Monday, 24 October 2011

Pemuda akan pertahankan kerajaan Pakatan Rakyat Selangor


Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor mengalu-alukan kenyatan Timbalan Pengerusi BN Selangor yang juga merupakan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar untuk merampas kembali negeri Selangor daripada Pakatan Rakyat. Walaubagaimanapun Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor akan mempastikan hajat beliau ingin mengembalikan semula negeri Selangor kepada pentadbiran yang korup dan rasuah, penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa, keuntungan kekayaan negeri berlegar di sekeliling pemimpin UMNO serta kerosakan-kerosakan yang lain akan ‘dikuburkan’ di dalam Pilihanraya Umum yang akan datang dengan sokongan dan dokongan padu rakyat negeri Selangor yang bersama-sama dengan Pakatan Rakyat.

Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor merasakan impian Noh Omar hanyalah angan-angan kosong kerana Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor setakat ini walaupun baru sepenggal memerintah negeri Selangor telah menunjukkan pemerintahan yang mempunyai sistem urus tadbir yang jauh lebih baik, telus, bebas rasuah, cakna kebajikan rakyat serta telah meningkatkan hasil kerajaan dan simpanan negeri Selangor. Rakyat negeri Selangor kini telah dapat banyak manfaat daripada agenda Merakyatkan Ekonomi Selangor yang telah diperkenalkan oleh Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor. Oleh itu Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor bersama-sama kepimpinan pemuda PAS di semua peringkat dan kepimpinan Pemuda Pakatan Rakyat akan menjadikan impian Noh Omar sebagai ‘mimpi ngeri’ Barisan Nasional di negeri Selangor dengan izin Allah Taala. InsyaAllah.

Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor juga melahirkan rasa kebimbangan di atas keyakinan Noh Omar menzahirkan hasrat BN merampas negeri Selangor daripada Pakatan Rakyat sudah pasti akan ada taktik dan teknik ‘kotor dan jahat’ UMNO/BN Selangor yang akan digunapakai bagi mencapi maksud tersebut selain kemungkinan daripada kerja kotor yang di buat oleh pemimpin UMNO/BN di peringkat Pusat dengan memberikan kerakyatan mudah kepada pemastautin tetap serta mengeluarkan kad pengenalan palsu kepada pendatang tanpa izin seperti yang telah didedahkan oleh Dewan Pemuda PAS Malaysia baru-baru ini. Dengan pertambahan pengundi baru yang cukup luar biasa untuk negeri Selangor bagi tahun ini kemungkinan berlaku penipuan adalah sangat besar sepertimana yang dilakukan oleh UMNO/BN semasa merampas negeri Terengganu dahulu.

Oleh itu, Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor mengharapkan semoga seluruh jentera Pemuda PAS di semua peringkat memperkasakan jentera pilihanraya di semua peringkat dengan memberikan khidmat terbaik dari segi penerangan terhadap kecemerlangan pengurusan dan pentadbiran serta kerja-kerja kebajikan kepada rakyat yang telah dilaksanakan oleh Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor tanpa mengira fahaman politik, budaya dan agama selain meningkatkan kewaspadaan terhadap sebarang taktik kotor UMNO/BN yang sedang terdesak untuk merampas kembali negeri Selangor ini. Seluruh rakyat negeri Selangor juga dinasihatkan untuk melaporkan sebarang kecurigaan dan salah laku pemimpin UMNO/BN yang cuba untuk memberikan kad pengenalan palsu kepada pendatang tanpa izin, pemastatutin tetap ataupun kepada mereka-mereka yang tidak layak bagi menjadi pengundi di dalam pilihanraya yang akan datang.



Ustaz Hasbullah Mohd Ridzwan
Ketua Pemuda
Dewan Pemuda Pas Negeri Selangor

SH:

'via Blog this'

Maruah universiti negara kita terus menjunam


1. Negara kita sekali lagi gagal dicerminkan sebagai membangun dan maju, sebaliknya kian mundur, kelam dan gelap. Terbaru pelanggaran "demokrasi ilmu" yang sungguh sadis, apabila Prof. Dr Abdul Aziz Bari digantung tugas oleh University Islam Antarabangsa [UIA] hanya kerana pengaruh kontraversi yang dicetus oleh media.

