Wednesday, 26 October 2011

Mahasiswa sedia himpun macam Bersih 2.0

Khaulah Azwar

GOMBAK, 26 Okt: Sekumpulan mahasiswa yang berhimpun di Universiti Islam Antarabangsa (UIA) di Gombak malam tadi membayangkan akan menggerakkan himpunan seperti Bersih 2.0 jika tuntutan mereka diabaikan kerajaan.

Pengerusi Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM), Ahmad Syukri Ab Razab berkata mahasiswa akan terus menerus bangkit untuk membuat bantahan sehinggalah kebebasan suara diberikan kepada pengamal akademik dan juga kepada mahasiswa.

"Sekiranya kerajaan gagal untuk menjawab memorandum bantahan ini, insya-allah kita akan buat himpunan bersama rakyat, badan-badan NGO yang terdiri daripada BERSIH.20 yang dijangkakan akan diadakan di Stadium Merdeka dan Putrajaya," katanya pada himpunan tersebut.

Himpunan yang diserta hampir 100 mahasiswa malam tadi itu diadakan bagi menuntut kebebasan akademik ekoran tindakan universiti itu terhadap pensyarahnya Prof Dr Abdul Aziz Bari.

Walaupun hasrat awal untuk mengadakan demonstrasi, akhirnya mereka menukar rancangan dengan mengadakan protes secara senyap selepas berhadapan larangan daripada pihak keselamatan universiti.

Mereka mula berhimpun pada jam 8.35 malam, di perkarangan masjid kampus berkenaan, dengan menyalakan lilin dan mengangkat beberapa poster antaranya tertulis "Mahasiswa tuntut kebebasan akademik" dan "Bebaskan universiti dari cengkaman politik".

Perhimpunan tersebut pada asalnya bagi menyerahakn memorandum kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang dijadual hadir merasmikan satu program di kampus tersebut malam tadi.

Bagaimanapun beliau diganti Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

Sebelum itu, Presiden Majlis Perwakilan Pelajar UIA Mohd Iqbal Abdul Wahab berjaya menyerahkan memorandum kepada Hishammuddin di dewan berkenaan.

Mohd Iqbal pula berkata pihaknya bercadang akan buat satu program bersama perdana menteri ekoran Najib tidak hadir ke UIA malm tadi.

"Tujuannya agar PM mendengar pendapat mahasiswa yang merupakan generasi penentu masa depan negara," katanya.

Sementara itu, jurucakap SMM Mohd Zaky Sukery memberitahu pemberita terdapat dua tuntutan utama dalam memorandum tersebut, iaitu mendesak kebebasan akademik diberikan kepada ahli akademik dan mendesak agar siasatan terhadap Abdul dihentikan tanpa syarat.

Beliau berkata, walaupun pergantungan tugas terhadap Prof. Aziz Bari telah ditarik balik tetapi semua mahasiwa masih tidak berpuas hati kerana kerana masih ada siasatan di kenakan kepada beliau.

"Prof. Aziz Bari disiasat seolah seperti seorang jenayah sedangkan beliau bersuara atas kajian, bukti dan fakta yang kukuh melalui buku yang ditulis. Tindakan UIA adalah tidak wajar dan sangat terdesak," katanya.

Mahasiswa sedia himpun macam Bersih 2.0:

'via Blog this'

Aziz Bari umpama 'guru perlembagaan'

Rizal Tahir

RANTAU PANJANG, 26 Okt: Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat akan mengirim surat ‘tahniah’ dan rasa syukur di atas penarikan semula penggantungan pensyarah UIA, Prof Dr Abdul Aziz Bari dua hari lalu.

Menurut Tuan Guru, penarikan itu amat wajar memandangkan Aziz Bari adalah pakar perlembagaan seumpama guru dalam undang-undang perlembagaan.

Menurutnya, sebagaimana guru ilmu feqah yang mempunyai gurunya yang arif dan tersendiri, Aziz Bari juga demikian yang diibaratkan ‘guru perlembagaan’.

