
Thursday, 27 October 2011
Laporan audit bukti kegagalan dasar transformasi

Hudud komponen kecil dalam Islam

Tak perlu pinda Perlembagaan
MM (Maszlee Malik): (Datuk Mohd Amar Nik Abdullah), jika dilihat kebanyakan gerakan Islam sekarang ini meletakkan isu good governance (kerajaan/ pentadbiran yang baik), ketelusan, akauntabiliti, kebebasan dan keadilan sama ada ekonomi dan keluhuran undang-undang sebagai keperluan zaman ini. Peliknya Pas, menjelang Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) sibuk dengan hudud. Apakah ini strategi Pas untuk kekal di Kelantan? Apakah Pas tidak melihat keperluan semasa dan aulawiyat (keutamaaan)? Apakah Pas tidak melihat keadaan politik bad governance (kerajaan/ pentadbiran yang teruk) Barisan Nasional (BN) mengikut apa dipersetujui (Pakatan Rakyat) perlu dihentikan terlebih dahulu sebelum memberi peluang kepada rakyat memilih sama ada mereka ingin hudud atau sebaliknya melalui ruang demokrasi yang lebih terbuka dan adil. Ini yang kita boleh lihat kepada banyak gerakan Islam lain di seluruh dunia yang mana mereka tidak meletakkan hudud sebagai keutamaan tetapi kepada isu lain dalam perjuangan politik mereka berbanding Pas. Bagaimana Datuk?
MANA (Mohd Amar Nik Abdullah): Saya datang bukan untuk berpolemik atau mencari menang tetapi adalah bagi menjelaskan pendirian dan sebab kenapa kita begitu bersungguh-sungguh mahu laksanakan hudud. Sebenarnya, matlamat paling besar tegakkan Islam di Malaysia yang telah menjadi asas perjuangan Pas sejak dulu lagi. Berbalik kepada soalan mengapa gerakan Islam yang lain masih tidak berbicara mengenai hudud, saya rasa mungkin kerana suasana berbeza dan mereka belum menguasai kerajaan dan memerintah. Tuhan takdirkan dalam seluruh gerakan Islam yang ada sekarang, Pas salah satu yang diberi peluang ALLAH untuk memerintah. Kita berpengalaman memerintah Kelantan selama 18 tahun dan kemudiannya kalah pada 1978 selama 12 tahun dan me-nang kembali yakni sudah masuk tahun ke-21.
Apabila kita mempunyai kerajaan, kita bergerak mengikut keutamaan. Walaupun hudud adalah sebahagian kecil daripada aspek pemerintahan Islam, tetapi ia bahagian penting dalam Islam. Kenapa dekat pilihan raya? Sebenarnya, bukan kita yang sebut tetapi isu ini timbul apabila kita ditanya wartawan ekoran isu Kelantan berdepan penghidap HIV tertinggi dalam negara. Ini kerana, kita merekod dengan tepat berbanding negeri lain yang sembunyikan data. Kita berterus terang kerana bukan hendak sapu sampah masuk bawah karpet. Kita berdepan dengan realiti dan dicatat dengan telus. Bila ditanya sebab tinggi, lantas Tok Guru (Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat) berkata, ini adalah antara sebab perlunya melaksanakan syariat Islam termasuk hukum hudud untuk menyelesaikan masalah masyarakat. Tetapi perkara tersebut ditekankan yang kemudiannya di sambut pelbagai pihak sehingga menjadi isu besar dalam negara. Kita bukan bercakap kerana pilihan raya. Hudud diluluskan di Kelantan pada 1993 dan setiap tahun hari hudud disambut. Hudud diperkatakan setiap tahun, selama ini masing-masing tidak buka telinga jadi mereka tidak dengar tetapi selepas keluar akhbar, baru semua orang dengar.