2. Prof. Dr. Abdul Aziz Bari bukanlah melakukan jenayah melainkan beliau hanya mengeluarkan pandangan dan kritikan berasaskan ilmu dan kepakaran beliau. Sungguhpun kenyataan beliau menyentuh pihak tertentu seperti Sultan dan pihak pemerintah seperti kerajaan, ternyata kenyataan beliau masih dalam disiplin ilmu

3. Disiplin ilmu sememangnya lurus berbanding "disiplin ampu". Ilmuan atau pakar yang melandaskan pandangan dan pendapat dalam bidangnya secara jujur dan amanah adalah satu langkah yang bijak dan menepati disiplin ilmu sekalipun pandangan dan pendapat tersebut masih terbuka kepada perbahasan cendikiawan.

4. Kaedah umum "persilatan ilmu" di mana - mana universiti dalam dunia ini ialah "hujjah lawan hujjah" atau "fakta lawan fakta" bukan "hujjah lawan maki hamun" dan "fakta lawan gantung tugas". Malang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, masih belum mampu menepati kualiti sebuah gedung ilmu apabila pantas mengambil tindakan gantung tugas Prof Dr. Aziz Bari. Patutlah universiti Malaysia belum ada yang tersenarai dalam kelompok 400 buah universiti terbaik dunia.

5. Kami warga Dewan Pemuda PAS Malaysia cukup tersinggung dengan perkembangan ini. Sudahlah mahasiswa mereka belenggu dengan pelbagai peraturan seperti AUKU, kini pensyarahnya pula berdepan dengan tindakan yang tidak bertamadun oleh sebuah pusat pengajian yang kononnya bertaraf antarabangsa.

6. Kami mendesak agar Prof. Dr. Abdul Aziz Bari segera dibebaskan dari pegantungan yang telah mencemar dunia ilmu dan merosakkan reputasi universiti sebagai menara ilmu dalam negara ini. Kalaupun gagal menaikkan prestasi universiti diperingkat antarabangsa maka janganlah pula dirosakkan lagi pencapaian sedia ada kerana ia sangat memalukan.



Nasrudin bin Hassan at Tantawi
Ketua Dewan Pemuda Pas Malaysia

SH:

'via Blog this'

Mengutuk campurtangan politik di UIAM


Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) mengutuk tindakan pihak pentadbiran Univesiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) menggantung tugas Prof Dr Abdul Aziz Bari, pensyarah undang-undang universiti itu. DPPM menganggap tindakan ini sebagai keterlaluan, kejam dan berniat jahat terhadap seorang kakitangan universiti yang diperakui sebagai pakar perlembagaan di Malaysia.

DPPM merasa sedih kerana UIAM sanggup diperkudakan sedemikian rupa demi kepentingan politik pihak tertentu. Bagi DPPM, kenyataan yang dikeluarkan oleh Prof Aziz Bari adalah dalam bidang pengetahuan beliau selaku profesor undang-undang dan masih di bawah kerangka perlembagaan Malaysia. Sebagai seorang yang pakar dalam perlembagaan Malaysia, beliau berhak mengeluarkan kenyataannya yang tidak bermaksud untuk mengguris mana-mana pihak termasuk DYMM Sultan Selangor sendiri. UIAM dan semua pihak perlu melihat kenyataan beliau dari kacamata akademik, bukan dari sudut emosi semata-mata.

UIAM sepatutnya berbincang dahulu dengan beliau sebelum membuat sebarang keputusan dan menerima pandangan beliau dengan hati terbuka. Wacana ilmiah, debat terbuka, seminar akademik secara terbuka perlu dibuka seluas-luasnya bagi ahli-ahli akademik seperti Prof Dr Aziz Bari kemukakan pandangannya. Ia juga boleh dinilai oleh rakyat untuk menerimanya.

Tindakan menggantung beliau dari UIAM merendahkan tahap intelektualisme universiti tempatan dan menggambarkan betapa tertutupnya minda sesetengah pemimpin dan pentadbir universiti. Sudahlah universiti tempatan jatuh merudum dari segi pencapaian antara universiti terbaik di dunia, sifat keterbukaan pula ditutup dari minda pentadbir UIAM. Integriti dan wibawa UIAM kini tercalar teruk dan rakyat meletakkan suatu persepsi bahawa UIAM kini telah menjadi ‘pak turut’ sesetengah pemimpin politik di negara ini.