“Penggantungan sebelum ini terhadapnya memang melampau, tak kenal jenis orang macam mana, professional ke, ahli akademi ke, tahu nak sekat.

“Kita bagi kebebasan pada semua lapisan masyarakat untuk bersuara selagi ianya tidak melanggar peraturan dan bersalahan dengan dengan undang-undang,” ujarnya.

Namun apa yang berlaku, tambahnya adalah sebaliknya pula.

Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan projek perlombongan Interbumi Mining Sdn Bhd dan Majlis Penyampaian sumbangan sempena Aidiladha, di Rantau Panjang, dekat sini.

Bagaimanapun, Anggota Jawatankuasa PAS Pusat, Dr Dzulkeflyi Ahmad semalam mendakwa penarikan itu hanya sandiwara Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak memandangkan profesor itu masih menghadapi tekanan dalam siasatan.

Baru-baru ini, Aziz Bari digantung dari perkhidmatannya sebagai pensyarah kanan di UIA kerana mengeluarkan pandangan dari sudut akademik dan perundangan berhubung Sultan Selangor.

Aziz Bari umpama 'guru perlembagaan':

'via Blog this'

Tuesday, 25 October 2011

Laporan audit: Hanya peti undi boleh sedarkan BN

Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 25 Okt: Meskipun ditegur setiap tahun, kerajaan Barisan Nasional (BN) tetap pekak kepada saranan Ketua Audit Negara (KAN), bahkan budaya penyelewengan, pembaziran, ketirisan dan keborosan semakin subur dalam pengurusan kewangan negara, kata Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Dalam satu kenyataan hari ini, Tuan Ibrahim menyimpulkan bahawa kerajaan BN tidak akan faham bahasa laporan audit, yang boleh menyedarkan mereka hanyalah bahasa daripada ‘peti undi’ apabila Laporan Audit 2010 mendedahkan lagi penyelewengan yang sama seperti tahun-tahun terdahulunya dalam pengurusan projek dan pembelian perkakas agensi kerajaan.

Mengikut laporan terbaru, antara teguran yang dibuat KAN, ia kelakuan agensi kerajaan yang sangat jelas melanggari undang-undang.

Sebagai contoh, kata Tuan Ibrahim, bangunan tambahan Perpustakaan Negara yang diduduki tanpa sijil CF tidak sepatutnya berlaku kerana sebagai sebuah agensi kerajaan, mereka mesti tahu peraturan dan risiko menduduki sesebuah bangunan tanpa Sijil Boleh Menduduki (CF).

“Demikian juga teguran terhadap banyaknya projek kerajaan diberi melalui runding terus dan ianya jelas suatu tindakan untuk memberi projek kepada kroni dan mereka yang tidak layak menerimanya.

Antara projek runding terus yang merugikan negara ialah pembelian kuda “sakit” oleh Majlis Sukan Negara. Daripada 23 ekor kuda yang dibeli dengan harga RM246,000 seekor, hanya 5 ekor sahaja layak bertanding,” kata Tuan Ibrahim, yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang.

Tuan Ibrahim juga membangkitkan keborosan dalam Jabatan Taman Laut Malaysia (JTLM) membelanjakan lebih daripada RM128,000, iaitu lebih 2,810% di dalam pembelian pelbagai jenis peralatan.

Yang paling menjengkelkan, kata beliau ialah pembelian satu binokular oleh JLTM pada harga RM56,350 or 2,805% tinggi daripada harga pasaran RM1,940.

“Mara (Majlis Amanah Rakyat) juga tidak kurang hebatnya kerana sanggup membeli ketuhar hampir 300% (RM1,200) lebih tinggi daripada harga pasaran RM419 dan “katil boleh lipat” pada lima kali ganda RM500 yang harga pasarannya RM100. Keborosan sedemikian ini tidak kena pada tempatnya kerana ia tidak mendatangkan sebarang faedah pada warga Mara,” tegur beliau lagi.

