Saifuddin, lapor KeadilanDaily.

Menurut Saifuddin, jumlah perbelanjaan lawatan tersebut lebih tinggi berbanding tempoh tiga tahun lalu yang mencecah kos keseluruhan sebanyak RM17 juta.

“Ini adalah bukti nyata Najib terus mengamalkan cara hidup mewah dan tak prihatin terhadap penderitaan rakyat di bawah,” katanya.

Ahli Parlimen Machang itu juga turut menggesa agar ciri lawatan berkenaan dikaji semula memandangkan lawatan singkat Najib Ke Kazakhstan misalnya, menelan kos yang tinggi.

“(Ia) perlu kaji semula dan pengurangan boleh dibuat melalui pengurangan anggota (rombongan) yang menyertai lawatan,” katanya.

Minggu lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz telah memberitahu Dewan Rakyat kos penyewaan sebuah pesawat Airbus A319 yang melibatkan jumlah RM9.1.

Semalam, Kementerian Luar Negara pula mendedahkan RM1,072,213.22 dibelanjakan oleh perdana menteri dan rombongannya menghadiri Forum Ekonomi Dunia Islam di Kazakhstan.

Pada Jun lalu, Dewan Rakyat diberitahu dari tahun 2008 hingga 2011, sejumlah RM17,118,650.58 digunakan bagi perbelanjaan lawatan rasmi PM bersama isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor.

Dalam jawapan tersebut, Najib dan Rosmah membelanjakan RM 1,739,332.85 (2008), RM 4,811,837.48 (2009) RM 5,140,307.99 (2010) dan RM 5,427,172.26 sehingga Jun 2011.

Najib dicabar dedah RM10.1 juta kos lawatan:

'via Blog this'

Resort didakwa kumpul pendatang dapat IC dikepung

SEPANG, 12 Okt: PAS hari ini berjaya mengesan satu operasi yang disyaki cuba memberikan warganegara kepada lebih 200 penduduk tetap (PR) di sebuah resort berhampiran Putrajaya di sini.

Kesemua yang majoritinya warga Indonesia itu didakwa dibawa dengan bas dari negeri Johor untuk diberi MyKad yang dipercayai ada kaitan untuk pengundian pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 nanti.

Exco Pemuda PAS, Mohd Adram Musa(gambar) berkata pihaknya mendapat maklumat daripada perisikan jentera PAS berhubung perkara itu malam tadi yang mengatakan lapan buah bas membawa warga asing akan menuju ke Putrajaya untuk diberi MyKad.

Sehubungan itu, beliau yang juga Timbalan Pengerusi Lajnah Pemulihan Demokrasi dan Mobilisasi Rakyat Pemuda PAS bersama beberapa anggota dewan itu kemudiannya menunggu bas-bas tersebut yang tiba di Masjid Putra, Putrajaya kira-kira jam 7 pagi.

Bagaimanapun hanya enam buah bas didapati tiba di Putrajaya yang didapati beredar beberapa jam kemudian.

Kepung resort

Mereka mengekori bas-bas tersebut sehingga ke sebuah resort di sini.

Bas-bas berkenaan bagaimanapun beredar dari situ, dan meninggalkan kumpulan penumpang tersebut di resort berkenaan.

Petugas media yang kemudiannya tiba di situ kira-kira jam 1.30 tengahari juga sempat melihat sebuah kereta Proton Tiara dipercayai membawa 'ketua operasi' itu memecut laju keluar dari resort melalui jalan belakang.

"Saya sendiri masuk ke dalam resort berkenaan, dan mendapati memang warga asing di dalamnya.

"Kita tanya mereka bagitahu datang untuk kursus," katanya pada sidang media di sini.

Menurutnya, kehadiran mereka bagaimanapun tidak disenangi 'ketua' rombongan itu dan mereka mengambil pendirian untuk keluar dari kawasan resort tersebut yang pagarnya kemudian dikunci pemilik resort.