Justeru, DPPM mendesak UIAM membebaskan Prof Dr Abdul Aziz Bari dari penggantungannya. Jasa-jasa dan sumbangan beliau selama 22 tahun berkhidmat di universiti berkenaan perlu dikenang semula. Atas nama beliaulah nama UIAM harum di pentas antarabangsa dan menjadi antara universiti yang disegani di rantau ini. Sesungguhnya rakyat, mahasiswa, pensyarah, alumni bahkan kakitangan seluruh universiti di negara ini berdiri teguh di belakang beliau dan menyokong beliau sepenuhnya.



Riduan Mohd Nor
Ketua Penerangan
Dewan Pemuda Pas Malaysia

SH:

'via Blog this'

Najib bersandiwara


Jabatan Pilihanraya Dewan Pemuda PAS Malaysia membidas kenyataan ‘flip flop’ Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Razak yang memuji program HIMPUN berjalan dengan aman dan teratur berbanding himpunan BERSIH 2.0 yang lalu.

Jabatan Pilihanraya Dewan Pemuda PAS Malaysia merasakan kenyataan tersebut cukup hina, berniat jahat dan menunjukkan sikap sebenar seorang Perdana Menteri yang pandai ‘bermuka-muka’ sedangkan Sekretariat BERSIH 2.0 telah mengikut prosedur yang ditetapkan untuk menjayakan program tersebut dengan mematuhi saranan Yang Di Pertuan Agong. Tetapi amat malang sekali apabila pihak Kerajaan dengan sewenang-wenangnya terus melabel BERSIH 2.0 sebagai pertubuhan haram, menangkap penjual dan pemakai baju kuning BERSIH 2.0, menggunakan pihak polis untuk memburu dan menangkap pimpinan BERSIH 2.0 dan pimpinan Pakatan Rakyat, menidakkan permit himpunan walupun diarahkan untuk memohon permit, menghalang untuk menggunakan stadium walaupun Perdana Menteri berjanji untuk menyediakan kemudahan stadium kepada himpunan BERSIH 2.0.

Sememangnya program HIMPUN tidak mengganggu dan mengacau mimpi pemimpin UMNO dan Barisan Nasional kerana agenda Aqidah Umat Islam tidak menjadi agenda utama perjuangan UMNO dan tidak mampu untuk menggugat kuasa pemerintahan mereka berbanding agenda BERSIH 2.0 yang membabitkan perjalanan pilihanraya yang telus, bersih dan adil boleh menyebabkan UMNO/BN akan kehilangan kuasa pemerintahan mereka selama ini yang diperolehi dengan cara yang cukup kotor, penipuan, penyalahgunaan kuasa, rasuah dan sehingga ke tahap ‘menjual maruah negara’.

Jabatan Pilihanraya Dewan Pemuda PAS Malaysia menyifatkan kenyataan Datuk Seri Najib hanyalah sebagai lakonan terbaru beliau apabila melihat kegagalan Bajet 2012 diterima oleh rakyat, penolakan sepina mahkamah untuk menjadi saksi utama kes liwat II Anwar Ibrahim, kes cincin Rosmah, tekanan tehadap perbincangan Undang-undang Hudud Negeri Kelantan dan Terengganu, penghinaan terhadap institusi beraja dan pelbagai lagi isu yang menggugat kepimpinan beliau sebagai Perdana Menteri dan Presiden Parti Barisan Nasional.



Mohd Sany bin Hamzan
Pengarah Jabatan Pilihanraya
Dewan Pemuda Pas Malaysi

SH:

'via Blog this'

Husam dakwa malu, kecewa



KOTA BHARU - Naib Presiden Pas, Datuk Husam Musa memberi keterangan di Mahkamah Tinggi, di sini semalam berhubung kes saman malunya berjumlah RM500,000 terhadap blogger yang didakwa menyiarkan artikel memfitnahnya, dua tahun lalu.

Beliau yang juga Exco Kerajaan Kelantan menuntut ganti rugi itu terhadap Mohd Faisal Rohban Ahmad, 37 berikutan penyiaran artikel bertajuk ‘Husam & Tamrin Balun Balak Kelantan RM15 juta’, di ruangbicarafaisal.blogspot.com pada Sabtu 3 Oktober 2009.

