KUALA LUMPUR, 1 Okt: Pihak polis digesa menyiasat dengan terperinci pengakuan pihak-pihak tertentu yang mendakwa mewakili Perdana Menteri yang menawarkan pelbagai ganjaran kepada Adun Bentayan, Gwee Tiong Hiang supaya meninggalkan DAP dan mengisytiharkan dirinya sebagai wakil rakyat bebas.
Siasatan terperinci pihak polis mengenai dakwaan itu amat perlu bagi mendapatkan kesahihannya kerana jika benar pihak-pihak terbabit mewakili Perdana Menteri, ia ternyata membabitkan penyalahgunaan kuasa yang amat serius dari Perdana Menteri.
Setiausaha Publisiti DAP, Tony Pua Kiam Wee (gambar) berkata, dalam masa yang sama, Pejabat Perdana Menteri perlu menjawab dengan segera dakwaan pihak-pihak terbabit yang mendakwa mewakili Perdana Menteri.
Menurut beliau, sekiranya mereka berbohong atau menipu, tindakan keras perlu dikenakan terhadap pihak-pihak terbabit kerana melakukan kesalahan besar menyamar sebagai wakil kepada Perdana Menteri.
Katanya, Pejabat Perdana Menteri tidak seharusnya mengambil masa yang lama untuk menjawab perkara itu kerana ia merupakan perkara amat serius yang membabitkan kepentingan negara.
"Sekiranya benar pihak-pihak terbabit itu mewakili Perdana Menteri, Perdana Menteri perlu didakwa oleh Peguam Negara kerana telah menyalahgunakan wang kerajaan untuk kepentingan politiknya," katanya ketika dihubungi Harakahdaily, hari ini.Adun Bentayan, Gwee Tiong Hiang hari ini mendedahkan bahawa beliau telah ditawarkan oleh pihak-pihak tertentu yang mendakwa mewakili Perdana Menteri supaya meninggalkan DAP dan mengisytiharkan dirinya sebagai wakil rakyat bebas. Dalam sidang akhbar di ibu pejabat DAP di Kuala Lumpur, beliau menjelaskan, beliau telah ditawarkan RM150,000 wang tunai, 50 ekar tanah, sekurang-kurangnya RM5,000 elaun bulanan tambahan, sebuah pusat perkhidmatan dan seorang pembantu peribadi jika bersetuju melompat parti.
No comments:
Post a Comment