Walaupun hudud sebahagian kecil daripada perundangan Islam, tetapi kepentingannya dalam sebuah fabrik negara lebih lagi dalam konteks sama ada yang mana kadar jenayah begitu tinggi dan meningkat. Malahan undang-undang sedia ada tidak mampu menyelesaikan masalah ini. Ini adalah pendekatan kita yang mungkin boleh membantu untuk menyelesaikan masalah jenayah sekali gus masalah masyarakat. Atas sebab itu, kita meminta laluan pihak berkuasa terutama Kerajaan Persekutuan untuk memberi laluan kepada Kelantan menjadi makmal uji kaji kemampuan dan kebolehan syariat Islam ini dilaksanakan.
Selama memerintah Kelantan 21 tahun, kita bukan hanya bercakap mengenai hudud, tetapi pelbagai usaha dilakukan untuk memberi kefahaman kepada rakyat mengenai Islam. Atas sebab itu, kita letak dasar membangun bersama Islam supaya masyarakat melihat Islam sebagai cara hidup yang menyeluruh. Itu yang penting dan kita melakukan pelbagai program berasaskan ajaran Islam. Contohnya, dalam masyarakat, ada anak-anak yang boleh dididik melalui nasihat tetapi ada yang dinasihat tetap tidak dengar kata. Orang kata kena bagi ‘penampar Jepun’ baru dengar kata, jadi hudud boleh jadi ‘penampar jepun’ kepada mereka yang degil tidak mematuhi undang-undang.
MM: (Profesor Madya Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah), dalam salah satu artikel tulisan Prof, ada disebut mengenai perlunya Pas dan Umno bertegas dengan orang bukan Islam terutama kumpulan ultra kiasu apabila berbicara mengenai soal hudud dan hak kita sebagai orang Islam yang perlu ditegakkan. Tetapi, tidakkah Prof melihat ia sebagai ‘tyranny of the majority’ (kesengsaraan majoriti). Mentang- mentang kita majoriti dan ‘tuan’ di negara ini, maka tidak ambil peduli kepada golongan warganegara lain. Mereka juga warganegara dan memegang kad pengenalan biru, adakah mereka tidak mempunyai hak menyuarakan pandangan? Mengapa tiada usaha untuk memberi kefahaman dan penerangan sebenar melalui dialog terbuka di media. Malahan jabatan agama termasuk Jakim (Jabatan Kemajuan Islam Malaysia) dalam Konvesyen Majlis Agama Islam juga tidak membincangkan mengenai hudud. Bukankah sepatutnya agensi ini membuka ruang perbincangan de-ngan bukan Islam supaya setiap keputusan diambil turut mengambil kira persetujuan mereka?
MRTA (Mohd Ridhuan Tee Abdullah): Saya menyeru supaya umat ini bersatu kerana masa tidak banyak menunggu kita. Itu yang sekian lama saya perkatakan. Perkara ini tidak boleh lakukan seorang sahaja seperti apa yang berlaku sekarang sehingga menimbulkan banyak polemik. Jika kita bersatu, pasti orang lain sukar naik dan pijak kepala kita. Justeru, apa yang saya bangkitkan kerana hukum Islam dipermainkan oleh ultra kiasu. Kita sendiri tahu siapa dia. Saya mulanya percaya golongan ultra kiasu ini, apabila berkawan de-ngan Pas, makin lembut dengan Islam tetapi sebaliknya, makin kuat melawan.
Kajian demi kajian dibuat namun sehingga ke hari ini saya masih belum jumpa kajian penerimaan hudud dalam kalangan orang bukan Islam. Sebab itu, kita meminta Univerisiti Malaya yang mempunyai Akademi Pengajian Islam dan Fakulti Pengajian Islam di Universiti Kebangsaan mengkaji mengapa orang bukan Islam begitu menentang dan mengeluarkan kenyataan ‘langkah mayat aku dulu’ sehingga ke hari ini. Saya yakin kenyataan ini dibuat kerana individu itu tahu kita lemah. Jika kita kuat, kenyataan itu tidak akan keluar. Malahan seorang ultra kiasu yang juga Ahli Parlimen di satu kawasan di Kuala Lumpur apabila ditanya yang mana pilihan orang Cina sama ada Pas atau Umno, katanya mereka tahu Umno korup dan Pas ada integriti. Tetapi jika diberi pilihan antara negara Islam dengan calon yang korup, orang Cina sebaliknya memilih calon korup daripada calon yang mempunyai integriti dan ingin tegakkan undang-undang Islam.