Antara kenyataan fitnah itu termasuk menyatakan plaintif sengaja berkonspirasi dan berkomplot dengan satu pihak ketiga untuk memberi 4,000 hektar tanah kawasan balak kepada seorang pihak ketiga bernama Tamrin Ghaffar.

Balak itu cuba dijual kepada seorang tauke dengan harga RM25 juta. Pembahagiannya pula adalah plaintif sebanyak RM10 juta, pihak ketiga pula RM10 juta dan Pas Pusat RM5 juta.

Plaintif mendakwa keseluruhan artikel tersebut juga sengaja memfitnahnya dengan mengatakan kawasan balak berkenaan tidak dapat dijual dengan harga RM25 juta dan hanya dijual dengan harga RM15 juta dan wang tersebut dibahagikan; plaintif mendapat RM5 juta, pihak ketiga RM6 juta dan Pas Pusat RM3 juta.

Artikel itu ternyata mahupun tersirat menuduh secara melulu bahawa plaintif adalah seorang yang korup dan tidak boleh dipercayai serta menyalahgunakan kuasa sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Kelantan.

Ketika memberikan keterangan, Husam menegaskan artikel itu secara terang terangan memfitnahnya dan menafikan dakwaan itu kerana beliau bekerja keras untuk menjaga keharmonian rakyat Kelantan.

“Saya kecewa, malu, tertekan kerana artikel fitnah itu yang merosakkan nama baik saya. Kesannya saya malu kerana dipandang serong masyarakat. Saya juga tertekan kerana ramai pihak yang bertanyakan perkara itu sehingga saya sukar fokus kepada kerja.

“Kesan akibat penyiaran artikel itu masih wujud berikutan masyarakat masih memandang serong dan ada sesetengah pihak yang masih memetik artikel berkenaan dan menyiarkannya sehingga kini,” katanya ketika menjawab soalan peguam belanya, Hisham Fauzi.

Menurutnya, tuntutan saman itu dibuat bagi memberi pengajaran setimpal kepada defendan yang berasal dari Kota Bharu, Kelantan itu dan teladan kepada masyarakat supaya tidak sewenang-wenangnya memfitnah seseorang.

Peguam bela defendan, Adzly Abdul Manas mempertikaikan kesahihan maklumat diberikan pihak ketiga yang membantu plaintif mendapatkan latar belakang Mohd Faisal Rohban termasuk nombor telefon, alamat dan pekerjaannya.

“Akibat artikel itu setujukah Datuk jika dikatakan kesan-kesan seperti tidak boleh fokus kerja, tertekan, dipandang serong yang dialami adalah rekaan. Tuntutan jumlah ganti rugi itu juga banyak,” katanya dalam soal balas terhadap plaintif.

Dalam jawapannya, Husam berkata, sepatutnya Adzly sebagai peguam bersimpati terhadap nasibnya.

Saksi pihak plaintif yang hadir memberi keterangan semalam, Mohammad Syahfahrin Ali Rajkumar Abdullah, 40 yang menyerahkan notis saman itu kepada defendan di kediamannya di Selangor, 31 Mei tahun lalu.

“Saya diarahkan plaintif untuk ke rumah defendan, ketika tiba di rumahnya, saya dapati defendan terkejut apabila diberitahu tujuan kedatangan saya lalu beliau hubungi polis dan rakannya. Beliau juga mengaku bernama Mohd Faisal Rohban dan membaca notis writ saman yang saya berikan. Saya juga sempat mengambil beberapa keping gambar defendan menggunakan telefon bimbit saya,” katanya yang mendakwa rakan plaintif dan tinggal di Dun Salor.

Hakim Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim kemudian menetapkan 12 dan 13 Disember ini sebagai tarikh sambung bicara kes itu.

Blogger berkenaan dijangka hadir memberi keterangan pada tarikh itu bersama dua saksi lain.
SH:

'via Blog this'

Sunday, 16 October 2011

PR tiada hak halang Pas laksana hudud

SH:


KUALA TERENGGANU – Mana-mana pihak termasuk rakan sekutu daripada Pakatan Rakyat (PR), tidak berhak membatalkan keputusan Pas untuk melaksanakan perundangan jenayah syariah termasuk hudud.

Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, walaupun mereka berada dalam satu pakatan, parti DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) tidak boleh menafikan dasar dibawa Pas kerana mereka memperjuangkan dasar berbeza.

Beliau berkata, parti dalam PR terbentuk daripada kerjasama secara persefahaman dan bukan atas dasar yang sama, sekali gus mereka tidak boleh terlibat dalam membuat keputusan membabitkan dasar parti.

“Mereka tiada hak untuk membatalkan keputusan kita di mana kerjasama parti adalah kerjasama secara persefahaman, bukan satu parti yang sama dasar. Kita berbeza dasar tetapi bersama dalam beberapa pendekatan, itu biasalah,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media ketika menghadiri Himpunan Kebangkitan Rakyat Pas Ganti Umno (PGU) di Pantai Pandak Chendering, di sini, semalam.

Turut hadir, Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang merasmikan PGU dan Pesuruhjaya Pas Terengganu, Mohd Abdul Wahid Endut.

Abdul Hadi bagaimanapun menyifatkan kenyataan pemimpin DAP sebelum ini yang menyatakan penolakan terhadap hukum hudud sebagai pandangan dan bukan tentangan.

Sementara itu, beliau berkata, bahawa Pas bersungguh-sungguh untuk melaksanakan perundangan syariah Islam dan menegaskan bahawa ia sudah lama diperjuangkan.

Selain memutuskan undang-undang Islam di Kelantan dan Terengganu, pihaknya turut mengadakan seminar secara tahunan di Kelantan untuk memberi penjelasan mengenai perundangan tersebut.

“Kelantan sendiri telah mengadakan seminar undang-undang jenayah syariah secara tahunan. Ini bukan bermusim tetapi secara tahunan,” katanya.

Dari sudut pelaksanaan, beliau yakin hanya dengan peralihan kuasa sahaja mampu merealisasikan hasrat Pas.

Ditanya berhubung Akta Murtad, beliau berkata, perkara itu sebenarnya sudah termaktub dalam perundangan jenayah syariah yang akan dilaksanakan Pas kelak.

Menurutnya, murtad adalah salah satu kesalahan jenayah dikategorikan dalam hukum hudud selain mencuri, merompak, berzina, menuduh berzina dan minum arak.

“Semua hukum syariah ada dalam kitab, cuma dengan syarat pembangkang ada kuasa pemerintahan yang berdaulat,” katanya.

'via Blog this'

Enggan minta maaf tindakan 'kurang ajar': Tun Dr Mahathir

Berita Harian Online | Enggan minta maaf tindakan 'kurang ajar': Tun Dr Mahathir:

Enggan minta maaf tindakan 'kurang ajar': Tun Dr Mahathir


2011/10/16

SERI ISKANDAR: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menyifatkan keengganan Profesor Dr Abdul Aziz Bari memohon maaf serta menarik balik kenyataannya yang mempertikai titah Sultan Selangor berhubung isu pemeriksaan gereja di Damansara Utama Ogos lalu, 'sebagai kurang ajar'.

Beliau berkata kenyataan pensyarah undang-undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) itu bertentangan dengan moral masyarakat Timur dan boleh disifatkan sebagai kurang ajar dalam bahasa Melayu.
"Sama ada ia melanggar undang-undang, saya tidak tahu, tetapi dari segi moral, ia kurang ajar," katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Konvokesyen Universiti Teknologi Petronas (UTP) Ke-11 hari ini.
Dr Mahathir, yang juga Canselor UTP, diminta mengulas kenyataan Dr Abdul Aziz yang disiarkan sebuah portal berita bahawa tindakan Sultan Selangor campur tangan berhubung isu pemeriksaan gereja bukan sesuatu tindakan yang lazim.

Abdul Aziz dilaporkan berkata sebagai Ketua Agama Islam di Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berhak campur tangan, namun ia perlu dilakukan selaras dengan ajaran Islam.

Terdahulu, Dr Mahathir menyampaikan Anugerah Canselor Emas kepada graduan Sarjana Muda Kepujian Kejuruteraan Awam Lai Chin Leong, 23, berikutan kecemerlangannya meraih purata nilai gred kumulatif (PNGK) 3.89.

Muhammad Aiman Jamaludin, 22, T. Kuhanesapathy, 23, pula menerima Anugerah Canselor Perak dan Gangsa. - BERNAMA

'via Blog this'