Thursday, 6 October 2011

Hishammuddin perjelas kos surai BERSIH





2011/10/07

SEBANYAK 226 gas pemedih mata jenis Tear Smoke Shell (TS Shell) dan 36 gas pemedih mata jenis Tear Smoke Grane (TS Granade) dilepaskan bagi menyuraikan penunjuk perasaan pada perhimpunan haram BERSIH, 9 Julai lalu.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata kos bagi gas pemedih mata TS Shell adalah RM79.76 sebutir, manakala kos TS Grenade pula RM135 sebutir.
“Jumlah peserta perhimpunan haram BERSIH yang ditahan adalah seramai 1,509 orang dengan 1,412 daripadanya adalah lelaki, manakala 97 lagi wanita.
“Daripada jumlah itu, seramai 1,435 adalah Melayu, 21 (Cina), 29 (India) dan 24 lagi lain-lain keturunan,” katanya dalam jawapan bertulis, semalam. 

Beliau menjawab pertanyaan Lim Lip Eng (DAP-Segambut) mengenai bilangan gas pemedih mata yang dilepaskan dan jumlah mereka yang ditahan ketika perhimpunan haram berkenaan. 

Hishammuddin berkata, mengikut pecahan usia pula, seramai 761 yang ditahan berumur antara 11 hingga 35 tahun, 645 berumur antara 36 hingga 60 tahun, manakala 103 lagi berumur 61 tahun ke atas.

PM, isteri tak dipanggil jadi saksi pembela



Oleh Ahmad Johari Mohd Ali
ajohari@bharian.com.my
2011/10/07

Mahkamah ketepi sapina Anwar 

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor tidak akan dipanggil memberikan keterangan sebagai saksi pihak pembelaan dalam kes liwat mem-babitkan Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah semalam membenarkan permohonan Najib dan Rosmah untuk mengetepikan sepina yang dikeluarkan terhadap mereka pada 20 September lalu.
Dalam penghakimannya, Mohamad Zabidin berkata, Anwar gagal membuktikan kepada mahkamah keterangan yang bakal diberikan Najib dan isteri relevan serta material dalam perbicaraan kes liwat itu. 

Pada 8 Ogos lalu, Mohamad Zabidin membenarkan permohonan Anwar untuk menemubual 15 saksi termasuk Najib dan Rosmah bagi tujuan pembelaan, mereka kemudian hadir di mahkamah pada 12 Ogos lalu untuk ditemubual sebagai saksi berpotensi. 

Peguam Karpal Singh ketika ditemui berkata, pihaknya akan memfailkan rayuan terhadap keputusan mahkamah itu. 

Dalam perbicaraan kes liwat itu semalam, pihak pembelaan memanggil saksi ketujuhnya iaitu Pakar Bedah Ortopedik dan Tulang Belakang Dr Thomas Hoogland, seorang warga Belanda yang kini pakar perunding beberapa klinik dan hospital di Jerman. 
Menjawab soalan pemeriksaan utama peguam Anwar, S N Nair, Dr Hoogland berkata keadaan Anwar bertambah baik selepas menjalani pembedahan tulang belakang yang dikendalikannya di Klinik Alpha, Munich, Jerman pada 6 September 2004 terutama dari segi aspek pergerakannya ketika berjalan. 

Bagaimanapun, katanya, melalui pemeriksaan susulan yang dijalankan terhadap ketua pembangkang itu pada September 2011 menunjukkan pergerakan badannya masih terhad dan mengalami kesakitan ketika membongkok ke hadapan atau ke belakang, dan keadaan itu semakin merosot. 

Menjawab soalan Nair sama ada kesakitan dialami itu bersamaan dengan keadaannya pada 2004, Dr Hoogland berkata pemeriksaan susulan pertama yang dijalankan pada 7 Februari 2005 menunjukkan Anwar masih mengalami rasa sakit di bahagian belakang dan ia semakin teruk dari tahun ke tahun. 