Saya melihat persepsi masyarakat Cina terhadap Islam tidak menunjukkan peningkatan yang begitu baik. Ia masih di tahap sama dan respon juga negatif. Malahan dapatan daripada kajian kalangan pelajar institut pengajian tinggi (IPT) mengenai Islam juga tiada perkara positif boleh ditonjolkan.
Justeru, adalah lebih baik kita berbicara mengenai sesuatu yang sudah menjadi dasar bersama dan suruhan semua agama. Kita ambil nilai besar ini dan bincangkan bersama supaya dapat dilihat sama ada mereka bersetuju atau sebaliknya. Perkara ini perlu kita fikirkan bersama tentang sejauh mana persiapan melaksanakan hudud supaya tidak timbul persepsi negatif.
MM: Apabila kita berbicara mengenai hudud pada 1993, isunya kerana bertentangan dengan Perlembagaan. Tetapi, pensyarah undang-undang, Prof Dr Abdul Aziz Bari berkata, tiada isu Perlembagaan sebab tidak perlu pinda Perlembagaan di Kelantan dan yang perlu dipinda adalah Akta Mahkamah Syariah. Selain itu, timbul persepsi dalam keadaan mahkamah syariah yang dilihat tidak berkredibilti, jabatan agama Islam negeri lesu dan tidak produktif malahan dalam urusan asas masih terabai. Seperti pendaftaran, pentadbiran zakat, isu ramai orang Islam yang tidak yakin dengan Islam. Adakah kita hendak meletakkan keyakinan kepada mahkamah syariah untuk menguruskan hudud yang besar ini sedangkan perkara asasi pihak jabatan agama negeri masih gagal diatasi?
MIR (Mohd Isa Ralip): Memang benar isu hudud di Kelantan sebelum ini adalah kerana bertentangan Perlembagaan dan ultra-virus. Ini kerana Kerajaaan Negeri tidak boleh membuat undang-undang atau enakmen bertentangan Akta Persekutuan kerana akan terbatal serta merta.
Saya bersetuju dengan kenyataan Dr Aziz yang menyatakan dalam pelaksanaan hudud iaitu enakmen di Kelantan dan Terengganu tidak bertentangan dengan Perlembagaan dan yang perlu dipinda adalah Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) Pindaan 1988. Akta ini mengehadkan kuasa mahkamah syariah kepada apa yang dipanggil 356 iaitu tiga tahun penjara, denda RM5,000 dan enam kali sebatan. Justeru, bagaimana hudud dapat dilaksanakan kerana dalam hudud mempunyai lebih 80 sebatan dan sebagainya.
Justeru apabila Kelantan melaksanakan jawatankuasa untuk mengkaji kekangan dari sudut perundangan dan dan enakmen yang perlu diteliti adalah penting kerana untuk melaksanakan hudud bukan senang kerana melibatkan enakmen lain.
Ia bukan sahaja akta kena pinda tetapi pelbagai perkara seperti prosedur jenayah, proses siasatan dan enakmen lain yang perlu dikaji. Prosedur dalam hukum hudud perlu mantap dan bukannya boleh dilaksanakan begitu sahaja.
Ya, memang kita nampak ada kelesuan di mahkamah syariah dan pejabat agama namun beri sedikit peluang. Kita kena berpegang pada Islam dan yakin dengan Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan bahawa Islam agama rasmi Persekutuan. Sekiranya hudud dilaksanakan akan memberi kebaikan dan menaik tarafkan bidang kuasa mahkamah syariah akan lebih luas sekali gus tidak terhad kepada akta tersebut sahaja dan mendidik masyarakat. Berbanding hukum takzir, jika dilihat denda setakat RM3,000, orang masih mampu ba-yar, tidak takut dan kesalahan masih mampu berulang.
