Thursday, 27 October 2011

Boleh laksana hudud jika pinda Akta Mahkamah Syariah



SHAH ALAM - Hudud boleh dilaksanakan di negara ini dengan melakukan pindaan ke atas Akta Mahkamah Syariah.

Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia, Mohd Isa Abd Ralip berkata, pindaan terhadap Akta Mahkamah Syariah (Bidang kuasa Jenayah) Pindaan 1988 perlu dilakukan supaya masyarakat boleh merasai apa yang dikatakan hukuman hudud.

Katanya, tujuan pindaan itu adalah untuk memperkasakan bidang kuasa mahkamah syariah dan jabatan agama Islam di negara ini supaya lebih dipandang berkredibiliti bagi melaksanakan hukum hudud.

Menurutnya, sebelum ini Mahkamah Syariah tertekan dengan Akta Mahkamah Syariah 1988 yang mengehadkan hukuman syariah kepada ‘formula 356’, iaitu penjara maksimum tiga tahun, denda RM5,000 dan enam sebatan, dilihat tidak menggerunkan masyarakat.

“Sama ada akta boleh pinda atau tidak, itu soal lain. Tepuk dada tanya selera, sama ada hendak buat atau tidak mahu. Tidak ada masalah kalau hendak laksanakan hudud. Sebelum ini kita dengar, apa yang dibuat oleh Kelantan bertentangan dengan Perlembagaan sebab setiap Kerajaan Negeri tidak boleh membuat sesuatu undang-undang yang bertentangan Perlembagaan (akta).

“Dikatakan bahawa undang-undang (enakmen) yang dibuat itu, apabila berlawanan dengan akta, maka ia terbatal.

“Bila kita lihat dari segi perkembangan hudud, kita tengok balik Perlembagaan, saya setuju dengan Aziz (Pakar Perlembagaan Profesor Dr Abdul Aziz Bari) yang mengatakan bahawa dalam pelaksanaan hudud ini, dengan apa yang ada (enakmen) di Kelantan dan Terenganu, tidak berlawanan dengan Perlembagaan.

“Apa yang perlu diubah ialah akta bidang kuasa yang mengehadkan bidang kuasa mahkamah syariah itu. Jadi, kalau kita hendak buat (pindaan) maka itu kekangannya,” tegasnya.

Mohd Isa berkata, bagaimanapun, semua kekangan dari sudut perundangan mahupun enakmen perlu dikaji dan diteliti, bukan hanya akta yang perlu dipinda.

“Bukan senang hendak laksanakan hudud dari segi undang-undang kerana ada kaitan enakmen-enakmen lain.

“Prosedur jenayah dan cara pelaksanaan siasatan itu bagaimana; bagaimana kita hendak sebat, hendak potong tangan atau contohnya, bagaimana kita hendak laksanakan hukuman buang daerah. Semua prosedur kena mantap,” katanya.

Beliau berkata, memang diakui mahkamah syariah dan jabatan agama dilihat lesu hingga timbul pandangan tidak yakin dengan kredibilitinya untuk menjalankan hudud.

“Kita kena berpegang kepada Islam dan yakin Perkara 3 dalam Perlembagaan Persekutuan bahawa Islam adalah agama Persekutuan. Jadi berilah peluang (kepada mahkamah syariah).

“Kita nampak ada kelemahan tertentu tetapi dengan adanya kebaikan hudud ini untuk dilaksanakan, maka kita nampak bahawa mahkamah syariah akan dinaikkan taraf dari segi bidang kuasa di mana sebelum ini kita hanya tertekan dengan ‘356’.

“Dengan adanya akta pindaan bidang kuasa, maka bidang kuasa mahkamah syariah akan menjadi luas,” katanya.

Menurutnya, hukuman kesalahan jenayah syariah seperti zina yang hanya mengenakan denda RM3,000 atau hukuman denda ke atas kes khalwat juga dilihat ringan kerana setiap pesalah jenayah syariah mampu mengikut perintah hukuman itu.

“Dengan adanya pindaan, akan beri ruang kepada akta tersebut bukan sahaja kepada Kelantan tetapi negeri-negeri lain yang belum hendak laksanakan hudud, boleh meminda enakmen atau kes jenayah syariah bagi meningkatkan hukuman tadi.