Dr Hoogland berkata, selepas pembedahan Anwar mengalami sakit sendi tulang dan keadaan itu bertambah serius pada 2008 manakala kerosakan pada akar saraf berikutan kecederaan yang dialami pada 1998 masih belum sembuh hingga sekarang. 

Ditanya sama ada Anwar boleh menjalankan sebarang aktiviti yang bertenaga tanpa mengalami sebarang rasa sakit, Dr Hoogland menjawab; “Beberapa pergerakan badan ke depan dan ke belakang dalam aktiviti harian membabitkan bahagian belakang akan menyebabkan rasa sakit sehingga kini.” 

“Ini adalah kerana beberapa pergerakan seperti membongkokkan badan akan menyebabkan tekanan pada bahagian tulang belakang. Oleh itu, saya menasihatkan pesakit untuk berhati-hati dan melakukan pergerakan badan dengan perlahan terutama kepada pesakit beragama Islam apabila mereka bersolat, ” katanya. 

Perbicaraan di depan Mohamad Zabidin bersambung hari ini.

Polis sudah bebas 125 tahanan



Oleh Shamsul Kamal Amarudin, Mohd Roji Kawi, Rafidah Mat Ruzki, Wan Faizal Ismayatim dan Mohd Iskandar Ibrahim
bhnews@bharian.com.my
2011/10/07

ABDUL TAIB   melancarkan buku Crimson Tide Over Borneo-Untold Police Stories and Communist Cessation of the Sarawak Communist Insurgency sambil diperhatikan James (kiri), Wan Junaidi   dan  Ismail (kanan) di Kuching, semalam.
ABDUL TAIB melancarkan buku Crimson Tide Over Borneo-Untold Police Stories and Communist Cessation of the Sarawak Communist Insurgency sambil diperhatikan James (kiri), Wan Junaidi dan Ismail (kanan) di Kuching, semalam.
Pergerakan semua bekas pesalah Perintah Kediaman Terhad mula dipantau

KUCHING: Pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) terutama daripada Jabatan Siasatan Jenayah di seluruh negara sudah diarahkan untuk melaksanakan pemantauan terhadap 125 bekas tahanan Perintah Kediaman Terhad, apabila mereka dibebaskan.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar, berkata langkah berkenaan diambil bagi memastikan semua bekas tahanan itu tidak lagi terbabit dalam aktiviti yang menyalahi undang-undang.
“Kita juga mengharapkan semua bekas tahanan itu memberi sumbangan terhadap keselamatan negara dan membantu kita dalam melaksanakan pencegahan jenayah,” katanya selepas majlis pelancaran buku Crimson Tide Over Borneo-Untold Police Stories and Communist Cessation of the Sarawak Communist Insurgency yang disempurnakan Ketua Menteri, Tan Sri Abdul Taib Mahmud, di sini, semalam.

Hadir sama, Timbalan Ketua Menteri, Tan Sri Alfred Jabu anak Numpang; bekas Ketua Polis Negara, Tun Hanif Omar dan Timbalan Speaker Dewan Rakyat yang juga Pengerusi Persatuan Bekas Polis Malaysia (PBPM) Bahagian Sarawak, Datuk Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Buku setebal 488 muka mengenai pahit maung yang dihadapi anggota polis Sarawak ketika era darurat pada 1962 hingga 1974 itu dihasilkan bekas wartawan New Straits Times, James Ritchie.

Pembebasan 125 tahanan itu diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, selepas pembentangan cadangan pemansuhan Akta Kediaman Terhad 1933 di Dewan Rakyat, kelmarin. Najib turut membatalkan serta-merta lebih 200 waran mengikut akta sama yang belum disampaikan. 
Di KAMPAR, Timbalan Ketua Polis Perak, Datuk Zakaria Yusof berkata, 12 tahanan Perintah Kediaman Terhad dibebaskan malam kelmarin iaitu 11 individu yang terbabit dalam pelbagai jenayah, termasuk seorang jenayah komersial.