Jika pindaan itu dilakukan, ia akan memberi ruang kepada negeri lain untuk meminda enakmen atau kesalahan jenayah syariah negeri. Contohnya seperti kesalahan zina, jika tidak rejam boleh dikenakan penjara 20 tahun sama seperti kes rogol termasuk bagi hukuman lain dalam hudud. Pindaan enakmen prosedur jenayah perlu dilaksanakan untuk memperkasakan mahkamah syariah. Kita faham dengan hasrat Kerajaan Kelantan tetapi apa yang perlu dilaksanakan adalah pemerkasaan jabatan agama dan mahkamah syariah. Bidang kuasa dan integriti yang luas akan menyebabkan dua jabatan ini akan lebih mantap dan kukuh.
MM: Jika dilihat Kelantan, selama 21 tahun apakah Kelantan sudah menjadi model? Apa yang menyebabkan Kelantan boleh dijadikan contoh atau model sama ada daripada segi kebajikan, ekonomi dan lain-lain? Sejauh mana selama 21 tahun ini, Kerajaan Kelantan berusaha menjadikan Kota Bharu sebagai model bandar Islam paling bersih di negara ini ataupun sebagai bandar mesra orang kurang upaya (OKU) contohnya. Ataupun selama 21 tahun, Kerajaan Kelantan melalui sistem pendidikanya berjaya melahirkan ulama setaraf ulama Dr Yusof Qardhawi misalnya. Justeru keadaan begini, adakah hudud sahaja yang Kelantan mampu lakukan?
MANA: Selama 21 tahun, Pas memerintah Kelantan, pelbagai perubahan dilakukan tetapi tidak diketahui orang ramai kerana kekangan media massa yang terhad. Oleh sebab itu, banyak pencapaian di Kelantan kurang diketahui umum. Hudud bukan fokus kami di Kelantan kerana semasa kami menang dulu Tok Guru (Nik Aziz) memperkenalkan dasar membangun bersama Islam untuk membentuk minda masyarakat. Selama ini, masyarakat melihat Islam hanya ritual sahaja iaitu perkara menyentuh peribadi antara manusia dan Tuhan. Kita ingin mengubah minda masyarakat supaya melihat Islam bukan dalam aspek ibadah ritual kepada satu sistem hidup. Sebab itu, program yang kita laksanakan adalah berasaskan Islam sama ada dasar pembangunan, pelancongan, masyarakat dan sukan. Malahan dalam usaha tersebut, aspek pendidikan paling banyak. Ini adalah persiapan melaksanakan syariat secara menyeluruh.
Apabila kita meluluskan enakmen hudud pada 1993, kita sebenarnya ingin meletakkan hudud di tempatnya yang sebenar. Dalam konteks negara ini, hudud masih belum dimartabatkan dan kerana itu, ia masih dalam al-Quran dan kitab sahaja dan tidak dijadikan sebagai undang-undang.
Apa yang kami laksanakan di Kelantan, adalah meletakannya di tempat sepatutnya, menjadikan undang-undang dengan dikanunkan di Dewan Undangan Negeri dan dijadikan enakmen. Soal bila dilaksanakan sepenuhnya bergantung kepada suasana dan keperluan sedia ada.
Masyarakat tidak faham kerana mereka beranggapan apabila enakmen itu diluluskan pada 1993, terus potong tangan. Setelah lulus, kita akan buat pendidikan dan persediaan kepada masyarakat. Alhamdulilah, sekarang ini rotan telah ada yang disimpan di Penjara Pengkalan Chepa, tukang sebat dan latihan menyebat juga sudah diberi bagaimana cara sebatan mengikut kaedah Islam. Anda boleh tengok kerana ada demontrasi bagaimana sebatan dibuat mengikut Islam berbanding sivil. Asas kami sudah mencukupi. Bila akan dilaksanakan bergantung kepada masa.