Selain itu, kata Tuan Ibrahim syarikat-syarikat GLC yang ditegur bertahun-tahun juga terus dilanda kerugian. Antara yang mencatat kerugian yang besar adalah Syarikat Perumahan Negara Bhd (RM21.4 juta), Indah Water Konsortium Bhd (RM33.4 juta), Aset Global Network Sdn Bhd (RM41.1 juta), Keretapi Tanah Melayu Berhad (RM92.6 juta), manakala Prasarana Bhd (RM367.1 juta).

Pada skop yang lebih besar, kata beliau ialah kenaikan hutang negara sebanyak 12.3% kepada RM407.11 billion pada 2010 daripada RM362.39 billion pada 2009.

“Ini merupakan tahun kedua berturut-turut nisbah hutang negara kepada KDNK melebihi 50% pada 53.1%,” kata beliau.

Penyelewengan di atas, kata Tuan Ibrahim menunjukkan teguran bahasa audit tidak difahami BN.

“Justeru mereka terus menghampakan rakyat tanpa sebarang perubahan dilakukan. Maka, jelas yang boleh mengajar mereka ialah peti undi, dan rakyat tidak seharusnya mensia-siakan peluang di petak undi bagi mengajar dan menghukum kerajaan pekak ini,” tambah beliau.

Beliau juga memberikan amaran kepada rakyat bahawa kekecewaan itu akan pasti berulang selagi kerajaan yang ada tidak diganti dengan kerajaan baru yang lebih beramanah dan bertanggungjawab.

Laporan audit: Hanya peti undi boleh sedarkan BN:

'via Blog this'

Tarik balik semua sekatan kepada Aziz Bari

KUALA LUMPUR, 25 Okt: Angkatan Muda Keadilan Selangor suka untuk mengingatkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak agar tidak membuat kenyataan politik dan bermain politik dalam isu penggantungan Prof Dr Abdul Aziz Bari (gambar).

“Isu ini adalah jauh daripada amalan politik sempit yang diamalkan Umno Barisan Nasional,” kata ketua penerangannya, Mohd Saifullah Mohd Zulkifli sebagai respons kepada pengumuman Najib dan pihak pentadbiran Universiti Islam Antarabangsa mengenai penggantungan itu ditarik balik.

Namun demikian, katanya adalah malang apabila siasatan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan polis tetap diteruskan.

Malah, ujarnya komputer pejabat Prof Aziz Bari sendiri difahamkan ditarik dan pelbagai sekatan lain yang dikenakan kepada beliau.

“Pastinya ini tidak kundusif untuk meneruskan kuliah pengajian,” ujarnya yang juga Pengarah Biro Mahasiswa AMK Malaysia kepada Harakahdaily.

Menurutnya, hal itu tidak seharusnya berlaku kerana isu berkenaan bukan sahaja melibatkan individu, pensyarah undang-undang universiti yang mengeluarkan pandangan tidak sealiran pemerintah, tetapi ia adalah isu yang melibatkan kebebasan akademik yang menjamin kualiti pendidikan dan masa depan generasi muda negara.

Tegasnya, Angkatan Muda Keadilan Selangor memandang serius sikap bermain-main pemerintah Umno Barisan Nasional di dalam mengendalikan isu itu.

Sehubungan itu, katanya AMK Selangor mendesak agar segala sekatan dan tindakan kepada profesor terkemuka undang-undang negara, Dr Abdul Aziz Bari ditarik balik serta merta.

Tarik balik semua sekatan kepada Aziz Bari:

'via Blog this'

Monday, 24 October 2011

Guan Eng disaman RM30 juta

2011/10/24
KUALA LUMPUR: Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pulau Pinang, Datuk Zainal Abidin Osman hari ini memfailkan saman malu berjumlah RM30 juta terhadap Ketua Menteri, Lim Guan Eng, berhubung kenyataannya mengaitkan UMNO dengan demonstrasi dan cubaan membakar ibu pejabat DAP di Pulau Pinang pada Julai lalu.