Di SHAH ALAM, Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk A Thaiveegan berkata, 12 individu dibebaskan dengan kebanyakan mereka terbabit dalam kesalahan berkaitan dadah dan jenayah.

Katanya, mereka tidak perlu melaporkan diri kepada mana-mana balai polis, melainkan ada arahan untuk berbuat demikian.

Di JOHOR BAHRU, Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff berkata, 14 individu berusia lingkungan 20-an hingga 30-an yang pernah terbabit kes judi haram, mengendalikan mesin judi, pelacuran, pemerdagangan orang dan jenayah lain dibebaskan semalam.

Di KUALA LUMPUR, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah berkata, seorang individu dibebaskan semalam selaras keputusan kerajaan memansuhkan perintah berkenaan.

Di KUALA TERENGGANU, seramai 13 orang yang diletakkan di bawah Perintah Kediaman Terhad di Terengganu dibebaskan serta-merta sebaik saja Perdana Menteri membuat pengumuman membebaskan mereka, kelmarin.

Ketua Polis negeri, Datuk Jamshah Mustapa, berkata 10 daripada 13 individu berkenaan terbabit dengan kesalahan ringan dan tiga lagi dengan jenayah komersial.

Saya tertidur kerana demam - Ibrahim Ali

Harakahdaily
KUALA LUMPUR, 6 Okt: Setelah gambarnya tertidur semasa Dewan Rakyat bersidang semalam disebarkan dalam Internet, Datuk Ibrahim Ali (Bebas-Pasir Mas) hari ini menjelaskan bahawa beliau terlelap seketika akibat mengambil ubat disebabkan demam dan tidak sihat.

"Saya tertidur dua tiga minit sahaja tapi gambar itu tersiar di seluruh negara seolah-olah saya ini selalu tidur di Dewan Rakyat.
(Ibrahim menjelaskan beliau tertidur semalam kerana demam)
"Punyalah tidak ada modal untuk menyerang saya dan begitu marah dengan PERKASA (yang dipimpinnya), saya tertidur dua tiga minit pun mahu diambil gambar," katanya dalam sidang dewan itu hari ini.

Ibrahim yang membangkitkan perkara itu ketika membahaskan Rang Undang-undang Perkhidmatan Pos 2011, berkata beliau kasihan dengan individu yang cuba menyerangnya menerusi penyebaran gambar itu, sedangkan umum tahu beliau merupakan antara Anggota Parlimen yang aktif.

"Kalau nak burukkan saya pun carilah isu yang munasabah, tetapi apa pun serangan, ini merupakan penghormatan kepada saya," katanya sambil tertawa.

Perbuatan mengambil gambar Ibrahim itu mendapat perhatian Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Ronald Kiandee, yang berkata ianya adalah satu kesalahan.
Saya tertidur kerana demam - Ibrahim Ali:

'via Blog this'

PM akan umumkan Felda Holding ke BSKL?

Harakahdaily
KUALA LUMPUR, 6 Okt: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dijangka akan mengumumkan penyenaraian Felda Holding ke dalam Bursa Saham Malaysia dalam perbentangan Belanjawan 2012 Jumaat nanti.

Langkah ini dipercayai adalah klimaks dari pertembungan antara pihak berkuasa politik dengan pihak pengurusan dan warga Felda yang menentang usaha ini selama ini.

Ia bakal memberikan implikasi besar kepada Felda di masa akan datang, kata sumber Felda kepada Harakahdaily.

Yang menyedihkan pengurusan Felda dan warga peneroka adalah perkara ini tidak dibincangkan secara menyeluruh terdahulu dan keputusan ini menampakkan Felda benar-benar kesusutan dana sedangkan Felda tidak memerlukan sebarang dana hasil dari penyenaraian tersebut.