Melaksanakan undang-undang hudud memerlukan pembuktian tinggi. Masalahnya apabila memperkatakan hudud, masyarakat hanya nampak potong tangan dan rejam tetapi tidak melihat kaedah, prosedur serta tahap pembuktian sebelum dijatuhkan hukuman. Hudud bukan apabila mencuri sahaja, terus potong tangan. Mentaliti kefahaman Islam dan persepsi itu rendah pengetahuannya. Dalam salah satu kitab mengenai hudud ditulis oleh Al-Qurtubi menyatakan ada 20 syarat sebelum hukuman potong tangan dijalankan kerana dalam enakmen hudud, ada pengecualian tertentu. Umpamanya jika nilai barangan rendah seperti mencuri sebungkus mi segera tidak boleh potong tangan kerana tidak sama de-ngan nilai barangan dicuri. Barang disimpan yang tertutup sekurang-kurangnya dalam poket seluar dan orang yang mencuri bukan atas desakan hidup.
Bercakap soal ketidakadilan, kita akui berdasarkan kajian dan pembacaan berlaku sedikit masalah (dalam pelaksanaan hudud) di Pakistan dan panel kami pernah ke Nigeria di mana Kerajaan Persekutuannya beragama Kristian tetapi Kerajaan Pusat yang Kristian itu membenarkan wila-yahnya ditadbir orang Islam mengamalkan hudud. Namun di negara kita, Kerajaan Persekutuan orang Islam tetapi tidak memberi laluan kepada negeri (Kelantan) untuk melaksanakan hudud. Bagaimanapun kami yakin jika kami diberi laluan undang-undang, ketidakadilan ini boleh dielak sebaik mungkin.
MM: Jika dilihat, konsep penyaksian dalam hudud mementingkan lelaki Islam walupun isu dalam hudud bukan zina sahaja. Jadi jika wanita dikecualikan daripada menjadi saksi dan orang bukan Islam juga tidak boleh jadi saksi sekalipun barang yang dicuri orang Islam itu milik orang bukan Islam. Adakah ini diskriminasi gender dan agama? Jika orang bukan Islam tidak dapat menerima, bagaimana?
MRTA: Sepanjang pergaulan saya dengan bukan Islam, tidak kira berapa lama anda berkawan, keadaan tetap tidak banyak berubah. Ini pada pandangan saya, setuju atau tidak terpulang. Jika tidak percaya, kita lihat apa yang akan berlaku pada generasi seterusnya.
Kajian saya buat adalah pada genersi muda, pelajar IPT mengenai pandangan mereka terhadap Islam. Jika ini diperturunkan generasi tua kepada generasi muda, saya tidak nampak undang-undang Islam akan diterima mereka. Sebab itu, jika ingin laksanakan undang-undang Islam perlu ‘by force’ (secara paksaan). Peluang sepatutnya kita gunakan dulu, selepas peristiwa 13 Mei 1969, itu peluang kita tidak ambil dan biarkan begitu sahaja. Hari ini keadaan tidak banyak membantu kerana perpecahan makin kuat dan anda semua berharap mereka terima undang–undang Islam.
Orang bukan Islam sampai bila-bila tidak akan terima undang-undang ini kerana jika sesama Islam sendiri kita masih gagal menunjukkan ‘role model’ (contoh ikutan) yang baik. Saya berharap untuk melaksanakan hudud, Pas dan Umno perlu bersatu kerana jika tidak, hukum ini tidak akan dapat dapat dilakukan sama ada peringkat negeri mahupun Persekutuan. Ini kerana perkara yang berkaitan dengan Islam dan raja-raja Melayu memerlukan dua pertiga majoriti di Parlimen.
Jika tiada sokongan orang bukan Islam yang masih menentang, bagaimana hendak harapkan mereka menyokong kerana kajian saya tidak menampakkan perkara positif dengan undang-undnag sebegini.
Justeru, apabila memperkatakan perkara berkaitan Islam dan Melayu perlu disampaikan dengan berlapik sedikit kerana biarlah akhirnya pandangan itu menyebelahi agama. Jika terlalu terbuka akan menyebabkan ‘kaduk naik junjung’ yang akhirnya memberi implikasi besar kepada perkembangan Islam negara ini.
MM: Untuk masuk Islam pun tidak boleh paksa, apatah lagi undang-undang Islam, adakah perlu kita paksa bukan Islam menerimanya?