“Kita nampak ada kelemahan tetapi pindaan terhadap Enakmen Prosedur Mal Mahkamah Syariah dan Jenayah Syariah atau apa jua perkara yang perlu dibuat, maka ia akan memperkasakan mahkamah syariah,” katanya.

Hudud: Nik Aziz enggan ulas



RANTAU PANJANG- Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat tidak akan mengulas lagi mengenai isu hudud sebaliknya menyerahkan kepada Exco Kerajaan Negeri, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah yang dipertanggungjawabkan oleh Kerajaan Negeri.

Menurutnya, beliau tidak mahu timbul kecelaruan sekiranya semua pihak dibenarkan bercakap mengenai hudud dan menganggap masa untuk mengulas tentang isu itu sudah berlalu.

“Pelaksanaan hudud juga bergantung kepada jawatankuasa yang dilantik, saya berjanji tidak mahu semua orang bercakap tentang hudud dan menjelaskan akta murtad terdapat dalam hudud,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Projek Perlombongan Intermining Sdn Bhd, semalam. Turut hadir, Pengarah Inter Bumi Mining Sdn Bhd, Datuk Razali Daud.

Sebelum ini Kerajaan Negeri menubuhkan Jawatankuasa Teknikal Enakmen Jenayah Syariah II untuk mengkaji sama da undang-undang tersebut boleh dilaksanakan tanpa meminda Perlembagaan Negara.

Jawatankuasa yang dipengerusikan Timbalan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob manakala Mohd Amar dilantik sebagai timbalan pengerusi dan turut disertai 19 orang ahli dari pelbagai latar belakang termasuk agensi penguatkuasaan negara.

Dalam pada itu, Nik Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan berkata, Kerajaan Negeri bakal memperolehi satu lagi pendapatan melalui pengusahaan perlombongan biji besi tersebut.

Katanya, walaupun kecewa tidak mendapat hasil dari royalti petroleum, beliau bersyukur kerana Kelantan mendapat satu lagi hasil cukai bakal menyumbang kepada pendapatan negeri.

“Alhamdulillah Kelantan mendapat hasil baru daripada perlombongan bijih besi dan kita sedang tunggu hasil di laut (petroleum) di bawah jagaan Petronas. Kita berdoa mudah-mudahan Allah membuka pintu hati pemimpin Kerajaan Pusat supaya Petronas memberikan semula harta kita (royalti petroleum),” katanya.

Wednesday, 26 October 2011

Mahasiswa sedia himpun macam Bersih 2.0

Khaulah Azwar

GOMBAK, 26 Okt: Sekumpulan mahasiswa yang berhimpun di Universiti Islam Antarabangsa (UIA) di Gombak malam tadi membayangkan akan menggerakkan himpunan seperti Bersih 2.0 jika tuntutan mereka diabaikan kerajaan.

Pengerusi Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM), Ahmad Syukri Ab Razab berkata mahasiswa akan terus menerus bangkit untuk membuat bantahan sehinggalah kebebasan suara diberikan kepada pengamal akademik dan juga kepada mahasiswa.

"Sekiranya kerajaan gagal untuk menjawab memorandum bantahan ini, insya-allah kita akan buat himpunan bersama rakyat, badan-badan NGO yang terdiri daripada BERSIH.20 yang dijangkakan akan diadakan di Stadium Merdeka dan Putrajaya," katanya pada himpunan tersebut.

Himpunan yang diserta hampir 100 mahasiswa malam tadi itu diadakan bagi menuntut kebebasan akademik ekoran tindakan universiti itu terhadap pensyarahnya Prof Dr Abdul Aziz Bari.

Walaupun hasrat awal untuk mengadakan demonstrasi, akhirnya mereka menukar rancangan dengan mengadakan protes secara senyap selepas berhadapan larangan daripada pihak keselamatan universiti.

Mereka mula berhimpun pada jam 8.35 malam, di perkarangan masjid kampus berkenaan, dengan menyalakan lilin dan mengangkat beberapa poster antaranya tertulis "Mahasiswa tuntut kebebasan akademik" dan "Bebaskan universiti dari cengkaman politik".