"Pihak yang bakal untung besar tentulah CIMB yang menikmati hasil jutaan ringgit seperti hasil menyenaraikan syarikat gula MSM milik Felda sebelum ini serta syarikat kroni Isa dan Najib yang berusaha memiliki perniagaan-perniagaan Felda yang selama ini sangat menguntungkan walaupun tidak disenaraikan dalam bursa," kata sumber itu.

Menurutnya, warga Felda kini berdebar-debar kerana meletakkan nasib warga Felda di kalangan pelabur bursa bermakna segalanya tentang duit dan bukan lagi budaya tanggungjawab sosial Felda iaitu syarikat perlu menyumbang kepada KPF, Felda dan juga menyokong program sosial dan pembangunan Felda.

"Penyenaraian bermakna ada kakitangan yang bakal dibuang atas dasar kecekapan penggunaan sumber manusia, sumber dana KPF dan Felda yang semakin berkurang serta tiada lagi peruntukan yang diutamakan kepada program sosial dan pembangunan warga Felda secara percuma (pelabur pasti bertanya tentang ROI)," kata sumber itu lagi.
PM akan umumkan Felda Holding ke BSKL?:

'via Blog this'

‘Kenapa anak saya dibunuh sebelum dibukti bersalah’

Hazayani Zakaria
KUALA LUMPUR, 6 Okt: Keluarga mangsa tiga remaja yang mati ditembak polis di Glenmarie, Shah Alam November tahun lalu hari ini ke Parlimen menggesa Kementerian Dalam Negeri (KDN) campur tangan dalam kes yang disifatkan sebagai ‘pembunuhan dengan niat’.
Ia ekoran tidak ada sebarang perkembangan mengenai kes tersebut meskipun mereka dengan bantuan pihak peguam sudah menyerahkan memorandum kepada pihak berwajib termasuk kepada Ketua Polis Negara sendiri.
Peguam Lawyer for Liberty (LFL) menuntut polis yang teribat dalam tembakan tersebut didakwa dan dibicarakan di mahkamah.
Mereka juga menuntut pihak polis membuat permohonan maaf terbuka kepada keluarga mangsa kerana laporan forensik menunjukkan mangsa sitembak dari jarak dekat.
Peguam N. Surendran berkata, berasaskan laporan itu, besar kemungkinan seorang mangsa, Muhammad Syamil Hafiz Shapiei berada dalam kedudukan melutut atau mencangkung ketika ditembak.
“Mangsa yang ditembak di bahagian dahi dan dada sebenarnya berada pada jarak yang dekat dengan berkedudukan lebih rendah daripada penembak.
“Luka berbentuk bulat selaras dengan luka tembakan masuk pada bahagian dahi di antara kedua-dua kening berdiameter 0.5 cm," kata Surendran pada sidang media di lobi Parlimen hari ini.
Ibu allahyarham Syamil, Norhafizah Mohd Razali pula menggesa Peguam Negara mendakwa polis yang terlibat kerana sudah setahun pihaknya menunggu tindakan daripada pihak berwajib.
"Saya menggesa pihak KDN dan Peguam Negara ambil tindakan segera terhadap polis yang menembak anak saya. Dah setahun saya menunggu tapi belum ada tindakan.
"Kenapa anak saya dibunuh sebelum dibuktikan bersalah?
“Saya boleh terima kalau anak betul-betul melakukan kesalahan tapi janganlah dibunuh," katanya sebak.
Sementara itu, ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar berkata, KDN dan polis seharusnya berani bertanggungjawab dalam kes melibatkan pembunuhan itu.
"Kita dah hantar memorandum ke Bukit Aman, dah jumpa KDN tapi kenapa tak diendahkan? Beginikah layanan mereka kepada rakyat?” soalnya yang juga Naib Presiden PKR.
Menurut Nurul juga, pihaknya akan berusaha menyerahkan memorandum kepada Menteri KDN, Datuk Seri Hishammudin Hussein sesegera mungkin bagi menuntut campur tangan beliau.
Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk mahfuz Omar pula berkata, pihak polis seharusnya menimbang cadangan peguam agar ditubuhkan Suruhanjaya Bebas Aduan Dan Salah Laku Polis ( IPCMC).
"Dalam pada kerajaan mengumumkan NKRA polis meningkat, kenapa enggan tubuh IPCMC ini? Buktikan prestasi polis benar-benar bagus. Jangan bohong rakyat," katanya yang juga Naib Presiden PAS.
Turut bersama pada sidang media tersebut ialah Hamidah Kadir, ibu kepada Mohd Khairul Nizam dan Noriah Darus, ibu kepada Mohd Hanafi Omar.
Ketiga-tiganya ditembak kira-kira jam 4.45 pagi kerana disyaki terlibat dengan rompakan stesen minyak.
‘Kenapa anak saya dibunuh sebelum dibukti bersalah’:

'via Blog this'

Berambuslah MCA: Warga internet Cina tampil bela PAS

Lim Hong Siang, Merdekareview
KUALA LUMPUR, 6 Okt: Memang sesuatu yang dijangka apabila MCA menggunakan "Hukum Hudud" untuk menyerang Pakatan Rakyat, ketika isu ini kembali semula ke persada politik menjelang PRU ke-13. Namun, ia mungkin sesuatu di luar jangkaan apabila serangan MCA kali ini mengundang reaksi sebaliknya di ruang internet, menyaksikan bagaimana parti Cina ini dibidas sehabis-habisnya oleh warga internet.

Artikel berjudul "Orang Cina Malaysia wajib baca! MCA, Saya nak undi PAS!" ditulis oleh seorang penulis dengan nama samaran "yue" (maksud: bulan), disiarkan oleh seorang rakannya melalui laman sosial Facebookpada jam 2 petang, 4 Oktober 2011. Tulisan ini telah dikongsi oleh kira-kira 1,500 rakan Facebook, dalam masa 48 jam.

Meskipun diselit dengan kata-kata kesat yang mencaci MCA, namun tulisan ini sempat mengulas alasannya memperlekehkan MCA dan mengapa PAS dibela. MCA dibidas kerana tunduk dan bersekongkol dengan UMNO; sementera PAS disanjung kerana beberapa langkah yang memperlihatkan "keterbukaannya" terhadap golongan bukan muslim.

Bagaimanapun, penulis tidak menunjukkan pendirian untuk menyokong pelaksanaan Hukum Hudud, hanya menyebut ia sebagai matlamat tertinggi PAS, dan realiti politik hanya membenarkan pelaksanaan dasar bersama dalam "Buku Jingga", seandainya Pakatan Rakyat memerintah. Malah, menurut penulis, seandainya masyarakat Cina tidak suka jika Hukum Hudud dilaksanakan, maka tukarlah semula kepada Barisan Nasional dalam PRU ke-14 kelak.

Yang berikut adalah terjemahan dan suntingan tulisan berjudul "Orang Cina Malaysia wajib baca! MCA, Saya nak undi PAS!"

Saya, sebagai warga Malaysia kaum Cina, tiada Roket mahupun Keadilan bertanding di kawasan pengundian saya, hanya pertembungan terus antara UMNO dengan PAS. Sekarang, secara rasminya saya mengumumkan di sini, bahawa pada PRU yang akan datang, saya akan mengundi PAS!

Melihat kepada pemimpin MCA yang haprak berucap menyerang Hukum Hudud Islam dalam perhimpunan agung tahunannya, kononnya mempertahankan kepelbagaian budaya Malaysia, saya teringin nak berkata, MCA, pergi mampuslah!

XXX, saya sebagai orang Cina di Malaysia, sekarang saya ingin berkata kepada MCA, pada pilihan raya umum yang akan datang, saya pasti akan mengundi PAS! Malas saya nak layan kau!