MRTA: Ingin saya bercakap sedikit, negara ini berasal dari sistem kenegaraan Melayu. Kalau saya bercakap begini, saya dilihat lebih Melayu daripada orang Melayu sendiri, tapi saya mesti katakannya. Setiap negara di dunia ada tuannya, ALLAH SWT jadikan manusia ini adil, setiap bangsa ada tempatnya dan negara tersebut diambil dari nama bangsa itu.
Negara tidak boleh terjadi terus berbilang bangsa. Ingin saya tegaskan untuk kita berfikir sejenak, kenapa negara ini yang berakar umbikan Melayu akhirnya kita tidak tahu ke mana arah identiti negara yang mahu kita bawa.
Memang kita tidak boleh memaksa orang bukan Islam memeluk agama Islam, tetapi kita boleh paksa orang bukan Islam menerima undang-undang Islam yang duduk di negara Islam.
Boleh laksana hudud jika pinda Akta Mahkamah Syariah

Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia, Mohd Isa Abd Ralip berkata, pindaan terhadap Akta Mahkamah Syariah (Bidang kuasa Jenayah) Pindaan 1988 perlu dilakukan supaya masyarakat boleh merasai apa yang dikatakan hukuman hudud.
Katanya, tujuan pindaan itu adalah untuk memperkasakan bidang kuasa mahkamah syariah dan jabatan agama Islam di negara ini supaya lebih dipandang berkredibiliti bagi melaksanakan hukum hudud.
Menurutnya, sebelum ini Mahkamah Syariah tertekan dengan Akta Mahkamah Syariah 1988 yang mengehadkan hukuman syariah kepada ‘formula 356’, iaitu penjara maksimum tiga tahun, denda RM5,000 dan enam sebatan, dilihat tidak menggerunkan masyarakat.
“Sama ada akta boleh pinda atau tidak, itu soal lain. Tepuk dada tanya selera, sama ada hendak buat atau tidak mahu. Tidak ada masalah kalau hendak laksanakan hudud. Sebelum ini kita dengar, apa yang dibuat oleh Kelantan bertentangan dengan Perlembagaan sebab setiap Kerajaan Negeri tidak boleh membuat sesuatu undang-undang yang bertentangan Perlembagaan (akta).
“Dikatakan bahawa undang-undang (enakmen) yang dibuat itu, apabila berlawanan dengan akta, maka ia terbatal.
“Bila kita lihat dari segi perkembangan hudud, kita tengok balik Perlembagaan, saya setuju dengan Aziz (Pakar Perlembagaan Profesor Dr Abdul Aziz Bari) yang mengatakan bahawa dalam pelaksanaan hudud ini, dengan apa yang ada (enakmen) di Kelantan dan Terenganu, tidak berlawanan dengan Perlembagaan.
“Apa yang perlu diubah ialah akta bidang kuasa yang mengehadkan bidang kuasa mahkamah syariah itu. Jadi, kalau kita hendak buat (pindaan) maka itu kekangannya,” tegasnya.
Mohd Isa berkata, bagaimanapun, semua kekangan dari sudut perundangan mahupun enakmen perlu dikaji dan diteliti, bukan hanya akta yang perlu dipinda.
“Bukan senang hendak laksanakan hudud dari segi undang-undang kerana ada kaitan enakmen-enakmen lain.
“Prosedur jenayah dan cara pelaksanaan siasatan itu bagaimana; bagaimana kita hendak sebat, hendak potong tangan atau contohnya, bagaimana kita hendak laksanakan hukuman buang daerah. Semua prosedur kena mantap,” katanya.
Beliau berkata, memang diakui mahkamah syariah dan jabatan agama dilihat lesu hingga timbul pandangan tidak yakin dengan kredibilitinya untuk menjalankan hudud.
“Kita kena berpegang kepada Islam dan yakin Perkara 3 dalam Perlembagaan Persekutuan bahawa Islam adalah agama Persekutuan. Jadi berilah peluang (kepada mahkamah syariah).
