Thursday, 6 October 2011

Polis sudah bebas 125 tahanan



Oleh Shamsul Kamal Amarudin, Mohd Roji Kawi, Rafidah Mat Ruzki, Wan Faizal Ismayatim dan Mohd Iskandar Ibrahim
bhnews@bharian.com.my
2011/10/07

ABDUL TAIB   melancarkan buku Crimson Tide Over Borneo-Untold Police Stories and Communist Cessation of the Sarawak Communist Insurgency sambil diperhatikan James (kiri), Wan Junaidi   dan  Ismail (kanan) di Kuching, semalam.
ABDUL TAIB melancarkan buku Crimson Tide Over Borneo-Untold Police Stories and Communist Cessation of the Sarawak Communist Insurgency sambil diperhatikan James (kiri), Wan Junaidi dan Ismail (kanan) di Kuching, semalam.
Pergerakan semua bekas pesalah Perintah Kediaman Terhad mula dipantau

KUCHING: Pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) terutama daripada Jabatan Siasatan Jenayah di seluruh negara sudah diarahkan untuk melaksanakan pemantauan terhadap 125 bekas tahanan Perintah Kediaman Terhad, apabila mereka dibebaskan.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar, berkata langkah berkenaan diambil bagi memastikan semua bekas tahanan itu tidak lagi terbabit dalam aktiviti yang menyalahi undang-undang.
“Kita juga mengharapkan semua bekas tahanan itu memberi sumbangan terhadap keselamatan negara dan membantu kita dalam melaksanakan pencegahan jenayah,” katanya selepas majlis pelancaran buku Crimson Tide Over Borneo-Untold Police Stories and Communist Cessation of the Sarawak Communist Insurgency yang disempurnakan Ketua Menteri, Tan Sri Abdul Taib Mahmud, di sini, semalam.

Hadir sama, Timbalan Ketua Menteri, Tan Sri Alfred Jabu anak Numpang; bekas Ketua Polis Negara, Tun Hanif Omar dan Timbalan Speaker Dewan Rakyat yang juga Pengerusi Persatuan Bekas Polis Malaysia (PBPM) Bahagian Sarawak, Datuk Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Buku setebal 488 muka mengenai pahit maung yang dihadapi anggota polis Sarawak ketika era darurat pada 1962 hingga 1974 itu dihasilkan bekas wartawan New Straits Times, James Ritchie.

Pembebasan 125 tahanan itu diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, selepas pembentangan cadangan pemansuhan Akta Kediaman Terhad 1933 di Dewan Rakyat, kelmarin. Najib turut membatalkan serta-merta lebih 200 waran mengikut akta sama yang belum disampaikan. 
Di KAMPAR, Timbalan Ketua Polis Perak, Datuk Zakaria Yusof berkata, 12 tahanan Perintah Kediaman Terhad dibebaskan malam kelmarin iaitu 11 individu yang terbabit dalam pelbagai jenayah, termasuk seorang jenayah komersial.

Di SHAH ALAM, Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk A Thaiveegan berkata, 12 individu dibebaskan dengan kebanyakan mereka terbabit dalam kesalahan berkaitan dadah dan jenayah.

Katanya, mereka tidak perlu melaporkan diri kepada mana-mana balai polis, melainkan ada arahan untuk berbuat demikian.

Di JOHOR BAHRU, Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff berkata, 14 individu berusia lingkungan 20-an hingga 30-an yang pernah terbabit kes judi haram, mengendalikan mesin judi, pelacuran, pemerdagangan orang dan jenayah lain dibebaskan semalam.

Di KUALA LUMPUR, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah berkata, seorang individu dibebaskan semalam selaras keputusan kerajaan memansuhkan perintah berkenaan.

Di KUALA TERENGGANU, seramai 13 orang yang diletakkan di bawah Perintah Kediaman Terhad di Terengganu dibebaskan serta-merta sebaik saja Perdana Menteri membuat pengumuman membebaskan mereka, kelmarin.

Ketua Polis negeri, Datuk Jamshah Mustapa, berkata 10 daripada 13 individu berkenaan terbabit dengan kesalahan ringan dan tiga lagi dengan jenayah komersial.

No comments:

Post a Comment