Beliau memfailkan saman itu di pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi Sivil di sini, hari ini melalui Tetuan Jahaberdeen & Co.
Selain Lim yang juga Setiausaha DAP, turut dinamakan sebagai defendan ialah Parti Keadilan Rakyat selaku pemilik laman berita elektronik Keadilan Daily dan akhbar Suara Keadilan; Segmen Fleksibel Sdn Bhd yang juga syarikat penerbitan Keadilan Daily dan Suara Keadilan serta ketua penyuntingnya, Fazallah Pit.
Peguam Jahaberdeen Mohamed Yunoos, yang mewakili Zainal Abidin, 51, memberitahu pemberita bahawa saman itu difailkan atas kapasiti peribadi pemimpin UMNO Pulau Pinang itu.

Dalam pernyataan tuntutan itu, Zainal Abidin mendakwa pada 3 Julai lalu, Lim menerbitkan satu kenyataan akhbar melalui emel yang kemudiannya disiarkan di Keadilan Daily pada 3 Julai dan di akhbar Suara Keadilan pada 5 Julai lalu.

Zainal Abidin berkata, kenyataan Lim itu antara lain membawa maksud kononnya beliau terbabit dalam kegiatan mengguling Ketua Menteri Pulau Pinang melalui cara yang salah serta menyembunyikan pembabitannya dalam satu demonstrasi ganas yang berlaku di KOMTAR dan Jambatan Pulau Pinang pada 1 Julai lalu.

Beliau berkata, pada 18 Ogos lalu, Lim mengeluarkan satu lagi kenyataan menyinggung di hadapan sekumpulan wartawan yang disiarkan di laman berita elektronik, The Malaysian Insider, pada hari yang sama.
Zainal Abidin berkata, antara lain kenyataan itu membawa maksud kononnya beliau merancang untuk mensabotaj premis parti DAP di Pulau Pinang, dan kononnya beliau terbabit dalam mencetuskan cubaan membakar premis itu.

Beliau berkata, akibat kenyataan itu, ia merosakkan reputasinya dan menjejaskan kepercayaan parti induk terhadapnya.

Zainal Abidin menuntut ganti rugi RM30 juta, faedah, kos dan relif lain yang difikirkan wajar oleh mahkamah dan satu injunksi bagi menghalang kesemua defendan daripada terus mengeluarkan atau menyiarkan kenyataan fitnah itu. - BERNAMA Berita Harian Online | Guan Eng disaman RM30 juta:

'via Blog this'

Ketua menteri P. Pinang cap Muhyiddin 'pengecut'

KUALA LUMPUR: Ketua Menteri Pulau Pinang, Encik Lim Guan Eng, semalam melabelkan Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin, sebagai 'pengecut' kerana mengulangi dakwaan laman blog pro-Umno bahawa anak lelaki setiausaha agung Parti Tindakan Demokratik (DAP) itu mencabul rakan sekolahnya.

Encik Lim berkata beliau 'terkejut dan jengkel' bahawa Tan Sri Muhyiddin menyerang anak lelakinya itu bagi mendapatkan sokongan politik dan sebaliknya memberitahu pemimpin kedua tertinggi Umno itu agar menumpukan usahanya terhadap beliau.

'Jika Muhyiddin benci sangat kepada saya, beliau boleh berbuat yang terburuk untuk mengalahkan saya secara politik,' kata beliau dalam satu kenyataan yang dipetik oleh satu laporan laman berita The Malaysian Insider, semalam.

'Tetapi, Muhyiddin tidak seharusnya menyertai sekumpulan orang yang bersifat pengecut dan menjadikan anak lelaki saya berusia 16 tahun sebagai sasarannya dan menyebabkan anak lelaki saya sekali lagi melalui pengalaman traumatik ini,' katanya.