“Kita nampak ada kelemahan tertentu tetapi dengan adanya kebaikan hudud ini untuk dilaksanakan, maka kita nampak bahawa mahkamah syariah akan dinaikkan taraf dari segi bidang kuasa di mana sebelum ini kita hanya tertekan dengan ‘356’.
“Dengan adanya akta pindaan bidang kuasa, maka bidang kuasa mahkamah syariah akan menjadi luas,” katanya.
Menurutnya, hukuman kesalahan jenayah syariah seperti zina yang hanya mengenakan denda RM3,000 atau hukuman denda ke atas kes khalwat juga dilihat ringan kerana setiap pesalah jenayah syariah mampu mengikut perintah hukuman itu.
“Dengan adanya pindaan, akan beri ruang kepada akta tersebut bukan sahaja kepada Kelantan tetapi negeri-negeri lain yang belum hendak laksanakan hudud, boleh meminda enakmen atau kes jenayah syariah bagi meningkatkan hukuman tadi.
“Kita nampak ada kelemahan tetapi pindaan terhadap Enakmen Prosedur Mal Mahkamah Syariah dan Jenayah Syariah atau apa jua perkara yang perlu dibuat, maka ia akan memperkasakan mahkamah syariah,” katanya.
Hudud: Nik Aziz enggan ulas

Menurutnya, beliau tidak mahu timbul kecelaruan sekiranya semua pihak dibenarkan bercakap mengenai hudud dan menganggap masa untuk mengulas tentang isu itu sudah berlalu.
“Pelaksanaan hudud juga bergantung kepada jawatankuasa yang dilantik, saya berjanji tidak mahu semua orang bercakap tentang hudud dan menjelaskan akta murtad terdapat dalam hudud,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Projek Perlombongan Intermining Sdn Bhd, semalam. Turut hadir, Pengarah Inter Bumi Mining Sdn Bhd, Datuk Razali Daud.
Sebelum ini Kerajaan Negeri menubuhkan Jawatankuasa Teknikal Enakmen Jenayah Syariah II untuk mengkaji sama da undang-undang tersebut boleh dilaksanakan tanpa meminda Perlembagaan Negara.
Jawatankuasa yang dipengerusikan Timbalan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob manakala Mohd Amar dilantik sebagai timbalan pengerusi dan turut disertai 19 orang ahli dari pelbagai latar belakang termasuk agensi penguatkuasaan negara.
Dalam pada itu, Nik Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan berkata, Kerajaan Negeri bakal memperolehi satu lagi pendapatan melalui pengusahaan perlombongan biji besi tersebut.
Katanya, walaupun kecewa tidak mendapat hasil dari royalti petroleum, beliau bersyukur kerana Kelantan mendapat satu lagi hasil cukai bakal menyumbang kepada pendapatan negeri.
“Alhamdulillah Kelantan mendapat hasil baru daripada perlombongan bijih besi dan kita sedang tunggu hasil di laut (petroleum) di bawah jagaan Petronas. Kita berdoa mudah-mudahan Allah membuka pintu hati pemimpin Kerajaan Pusat supaya Petronas memberikan semula harta kita (royalti petroleum),” katanya.
Wednesday, 26 October 2011
Mahasiswa sedia himpun macam Bersih 2.0
GOMBAK, 26 Okt: Sekumpulan mahasiswa yang berhimpun di Universiti Islam Antarabangsa (UIA) di Gombak malam tadi membayangkan akan menggerakkan himpunan seperti Bersih 2.0 jika tuntutan mereka diabaikan kerajaan.
Pengerusi Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM), Ahmad Syukri Ab Razab berkata mahasiswa akan terus menerus bangkit untuk membuat bantahan sehinggalah kebebasan suara diberikan kepada pengamal akademik dan juga kepada mahasiswa.
"Sekiranya kerajaan gagal untuk menjawab memorandum bantahan ini, insya-allah kita akan buat himpunan bersama rakyat, badan-badan NGO yang terdiri daripada BERSIH.20 yang dijangkakan akan diadakan di Stadium Merdeka dan Putrajaya," katanya pada himpunan tersebut.