Perhimpunan tersebut pada asalnya bagi menyerahakn memorandum kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang dijadual hadir merasmikan satu program di kampus tersebut malam tadi.

Bagaimanapun beliau diganti Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

Sebelum itu, Presiden Majlis Perwakilan Pelajar UIA Mohd Iqbal Abdul Wahab berjaya menyerahkan memorandum kepada Hishammuddin di dewan berkenaan.

Mohd Iqbal pula berkata pihaknya bercadang akan buat satu program bersama perdana menteri ekoran Najib tidak hadir ke UIA malm tadi.

"Tujuannya agar PM mendengar pendapat mahasiswa yang merupakan generasi penentu masa depan negara," katanya.

Sementara itu, jurucakap SMM Mohd Zaky Sukery memberitahu pemberita terdapat dua tuntutan utama dalam memorandum tersebut, iaitu mendesak kebebasan akademik diberikan kepada ahli akademik dan mendesak agar siasatan terhadap Abdul dihentikan tanpa syarat.

Beliau berkata, walaupun pergantungan tugas terhadap Prof. Aziz Bari telah ditarik balik tetapi semua mahasiwa masih tidak berpuas hati kerana kerana masih ada siasatan di kenakan kepada beliau.

"Prof. Aziz Bari disiasat seolah seperti seorang jenayah sedangkan beliau bersuara atas kajian, bukti dan fakta yang kukuh melalui buku yang ditulis. Tindakan UIA adalah tidak wajar dan sangat terdesak," katanya.

Mahasiswa sedia himpun macam Bersih 2.0:

'via Blog this'

Aziz Bari umpama 'guru perlembagaan'

Rizal Tahir

RANTAU PANJANG, 26 Okt: Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat akan mengirim surat ‘tahniah’ dan rasa syukur di atas penarikan semula penggantungan pensyarah UIA, Prof Dr Abdul Aziz Bari dua hari lalu.

Menurut Tuan Guru, penarikan itu amat wajar memandangkan Aziz Bari adalah pakar perlembagaan seumpama guru dalam undang-undang perlembagaan.

Menurutnya, sebagaimana guru ilmu feqah yang mempunyai gurunya yang arif dan tersendiri, Aziz Bari juga demikian yang diibaratkan ‘guru perlembagaan’.

“Penggantungan sebelum ini terhadapnya memang melampau, tak kenal jenis orang macam mana, professional ke, ahli akademi ke, tahu nak sekat.

“Kita bagi kebebasan pada semua lapisan masyarakat untuk bersuara selagi ianya tidak melanggar peraturan dan bersalahan dengan dengan undang-undang,” ujarnya.

Namun apa yang berlaku, tambahnya adalah sebaliknya pula.

Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan projek perlombongan Interbumi Mining Sdn Bhd dan Majlis Penyampaian sumbangan sempena Aidiladha, di Rantau Panjang, dekat sini.

Bagaimanapun, Anggota Jawatankuasa PAS Pusat, Dr Dzulkeflyi Ahmad semalam mendakwa penarikan itu hanya sandiwara Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak memandangkan profesor itu masih menghadapi tekanan dalam siasatan.

Baru-baru ini, Aziz Bari digantung dari perkhidmatannya sebagai pensyarah kanan di UIA kerana mengeluarkan pandangan dari sudut akademik dan perundangan berhubung Sultan Selangor.

Aziz Bari umpama 'guru perlembagaan':

'via Blog this'

Tuesday, 25 October 2011

Laporan audit: Hanya peti undi boleh sedarkan BN

Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 25 Okt: Meskipun ditegur setiap tahun, kerajaan Barisan Nasional (BN) tetap pekak kepada saranan Ketua Audit Negara (KAN), bahkan budaya penyelewengan, pembaziran, ketirisan dan keborosan semakin subur dalam pengurusan kewangan negara, kata Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Dalam satu kenyataan hari ini, Tuan Ibrahim menyimpulkan bahawa kerajaan BN tidak akan faham bahasa laporan audit, yang boleh menyedarkan mereka hanyalah bahasa daripada ‘peti undi’ apabila Laporan Audit 2010 mendedahkan lagi penyelewengan yang sama seperti tahun-tahun terdahulunya dalam pengurusan projek dan pembelian perkakas agensi kerajaan.