Jangan kata kepada saya penubuhan Negara Islam, akan dipotong tangan dan dipotong kaki, XXX, Malaysia di bawah perintah kau dan UMNO - Teoh Beng Hock pun boleh jatuh dari bangunan! Polis boleh tembak sewenang-wenangnya! Tak kurang tahanan yang mati dalam lokap! Belum sempat kami dipotong tangan dan kaki oleh PAS, mungkin dah mati kena aniaya unit penguatkuasa!

XXX, MCA, parti yang haprak, saban hari memfitnah PAS dalam akhbar. Tahukah kau, PAS memperuntukkan tanah untuk 'menyara' sekolah menengah Cina di Kelantan; di Perak, benda yang sama berlaku ketika pemimpin PAS menjadi Menteri Besar. XXX... Dah berapa tahun kau MCA menjadi kerajaan, tapi gagal menginstitusikan peruntukan kepada sekolah Cina, dan sekarang kau suruh kami jangan mengundi PAS, gila!
XXX, satu parti yang besar, dalam perhimpunan agungnya, boleh menggunakan sepenuh masa untuk mengecam idealisme Islam, pada masa yang sama akur secara senyap kepada perkauman sempit UMNO, parti apa yang haprak sebegini? Memang parti haprak yang tidak boleh diselamatkan!

Apabila UMNO menyerang, bahawa Cina adalah "pendatang", suruh kami balik ke Tiongsan, PAS yang tampil mempertahankan kita!

Apabila UMNO melarang bukan-muslim menggunakan kalimah Allah, PAS yang tampil mempertahankan hak bukan muslim!

Apabila UMNO melarang bukan-muslim ke dalam masjid/surau, PAS yang tampil membantah UMNO!

Apabila PERKASA yang pro-UMNO menyerang bahawa Pakatan Rakyat mengkhianati Melayu, PAS yang tampil menyanggah mereka!

XXX, apa yang kau MCA lakukan? Hanya mampu berkata UMNO tak harus begini, tak patut begitu, kalau betul kau hebat, takkan Cina masih menjadi rakyat kelas kedua? Kalau betul ada tulang belakang, keluarlah kau dari Barisan Nasional-lah, bodoh!"

Semakin meluap-luap kemarahan saya... Sekian lama kau MCA makan duit, satu projek PKFZ kau telan RM12.5 bilion, satu Facebook RM1.8 juta, dan wang kopi yang sikit-sikit tu? Kau yang telan wang rakyat! PAS? Pernahkah kau denganr PAS terima rasuah? PAS terkenal dengan bersih dan amanah, 20 tahun memerintah di Kelantan, tiada satu kes rasuah, Menteri Besar duduk dalam rumah kampung, makan nasi lemak! Kau orang senang saja kata kalau menang makan udang galah, masih nak kami undi kau?"

MCA, berambuslah kau! Apabila Perdana Menteri mengumumkan pemansuhan ISA kerana terdesak dengan tekanan rakyat, kau bagaikan anjing, segera bersetuju! XXX, untuk sekian lama kau menyokong akta yang mencabul hak asasi manusia, kini sikap kau berubah dalam sekelip mata? Kau ingat rakyat ni bodoh? Untuk sekian lama, PAS memimpin rakyat untuk berjuang, sama ada perhimpunan anti ISA, BERSIH 1.0 mahupun BERSIH 2.0, PAS berada di baris paling depan untuk menentang kezaliman - menahan gas pemedih mata, menghalang meriam air berkimia!

Ketika 9 Julai, UMNO mengecam kami kerana berarak di jalan raya. Pada saat yang paling genting, Unit Amal PAS membuka jalan, kemudian berkata, 'Bagi Cina semua keluar dulu, kita lindung mereka!' XXX, mana kau MCA? Di mana kau sorok ketika itu? Sekarang kau panggil kami jangan undi PAS, mampuslah kau!