Beberapa penulis blog pro-Umno mendakwa bahawa anak lelaki Encik Lim mencabul seorang rakan sekolah perempuannya berusia 16 tahun - yang mana gambarnya turut disiarkan - dan cuba mengelak daripada dihukum dengan menggunakan nama bapanya.

'Mangsa' berkenaan, yang dikenal pasti sebagai Anya Corke, seorang pelajar Hongkong yang sedang menuntut di Britain, tampil menafikan dakwaan itu dan menegaskan bahawa dia tidak mengenali anak Encik Lim.

Ketua menteri Pulau Pinang itu berkata Tan Sri Muhyiddin gagal ujian moral dan etika untuk menjadi perdana menteri dengan mengulangi 'pembohongan' terhadap seorang remaja yang tidak mampu mempertahankan dirinya, walaupun individu yang didakwa sebagai mangsanya itu telah tampil menafikan dakwaan itu.

Kelmarin, Tan Sri Muhyiddin meminta Encik Lim membuat laporan polis dan membiarkan polis menjalankan siasatan bagi menjelaskan keadaan sebenar kerana penafian sahaja tidak mencukupi.

Dalam hal ini, Pakatan Rakyat (PR) turut menggesa timbalan perdana menteri itu agar memohon maaf kepada Encik Lim secara terbuka.

Cyberita Online Luar Negara:

'via Blog this'

Kebangkitan Islam kembali



KOTA SARANG SEMUT - Kebangkitan Islam kini dilihat berlaku di kebanyakan negara, terutama Timur Tengah hingga menumbangkan pemerintahan diktator yang berjaya digulingkan oleh kuasa rakyat.

Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu berkata, pemerintah di negara Islam jatuh satu persatu, antaranya Saddam Hussein (Iraq) dan Muammar Gadaffi (Libya), walaupun tanpa pilihan raya mahupun demonstrasi.

“Selepas golongan itu tiada, apakah golongan Islam akan ambil alih seperti yang berlaku di Timur Tengah. Dunia kini sedang menanti apakah akan berlaku kebangkitan Islam semula untuk mengepalai dunia,” katanya ketika berucap di hadapan 5,000 penyokong Pas yang hadir pada Ceramah Sambutan 60 Tahun Pas peringkat negeri Kedah, malam semalam.

Menurutnya, sejak 10 tahun kebelakangan ini, kuasa politik semakin berubah, malah di peringkat awal dunia dikuasai oleh golongan Islam yang kemudian diambil alih nasionalis, seterusnya oleh golongan berhaluan kiri.

“Saya lihat kini semua sistem berlaku perubahan untuk kekalkan kuasa ekonomi. Saya harap jika berlaku perubahan kuasa di Malaysia, biarlah secara elok dan bertamadun melalui pilihan raya. Kita tidak mahu apa yang berlaku di luar sana berlaku di sini,” katanya.

Mohamad turut mengagumi cendekiawan Dr Burhanuddin Al Helmi yang disifatkannya sebagai seorang yang berfikiran ke hadapan.

“Beliau (Burhanuddin) pada kongres 1956 pernah berkata, dunia Islam peringkat awal akan diperintah golongan nasionalis, kemudian naik golongan kiri akan ambil alih pemerintah, selepas itu kembali pada golongan Islam. Saya rasa ia sedang berlaku kini,” katanya.

Menurutnya, seorang lagi pemikir dan ulama yang dikagumi, Profesor Dr Zulkifli Mohamad juga pernah mencadangkan supaya Pas menerima ahli bukan Islam, 30 tahun lalu, namun ketika itu, pandangannya dianggap tidak sesuai.

“Sekarang pandangan itu dikaji semula hingga tubuhnya Dewan Himpunan Penyokong Pas. Kadangkala pemimpin yang bijak ketika itu tidak diterima pandangannya, tetapi berguna pada masa depan,” katanya.
SH:

'via Blog this'