Mengikut laporan terbaru, antara teguran yang dibuat KAN, ia kelakuan agensi kerajaan yang sangat jelas melanggari undang-undang.

Sebagai contoh, kata Tuan Ibrahim, bangunan tambahan Perpustakaan Negara yang diduduki tanpa sijil CF tidak sepatutnya berlaku kerana sebagai sebuah agensi kerajaan, mereka mesti tahu peraturan dan risiko menduduki sesebuah bangunan tanpa Sijil Boleh Menduduki (CF).

“Demikian juga teguran terhadap banyaknya projek kerajaan diberi melalui runding terus dan ianya jelas suatu tindakan untuk memberi projek kepada kroni dan mereka yang tidak layak menerimanya.

Antara projek runding terus yang merugikan negara ialah pembelian kuda “sakit” oleh Majlis Sukan Negara. Daripada 23 ekor kuda yang dibeli dengan harga RM246,000 seekor, hanya 5 ekor sahaja layak bertanding,” kata Tuan Ibrahim, yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang.

Tuan Ibrahim juga membangkitkan keborosan dalam Jabatan Taman Laut Malaysia (JTLM) membelanjakan lebih daripada RM128,000, iaitu lebih 2,810% di dalam pembelian pelbagai jenis peralatan.

Yang paling menjengkelkan, kata beliau ialah pembelian satu binokular oleh JLTM pada harga RM56,350 or 2,805% tinggi daripada harga pasaran RM1,940.

“Mara (Majlis Amanah Rakyat) juga tidak kurang hebatnya kerana sanggup membeli ketuhar hampir 300% (RM1,200) lebih tinggi daripada harga pasaran RM419 dan “katil boleh lipat” pada lima kali ganda RM500 yang harga pasarannya RM100. Keborosan sedemikian ini tidak kena pada tempatnya kerana ia tidak mendatangkan sebarang faedah pada warga Mara,” tegur beliau lagi.

Selain itu, kata Tuan Ibrahim syarikat-syarikat GLC yang ditegur bertahun-tahun juga terus dilanda kerugian. Antara yang mencatat kerugian yang besar adalah Syarikat Perumahan Negara Bhd (RM21.4 juta), Indah Water Konsortium Bhd (RM33.4 juta), Aset Global Network Sdn Bhd (RM41.1 juta), Keretapi Tanah Melayu Berhad (RM92.6 juta), manakala Prasarana Bhd (RM367.1 juta).

Pada skop yang lebih besar, kata beliau ialah kenaikan hutang negara sebanyak 12.3% kepada RM407.11 billion pada 2010 daripada RM362.39 billion pada 2009.

“Ini merupakan tahun kedua berturut-turut nisbah hutang negara kepada KDNK melebihi 50% pada 53.1%,” kata beliau.

Penyelewengan di atas, kata Tuan Ibrahim menunjukkan teguran bahasa audit tidak difahami BN.

“Justeru mereka terus menghampakan rakyat tanpa sebarang perubahan dilakukan. Maka, jelas yang boleh mengajar mereka ialah peti undi, dan rakyat tidak seharusnya mensia-siakan peluang di petak undi bagi mengajar dan menghukum kerajaan pekak ini,” tambah beliau.

Beliau juga memberikan amaran kepada rakyat bahawa kekecewaan itu akan pasti berulang selagi kerajaan yang ada tidak diganti dengan kerajaan baru yang lebih beramanah dan bertanggungjawab.

Laporan audit: Hanya peti undi boleh sedarkan BN:

'via Blog this'

Tarik balik semua sekatan kepada Aziz Bari

KUALA LUMPUR, 25 Okt: Angkatan Muda Keadilan Selangor suka untuk mengingatkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak agar tidak membuat kenyataan politik dan bermain politik dalam isu penggantungan Prof Dr Abdul Aziz Bari (gambar).

“Isu ini adalah jauh daripada amalan politik sempit yang diamalkan Umno Barisan Nasional,” kata ketua penerangannya, Mohd Saifullah Mohd Zulkifli sebagai respons kepada pengumuman Najib dan pihak pentadbiran Universiti Islam Antarabangsa mengenai penggantungan itu ditarik balik.