Ekoran itu juga mereka bertindak mengepung jalan masuk dari depan dan belakang resort tersebut.

Turut serta pada sidang media di hadapan resort itu AJK PAS Pusat Mazlan Aliman.

Sumber dalaman

Menurut Mazlan, beliau turut mendapat maklumat dari sumber dalaman yang tidak mahu bersubahat dengan operasi jahat itu.

"Dia hubungi saya bagitahu terdapat dokumen tebal dalam bas serta mendengar cakap-cakap penumpang bas yang mendakwa akan mendapat MayKad hari ini.

"Dia bagitahu saya maklumat ini kerana beliau tidak mahu bersubahat," katanya.

Menurut Mazlan lagi, beliau juga dimaklumkan sewaktu bas berhenti di Masjid Putra, beberapa pegawai Jabatan Pendaftaran Negara menemui ketua rombongan bas tersebut dan mengarahkan mereka ke sebuah resort di kawasan berdekatan ekoran rahsia operasi mereka didakwa sudah diketahui.

"Saya difahamkan ini trip ke sepuluh untuk operasi ini.

"Modus operandi mereka adalah untuk mengalahkan Pakatan Rakyat Selangor," tambahnya.

Dalam pada itu satu sidang media khas berhubung perkara itu akan diadakan di Parlimen esok.

Resort didakwa kumpul pendatang dapat IC dikepung:

'via Blog this'

Peneroka diugut tarik balik saman Felda

KUALA LUMPUR, 12 Okt: Lima peneroka Felda Palong 9, Negeri Sembilan hari ini membuat laporan polis selepas menerima ugutan supaya menarik semula saman mereka terhadap Felda.

Laporan tersebut dibuat di Balai Polis Ladang Gedes Jempol, kira-kira jam 11.45 pagi tadi.

Menurut Peguam T Kumar seperti dipetik KeadilanDaily, peneroka tersebut diugut tidak akan menerima bantuan daripada pihak pengurusan Felda, seperti surat sokongan untuk sekolah anak-anak jika tidak menarik balik saman tersebut.

“Dalam masa beberapa minggu, pihak pengurusan datang dari rumah ke rumah bersama dengan ketua cawangan (Umno). Amaran yang diberikan kepada peneroka merupakan ugutan secara tidak langsung dan ini tidak sepatutnya berlaku,” katanya kepada KeadilanDaily.

7 Julai lalu, seramai 113 peneroka memfailkan saman terhadap Felda kerana kecuaian pemberian tender menebang kayu getah.

Mereka menamakan sembilan defendan, antaranya Felda, pengurus Felda Palong 9, Saleh Muhidin, dan ketua kampung, Osman Parman yang juga ketua cawangan Umno.

Dalam kenyataan tuntutan mereka, kumpulan itu berkata pengurus Felda dan anggota JKKR pada satu mesyuarat 16 Mac tahun lalu telah memutuskan projek untuk memproses pokok getah yang ditebang akan dianugerah menerusi tender terbuka dan diberi kepada pembida tertinggi.

Pegawai khas pengarah Felda, Datuk Ramli Ismail, juga hadir pada mesyuarat itu, kata kenyataan tuntutan mereka.

Bagaimanapun, kontraktor dilantik Felda, Syarikat LBJ Global dianugerahkan projek itu pada harga bidaan RM8,205 sehektar atau RM33,000 bagi setiap peneroka iaitu paras harga yang lebih rendah daripada harga siling yang dipersetujui.

Mereka mendakwa Felda telah abai dan cuai menjaga kepentingan plaintif-plaintif yang telah menyebabkan plaintif mengalami kerugian dan kehilangan.

Malah mereka juga mendakwa Felda dan pengurusnya ‘membuat representasi dan salah nyata’ bahawa harga RM33,000 bagi setiap peneroka adalah harga paling tinggi dan berpatutan mengikut harga pasaran.

Setiap peneroka mempunyai kawasan seluas 10 ekar (empat hektar).

Peneroka diugut tarik balik saman Felda:

'via Blog this'