Himpunan yang diserta hampir 100 mahasiswa malam tadi itu diadakan bagi menuntut kebebasan akademik ekoran tindakan universiti itu terhadap pensyarahnya Prof Dr Abdul Aziz Bari.
Walaupun hasrat awal untuk mengadakan demonstrasi, akhirnya mereka menukar rancangan dengan mengadakan protes secara senyap selepas berhadapan larangan daripada pihak keselamatan universiti.
Mereka mula berhimpun pada jam 8.35 malam, di perkarangan masjid kampus berkenaan, dengan menyalakan lilin dan mengangkat beberapa poster antaranya tertulis "Mahasiswa tuntut kebebasan akademik" dan "Bebaskan universiti dari cengkaman politik".
Perhimpunan tersebut pada asalnya bagi menyerahakn memorandum kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang dijadual hadir merasmikan satu program di kampus tersebut malam tadi.
Bagaimanapun beliau diganti Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein.
Sebelum itu, Presiden Majlis Perwakilan Pelajar UIA Mohd Iqbal Abdul Wahab berjaya menyerahkan memorandum kepada Hishammuddin di dewan berkenaan.
Mohd Iqbal pula berkata pihaknya bercadang akan buat satu program bersama perdana menteri ekoran Najib tidak hadir ke UIA malm tadi.
"Tujuannya agar PM mendengar pendapat mahasiswa yang merupakan generasi penentu masa depan negara," katanya.
Sementara itu, jurucakap SMM Mohd Zaky Sukery memberitahu pemberita terdapat dua tuntutan utama dalam memorandum tersebut, iaitu mendesak kebebasan akademik diberikan kepada ahli akademik dan mendesak agar siasatan terhadap Abdul dihentikan tanpa syarat.
Beliau berkata, walaupun pergantungan tugas terhadap Prof. Aziz Bari telah ditarik balik tetapi semua mahasiwa masih tidak berpuas hati kerana kerana masih ada siasatan di kenakan kepada beliau.
"Prof. Aziz Bari disiasat seolah seperti seorang jenayah sedangkan beliau bersuara atas kajian, bukti dan fakta yang kukuh melalui buku yang ditulis. Tindakan UIA adalah tidak wajar dan sangat terdesak," katanya.
'via Blog this'
Aziz Bari umpama 'guru perlembagaan'
RANTAU PANJANG, 26 Okt: Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat akan mengirim surat ‘tahniah’ dan rasa syukur di atas penarikan semula penggantungan pensyarah UIA, Prof Dr Abdul Aziz Bari dua hari lalu.
Menurut Tuan Guru, penarikan itu amat wajar memandangkan Aziz Bari adalah pakar perlembagaan seumpama guru dalam undang-undang perlembagaan.
Menurutnya, sebagaimana guru ilmu feqah yang mempunyai gurunya yang arif dan tersendiri, Aziz Bari juga demikian yang diibaratkan ‘guru perlembagaan’.
“Penggantungan sebelum ini terhadapnya memang melampau, tak kenal jenis orang macam mana, professional ke, ahli akademi ke, tahu nak sekat.
“Kita bagi kebebasan pada semua lapisan masyarakat untuk bersuara selagi ianya tidak melanggar peraturan dan bersalahan dengan dengan undang-undang,” ujarnya.
Namun apa yang berlaku, tambahnya adalah sebaliknya pula.
Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan projek perlombongan Interbumi Mining Sdn Bhd dan Majlis Penyampaian sumbangan sempena Aidiladha, di Rantau Panjang, dekat sini.
Bagaimanapun, Anggota Jawatankuasa PAS Pusat, Dr Dzulkeflyi Ahmad semalam mendakwa penarikan itu hanya sandiwara Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak memandangkan profesor itu masih menghadapi tekanan dalam siasatan.
Baru-baru ini, Aziz Bari digantung dari perkhidmatannya sebagai pensyarah kanan di UIA kerana mengeluarkan pandangan dari sudut akademik dan perundangan berhubung Sultan Selangor.
Aziz Bari umpama 'guru perlembagaan':'via Blog this'