XXX, dah sekian tahun menjadi kerajaan, Presiden video lucah itu masih berada di atas pentas untuk menggesa agar kerajaan begini, supaya kerajaan begitu... Pernahkah kau anggap diri kau sebagai kerajaan? Kalau kau sendiri tak mampu, tak larat, tukarlah orang! Bodoh!

Apa yang paling hebat, Liow Tiong Lai, mencabar DAP untuk keluar dari Pakatan Rakyat. Ketika hukum Islam diluluskan di DUN Kelantan dan Terengganu, ADUN UMNO menyokong dengan mengangkat kedua-dua tangan mereka. Satu undi pun tidak pernah diluluskan DAP. Mengapa tidak kau memimpin MCA untuk keluar dari Barisan Nasional?
PAS ingin melaksanakan Hukum Hudud, ini matlamat tertinggi parti mereka. Ia bagaikan Parti Demokratik Progresif di Taiwan yang menuntut kemerdekaan, sudah pasti ia tak jadi, kerana tidak dibenarkan realiti politik. Apatah lagi PAS bersekutu dengan dua parti komponen Pakatan Rakyat, semestinya memerintah berdasarkan Buku Jingga apabila berkuasa - bukan matlamat tertinggi PAS mahupun DAP. Mungkin ada yang akan tanya, bagaimana pula di Kelantan?

Saya teringin nak tanya mereka, jikapun terlaksana di Kelantan, apa susahnya? Kau bukannya muslim, apa kena-mengena dengan kau? Lebih-lebih lagi, kau tunggulah sehingga Pakatan Rakyat memperolehi majoriti dua pertiga untuk meminda perlembagaan. Buat masa sekarang, kerajaan pun belum tukar. Kini bertimbun-timbun pengundi hantu, Pakatan Rakyat nak pertahan satu pertiga kerusi pun payah!

Ramai lagi Cina bertanya, matilah kalau Pakatan Rakyat memperolehi majoriti dua pertiga. Saya kata XXX, kepala otak kau, kalau Pakatan Rakyat memperolehi dua pertiga, sudah pasti DAP ada 50 kerusi dalamnya. Kalau DAP tidak mengundi untuk sokong, maka tak jadilah pindaan tu.

Kemudian lebih ramai Cina tanya, kalau DAP menjadi pengecut, menyokong pelaksanaan Hukum Hudud? Kalau kau tak suka, tukar balik Barisan Nasional-lah! Takkan tiada lagi pilihan raya selepas pertukaran kerajaan pada PRU akan datang? Kan pilihan raya memberi peluang kepada kita untuk tukar kerajaan apabila kita tidak setuju dengan dasar kerajaan yang sedia ada?

Sesetengah Cina bodoh betul, saya terus terang di sini. Seandainya pada PRU akan datang, kami menyokong satu kerajaan yang sudah lama korup dan mencabul hak asasi manusia, hanya kerana takut kepada Hukum Hudud yang langsung tak pernah wujud, maka saya perlu kata, benar orang Cina ni hina. Nasib orang Cina dan rakyat akan tergadai pada tangan sendiri!

Sedarlah orang Cina, jangan lagi ditipu MCA! Hanya apabila kami mengundi Roket, Keadilan dan Bulan, bersatu menukar kerajaan yang haprak ini untuk memperbaiki nasib orang Cina di tanahair ini. Seandainya kamu mencintai bangsa kau, seandainya kamu mencintai rakyat kau, seandainya kau mencintai negara kau, berkongsilah tulisan ini dengan setiap orang kawanmu. PRU yang akan datang, kami bernyanyi bersama "Bulan lambang hatiku" (lagu Cina terkenal)!
*Lim Hong Siang ialah Editor MerdekaReview, edisi bahasa Malaysia.
Berambuslah MCA: Warga internet Cina tampil bela PAS:

'via Blog this'