Namun demikian, katanya adalah malang apabila siasatan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan polis tetap diteruskan.

Malah, ujarnya komputer pejabat Prof Aziz Bari sendiri difahamkan ditarik dan pelbagai sekatan lain yang dikenakan kepada beliau.

“Pastinya ini tidak kundusif untuk meneruskan kuliah pengajian,” ujarnya yang juga Pengarah Biro Mahasiswa AMK Malaysia kepada Harakahdaily.

Menurutnya, hal itu tidak seharusnya berlaku kerana isu berkenaan bukan sahaja melibatkan individu, pensyarah undang-undang universiti yang mengeluarkan pandangan tidak sealiran pemerintah, tetapi ia adalah isu yang melibatkan kebebasan akademik yang menjamin kualiti pendidikan dan masa depan generasi muda negara.

Tegasnya, Angkatan Muda Keadilan Selangor memandang serius sikap bermain-main pemerintah Umno Barisan Nasional di dalam mengendalikan isu itu.

Sehubungan itu, katanya AMK Selangor mendesak agar segala sekatan dan tindakan kepada profesor terkemuka undang-undang negara, Dr Abdul Aziz Bari ditarik balik serta merta.

Tarik balik semua sekatan kepada Aziz Bari:

'via Blog this'

Monday, 24 October 2011

Guan Eng disaman RM30 juta

2011/10/24
KUALA LUMPUR: Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pulau Pinang, Datuk Zainal Abidin Osman hari ini memfailkan saman malu berjumlah RM30 juta terhadap Ketua Menteri, Lim Guan Eng, berhubung kenyataannya mengaitkan UMNO dengan demonstrasi dan cubaan membakar ibu pejabat DAP di Pulau Pinang pada Julai lalu.

Beliau memfailkan saman itu di pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi Sivil di sini, hari ini melalui Tetuan Jahaberdeen & Co.
Selain Lim yang juga Setiausaha DAP, turut dinamakan sebagai defendan ialah Parti Keadilan Rakyat selaku pemilik laman berita elektronik Keadilan Daily dan akhbar Suara Keadilan; Segmen Fleksibel Sdn Bhd yang juga syarikat penerbitan Keadilan Daily dan Suara Keadilan serta ketua penyuntingnya, Fazallah Pit.
Peguam Jahaberdeen Mohamed Yunoos, yang mewakili Zainal Abidin, 51, memberitahu pemberita bahawa saman itu difailkan atas kapasiti peribadi pemimpin UMNO Pulau Pinang itu.

Dalam pernyataan tuntutan itu, Zainal Abidin mendakwa pada 3 Julai lalu, Lim menerbitkan satu kenyataan akhbar melalui emel yang kemudiannya disiarkan di Keadilan Daily pada 3 Julai dan di akhbar Suara Keadilan pada 5 Julai lalu.

Zainal Abidin berkata, kenyataan Lim itu antara lain membawa maksud kononnya beliau terbabit dalam kegiatan mengguling Ketua Menteri Pulau Pinang melalui cara yang salah serta menyembunyikan pembabitannya dalam satu demonstrasi ganas yang berlaku di KOMTAR dan Jambatan Pulau Pinang pada 1 Julai lalu.

Beliau berkata, pada 18 Ogos lalu, Lim mengeluarkan satu lagi kenyataan menyinggung di hadapan sekumpulan wartawan yang disiarkan di laman berita elektronik, The Malaysian Insider, pada hari yang sama.
Zainal Abidin berkata, antara lain kenyataan itu membawa maksud kononnya beliau merancang untuk mensabotaj premis parti DAP di Pulau Pinang, dan kononnya beliau terbabit dalam mencetuskan cubaan membakar premis itu.

Beliau berkata, akibat kenyataan itu, ia merosakkan reputasinya dan menjejaskan kepercayaan parti induk terhadapnya.

Zainal Abidin menuntut ganti rugi RM30 juta, faedah, kos dan relif lain yang difikirkan wajar oleh mahkamah dan satu injunksi bagi menghalang kesemua defendan daripada terus mengeluarkan atau menyiarkan kenyataan fitnah itu. - BERNAMA Berita Harian Online | Guan Eng disaman RM30 juta:

'via Blog this'